Hari Terbuka PUTD
KLUANG : Sambutan Hari Terbuka Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) mencatat sejarah tersendiri apabila dihadiri hampir 30,000 orang untuk menyaksikan program yang telah dianjurkan sepanjang 3 hari bermula 1 hingga 3 April lalu. Sambutan Hari Terbuka ini diadakan bersempena dengan Hari Ulang Tahun PUTD yang ke-16.
Hari Terbuka ini lebih menarik lagi apabila agensi-agensi kerajaan yang lain turut serta antaranya Jabatan Penjara Malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasa, Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia, Syarikat Airod Sdn Bhd dan Satang Sdn Bhd dan lain-lain lagi.
Pelbagai acara telah diadakan sepanjang majlis ini berlangsung dan yang paling mendapat tumpuan orang ramai adalah berpeluang untuk melihat pemandangan udara sekitar bandar Kluang dengan menaiki pesawat ringan CASSNA 172. Selain itu pameran-pameran dari agensi-agensi lain juga turut mendapat tumpuan para pengunjung.
Di antara persembahan pada hari terbuka PUTD ini adalah pertunjukan payung terjun oleh Pasukan Grup Gerakhas (GGK) dan 10 Bgd Para. PUTD juga turut membuat persembahan aski dengan pertunjukan ketangkasan anggotanya membuat demonstrasi penurunan dari helikopter Agusta A – 109 LOH dengan menggunakan tali.
Perasmian Hari Terbuka ini telah disempurnakan oleh Panglima 3 Divisyen, Mej Jen Dato’ Razali Hj Ahmad. Menurutnya, ketika mula-mula ditubuhkan 881 Skuadron PUTD dilengkapi 10 helikopter jenis SA316B Alouette MK III buatan Perancis yang sebelum itu dikendalikan oleh TUDM. Selepas berjaya membuktikan kemampuan menguasai kemahiran operasi udara, TUDM menyerahkan sepenuhnya operasi unit ini kepada Tentera Darat. Kini jauh berbeza dan lebih membanggakan, PUTD yang gah dengan motto ‘ Gagah Di Angkasa’ menjadi kebanggaan Tentera Darat. Menurutnya lagi, program ini merupakan kesinambungan dalam mempromosikan Tentera Darat sempena Hari Ulang Tahun Tentera Darat ke -78 yang disambut pada 1 Mac lalu.
Semasa tinjauan dibuat didapati orang ramai yang hadir amat terujah dengan program Hari Terbuka ini dan berharap penganjurannya diadakan pada setiap tahun, menurut salah seorang pengunjung, Ahmad Ramli, 27 tahun, beliau yang selama ini tidak begitu kenal dengan profesyen ketenteraan dan amat bertuah kerana dengan adanya hari terbuka ini ianya berpeluang mengenali serta merapatkan hubungan orang awam dengan tentera.
Sumber: Laman Web Rasmi Tentera Darat
0 comments:
Post a Comment
Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)