CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
Showing posts with label Pasukan. Show all posts
Showing posts with label Pasukan. Show all posts

Monday, August 22, 2011

Platun Dari UIA Turut Menjayakan Majlis Pelancaran Kompeni AW di Rejimen 515

Selebriti Tarik Minat Masyarakat Sertai Askar Wataniah


Lebih 500 Askar Wataniah yang diraikan semasa Majlis Pelancaran Kompeni Askar Wataniah Wilayah Persekutuan di Rejimen 515 (AW), Kuala Lumpur, Ahad. - Foto ROHAIZAT DARUS
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

KUALA LUMPUR: Penyertaan selebriti dan atlit sukan dilihat berjaya menarik minat masyarakat untuk menyertai Askar Wataniah (AW).

Menurut Panglima 4 Bgd, Brig Jeneral Datuk Zulkifli Kassim, sejajar dengan matlamat penubuhan kompeni Askar Wataniah, golongan tersebut telah memberikan impak yang begitu positif kepada berbagai lapisan masyarakat.
Dato' Siti Nurhaliza menyerahkan bendera kepada Datuk Zulkifli Kassim.

“Kita telah berupaya menarik minat berbagai lapisan masyarakat, individu yang boleh dijadikan ikon seperti selebriti, atlit sukan dan mereka yang telah mengharumkan nama negara dengan kebolehan tertentu.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada mereka kerana dengan secara tidak langsung dapat membantu mempromosikan Askar Wataniah di samping dapat meningkatkan tahap kesedaran masyarakat awam terhadap perana Askar Wataniah dalam mempertahankan negara,” kata beliau ketika berucap di Majlis Pelancaran Kompeni Askar Wataniah Wilayah Persekutuan di Rejimen 515 (AW), di sini, Ahad.

Yana Shamsudin dan Nurul Hidayah ketika menyanyikan lagu Si Baju Hijau semasa senaman perang.

Tambah beliau: “Askar Wataniah telah dapat memberikan pendedahan kepada orang awam tentang sebahagian aktiviti, latihan dan tugas-tugas anggota tetap sebagai orang awam yang dilatih oleh Angkatan Tentera Malaysia.

“Selain itu, pembangunan modal insan dan hubungan baik yang sedia terjalin di antara masyarakat dan Angkatan Tentera Malaysia akan terus dipertingkatkan lagi.”

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Panglima 12 Bgd, Brig Jeneral Mohd Nazir Mami.

Turut serta adalah selebriti yang menyertai Platun Seni Askar Wataniah iaitu penyanyi Dato' Siti Nurhaliza dan suami Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa, pelakon Yana Shamsudin, pelakon Eric Fuzi dan pengacara Nurul Hidayah yang juga anak kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Lebih 500 Askar Wataniah yang turut diraikan dalam majlis tersebut terdiri daripada Platun Kementerian Pertahanan (Kementah), Platun Media Siber, Platun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Platun Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Sumber: Mstar Online

Catatan admin: Platun Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang dimaksudkan ialah penuntut-penuntut kursus KADAR Bakal PTT Rendah (S) Siri 1/2011 yang berkekuatan seramai 33 anggota dari UIA, tidak termasuk 3 anggota dari RAJD (AW) dan 3 anggota individu. 


33 anggota DARI UIA
3 RAJD
3 Individu
JUMLAH PENUH = 39
post signature

Dato' Siti Nurhaliza Di Kem R515AW Menjayakan Pelancaran Kompeni AW

Askar Wataniah Bukti Kejayaan Hanruh

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
Gambar DJOHAN SHAH

BERBEKALKAN keazaman dan semangat cintakan tanah air, sebahagian rakyat negara ini sanggup berkorban masa dan tenaga untuk menjadi anggota sukarelawan Rejimen Askar Wataniah.

Boleh dikatakan juga, kebanyakan sukarelawan Askar Wataniah adalah golongan berkerjaya dan berpendidikan tinggi yang mempunyai tanggungjawab harian yang perlu dilaksanakan.

Namun dalam kesibukan masa dan keletihan bekerja, ia tidak menghalang anggota sukarelawan tersebut untuk menyumbangkan bakti bagi berkhidmat dan menyahut seruan kerajaan dalam menjaga keharmonian negara.

SITI Nurhaliza membawa bendera Askar Wataniah pada perbarisan
sempena pelancaran Kompeni Askar Wataniah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Malah kebelakangan ini selebriti tanah air seperti penyanyi Dato' Siti Nurhaliza dan Ana Raffali juga sanggup memikul tanggungjawab tersebut.

Penyertaan mereka juga membuktikan kejayaan konsep Hanruh iaitu pertahanan menyeluruh dalam dasar pertahanan negara kerana semakin ramai anggota masyarakat sedar tentang tanggungjawab menjaga dan memastikan keamanan negara tidak terletak di tangan anggota tentera sahaja.

Walaupun status mereka sekadar sukarelawan, Askar Wataniah tetap menjalani latihan asas ketenteraan yang bertujuan menyediakan anggota dan pasukan yang mampu bergandingan dengan pasukan tetap sekiranya diperlukan.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Datuk Zulkifli Zainal Abidin berkata, pengorbanan Askar Wataniah yang bertindak sebagai pelapis benteng pertahanan negara perlu disanjung kerana mereka sanggup mengetepikan urusan lain dan masa terluang.

"Kesedaran orang ramai menyertai Askar Wataniah adalah satu pengorbanan besar yang tidak ternilai dengan wang ringgit,'' katanya pada majlis Pelancaran Kompeni Askar Wataniah Kawasan Setiawangsa, Batu, Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh dan Cheras di Rejimen 515 Askar Wataniah di Kuala Lumpur Ahad lalu.

Menurut beliau, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat menghargai pembabitan orang ramai terutamanya golongan belia dalam pasukan sukarelawan tersebut.

Dalam pada itu, bagi Pembantu Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Annasir Daud, 21, tidak pernah terlintas di fikirannya penyertaan sebagai Askar Wataniah merupakan beban kepada dirinya

"Bagi saya, ia merupakan pengalaman yang sangat berharga dan tidak mungkin diperoleh di mana-mana.

"Kami diberikan latihan dan dididik seperti latihan ketenteraan sebenar. Selain menguji ketahanan fizikal dan mental, pelatih turut diberi peluang mempelajari kaedah-kaedah tempur di medan peperangan," katanya.

Annasir yang berasal dari Sabah berkata, menyertai Askar Wataniah adalah kaedah terbaik dalam mendisiplinkan diri serta belajar berdikari.

Menurut pelajar kolej swasta, Mohamad Farid Ikhfal Hakim, 19, menyertai Askar Wataniah merupakan landasan terbaik baginya untuk mencapai impiannya menjadi pegawai tentera yang hebat dan disanjungi.

"Saya bercita-cita untuk menjadi anggota tentera sejak kecil lagi. Dengan cara inilah saya dapat menunjukkan kesetiaan kepada tanah air dan menyumbangkan khidmat bakti kepada negara.

"Askar Wataniah adalah kumpulan benteng pertahanan negara kedua selepas anggota tentera tetap,'' katanya.

Menurutnya, jika berlaku kejadian luar jangka seperti kekurangan anggota tentera, mereka akan diberi tanggungjawab membantu mempertahankan keselamatan.

Mohamad Farid menyarankan orang ramai terutama mahasiswa untuk cuba mendekatkan diri, mengenali dan menyertai Askar Wataniah kerana ia dapat memenuhi masa lapang dengan aktiviti bermanfaat serta mengelak daripada terbabit dalam gejala sosial.

Pengurus Hal Ehwal Akademik Kolej Antarabangsa Geomatika, Siti Rodhiyah Md. Safar, 24, pula berkata, status sebagai wanita tidak menghalang dan menjadi masalah buatnya untuk menjalani latihan dengan cabaran-cabaran lasak yang perlu ditempuhi.

"Saya ingin buktikan, tiada perkara yang mustahil dalam hidup ini. Sekiranya lelaki boleh, kami golongan wanita juga mampu melakukannya setaraf dengan kebolehan kaum lelaki.

"Tidak ramai yang mengetahui kelebihan menyertai Askar Wataniah yang selama ini dilihat sebagai latihan menggerunkan," katanya.

Tambahnya, menyertai pasukan Askar Wataniah mengajarnya erti persahabatan antara masyarakat yang berbilang kaum sekali gus membentuk semangat kesatuan di negara ini.

Sumber: Utusan Malaysia Online
post signature

Friday, June 17, 2011

Soal Jawab Bersama PAT Yang Baru Daripada TDM

ATM Perlu Dekati Rakyat


UTUSAN: Tahniah kerana telah dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera yang ke-18?

ZULKIFELI MOHD. ZIN
ZULKIFELI: Saya merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas penghijrahan ini dan penghargaan serta sembah junjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin kerana telah merestui jawatan baru saya ini.

Saya juga merakamkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah menyokong pelantikan saya dan juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang telah mengesyorkan nama saya.

Pada pengamatan saya sebarang pelantikan adalah bergantung kepada rezeki seseorang itu. Faktor-faktor lain, mungkin kerana umur, penerimaan dan sama ada seseorang itu dirasakan sesuai untuk menjalankan sesuatu tugas berkenaan.

Bagaimanakah perasaan kerana terpaksa meninggalkan jawatan terdahulu sedangkan banyak perancangan belum selesai?

Saya memegang jawatan sebagai Panglima Tentera Darat selama setahun tiga minggu dan ia adalah begitu singkat. Apa yang saya nyatakan di dalam perintah ulung saya pada 24 Mei 2010 ada yang telah dilaksanakan, sedang dilaksanakan dan ada yang masih belum dilaksanakan.

Perancangan yang belum dilaksanakan berpunca kerana kekangan masa dan kewangan. Semua perancangan ini dibuat secara konsensus bersama-sama pucuk pimpinan Tentera Darat yang lain. Memandangkan timbalan saya diangkat sebagai Panglima Tentera Darat yang baru, saya mempunyai sepenuh keyakinan bahawa beliau akan meneruskan kerja-kerja yang sedang dilaksanakan dan melaksanakan yang belum terlaksana lagi.

Pandangan Tan Sri terhadap Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin yang dilantik sebagai Panglima Tentera Darat yang baru?

Saya yakin bahawa beliau akan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh kemantapan bagi membawa Tentera Darat ke tahap yang lebih tinggi. Walaupun hanya menjadi timbalan selama setahun, saya mendapati beliau telah menjalankan tugas dengan penuh iltizam, dedikasi dan penuh semangat. Saya yakin beliau telah bersedia sepenuhnya untuk dilantik sebagai Panglima Tentera Darat.

Adakah pengalaman Tan Sri sebagai bekas Komander Tim Pemantau Antarabangsa- Mindanao dapat membantu ketika memimpin ATM?

Ya, ia akan membantu saya. Ketika bertugas di Mindanao, Filipina saya melihat keamanan tidak dapat dicapai di wilayah berkenaan kerana tiadanya national will (sokongan rakyat) yang sepenuhnya ke arah itu. Ia juga berpunca kerana tiada kemahuan politik oleh kerajaan yang memerintah ketika itu.

Saya berharap hala tuju ATM bukan sahaja memberi tumpuan kepada latihan dan pemodenan aset semata-mata malah untuk meningkatkan sokongan rakyat bagi bersama-sama mempertahan dan membangunkan negara ini.

Sokongan rakyat amat penting. Sebagai contoh, kita lihat Amerika Syarikat kalah di Vietnam bukan kerana ia ketinggalan dari segi keupayaan ketenteraan sebaliknya kerana rakyatnya tidak lagi menyokong anggota tentera berperang di negara itu.

Apakah tumpuan utama ketika menyandang jawatan Panglima Angkatan Tentera?

Tumpuan adalah untuk melatih anggota dalam ketiga-tiga perkhidmatan di bawah ATM supaya mereka sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi peperangan. Di samping itu, berikutan perubahan di peringkat antarabangsa sekarang kita juga perlu mendefinisi semula apa yang dikatakan strategi untuk keselamatan negara. Bagi saya ia seharusnya meliputi tiga aspek iaitu pertahanan, keselamatan dan pembangunan negara.

Apakah peranan ATM sekarang dalam pembangunan negara?

Sebagai jabatan atau agensi kerajaan, ATM perlu memainkan peranan dalam pembangunan negara. Ini boleh dilakukan secara efektif kerana ATM mempunyai kekuatan yang tidak dipunyai jabatan atau agensi lain.

Untuk mencapai matlamat ini, kita menyahut baik seruan kerajaan untuk melaksanakan Strategi Lautan Biru. Ini bermakna kita perlu mendekati diri dan berkhidmat kepada rakyat. Kita juga perlu melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat secara berterusan dan sepanjang masa. Bukannya seperti sekarang, hanya ketika terdapat upacara tertentu atau bencana.

Pandangan Tan Sri berhubung kepentingan Askar Wataniah?

Saya pernah menjadi Asisten Panglima di Bahagian Perkhidmatan Simpanan (BPS). Askar sukarela atau Askar Wataniah ini adalah jambatan antara ATM dengan orang awam bagi merapatkan lagi kita dengan rakyat jelata. Sudah tentu ia juga mempunyai fungsi ketika berlaku konflik apabila pasukan ini akan digerakkan atau diserapkan ke dalam pasukan tetap untuk membantu kita.


Anggota pasukan ini juga diatur gerak di sesuatu kawasan bencana seperti ketika banjir. Mereka yang merupakan penduduk tempatan di sesuatu kawasan itu mempunyai pengetahuan tentang persekitaran setempat dan bertindak sebagai penunjuk arah kepada anggota tetap.

Adakah sebarang cadangan untuk meningkat bilangan anggota sukarela?

Sekarang ini nisbahnya ialah seorang anggota tetap bagi seorang askar sukarela. Kita menetapkan dalam tempoh akan datang sehingga 2020 nisbah ini akan ditingkatkan kepada seorang anggota tetap bagi dua askar sukarela.

Alhamdulillah, berikutan keterampilan ATM sekarang dan kerana kita telah mendekati rakyat, mereka akan datang kepada kita untuk berkhidmat sebagai Askar Wataniah sama ada darat, laut atau udara.

Langkah meningkatkan bilangan askar sukarela ini juga selaras dengan sasaran kita untuk mewujudkan satu kompeni Askar Wataniah di setiap 222 kawasan Parlimen seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Apakah aset-aset baru yang dicadang untuk diperolehi oleh ATM?

Saya tidak boleh menyenaraikan. Kita mesti ingat bahawa pembangunan ATM adalah berdasarkan kepada keupayaan yang diperlukan dan bukan kerana ancaman atau sebagainya. Apabila disebut tentang keupayaan, ia mempunyai beberapa faktor penyumbang termasuk berapa banyak sumber manusia yang kita ada dan berapa kosnya yang kita mampu.

Betulkan pandangan bahawa generasi muda tidak berminat menyertai ATM?

Sebenarnya itu adalah tanggapan yang tidak begitu betul. Kita sebenarnya menerima respons yang menggalakkan daripada generasi muda. Misalnya, ketika Perhimpunan Sejuta Belia di Putrajaya ramai yang melawat ruang pameran ATM dan mereka juga banyak bertanya.

Ketika membuat pengambilan rekrut baru, walaupun jumlah yang ingin diambil lebih 2,000 orang sahaja tetapi yang memohon berjumlah berpuluh ribu orang. Semua yang memohon adalah layak. Berikutan itu, kita tiada pilihan kecuali memilih yang terbaik.

Ada individu apabila gagal dalam temu duga di sesuatu daerah akan pergi pula ke pusat pemilihan rekrut yang dibuka di daerah lain. Jika masih tidak berjaya mereka akan mencuba sekali lagi pada tahun akan datang. Kita mempunyai rekod dalam komputer mengenai siapakah individu ini. Kerana semangat itu, kita ambil juga mereka.

Adakah faktor gaji yang lebih baik menjadi punca sambutan menggalakkan ini?

Sudah tentu faktor gaji yang lebih baik adalah antara sebabnya. Ini hasil daya usaha Datuk Seri Najib yang ketika menjadi Menteri Pertahanan telah melakukan banyak penambahbaikan terhadap ATM.

Sebagai contoh, ketika saya menjadi pegawai muda pada sekitar 1980-an seorang sarjan ada menyatakan kepada saya bahawa dia tidak akan membenarkan anaknya masuk tentera. Orang yang sama setelah bersara, menelefon saya menyatakan harapan anaknya dapat memasuki ATM.

Faktor-faktor lain yang menjadi daya tarikan untuk generasi muda menyertai ATM adalah kerana mereka dapat bertugas di luar negara di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sumber: Utusan Malaysia Online
post signature

Thursday, June 16, 2011

Black Hackle - Agi Idup Agi Ngelaban

Wira 1 Renjer Tetap Setia


TETAMU... Veteran 1 Renjer yang terdiri daripada bekas tentera British
dan ahli keluarga mereka disambut di Lapangan Terbang Kuching
sempena majlis perjumpaan semula baru-baru ini.
REJIMEN 1 Renjer pernah digeruni musuh negara satu ketika dulu kerana keupayaan mereka mengekang dan melumpuhkan pengganas komunis serta tentera negara jiran dalam konfrontasi Malaysia-Indonesia.

Era 60-an hingga 80-an merupakan tempoh kegemilangan pasukan tersebut dan kejayaan membunuh 91 pengganas dan menawan lapan musuh negara itu merupakan rekod terbaik bagi unit infantri di bawah Tentera Darat Malaysia.

Slogan Agi Idup Agi Ngelaban yang menjadi pegangan mereka masih menjadi kata-kata keramat pasukan tersebut.

Kejayaan ketika menjalankan operasi keselamatan dalam era darurat itu, seorang anggota Renjer telah dianugerahkan darjah tertinggi keberanian iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), enam dikurniakan Darjah Pingat Gagah Berani (PGB), empat anggota dikurniakan Pingat Perutusan Keberanian dan dua anggota menerima Pingat Keberanian Sarawak (PKS).

Selain itu, kerajaan negeri Sarawak juga telah menganugerahkan 'Truncheon' pada 19 November 1966 manakala Kerajaan Malaysia menganugerahkan Panji-Panji Rejimen pada 8 Oktober 1979 sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan dan pengorbanan pasukan 1 Renjer.

Bagi mengenang semula saat-saat mempertahankan negara itu, veteran 1 Renjer atau yang kini dikenali sebagai Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) bertemu semula dalam satu majlis khas di Kuching baru-baru ini.

Majlis perjumpaan semula itu telah menemukan para pegawai renjer yang berkhidmat dari 1963 hingga 1967 termasuk veteran Tentera British yang menganggotai pasukan 1 Renjer sekitar tahun tersebut.

Pihak penganjur berjaya mengumpulkan seramai 350 veteran tempatan dan 25 veteran Tentera British yang juga merupakan anggota perintis kepada penubuhan 1 Renjer.

Pertemuan bersejarah itu dicetuskan semasa pertemuan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dengan Presiden Airod Sdn. Bhd, Tan Sri Ahmad Johan bagi menghargai jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh veteran terlibat.

Ketibaan delegasi veteran Tentera British di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baru-baru ini disambut dengan tiupan serunai dan ketika itu ada yang dilihat menitiskan air mata apabila mereka disambut oleh para pegawai kanan Rejimen Renjer.

Bagi meraikan mereka, Panglima Tentera Darat telah mengadakan Majlis Ramah Mesra yang berkonsepkan tradisi warisan Sarawak dan dimeriahkan dengan persembahan tarian tradisional Melayu oleh Badan Kesenian Tentera Darat.

Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin berkata: ''Keamanan dan kejayaan negara yang dikecapi hingga kini adalah atas titisan darah, peluh dan air mata para perajurit yang terdahulu.''

Apa yang jelas di sepanjang majlis tersebut, keakraban veteran tempatan dan veteran tentera British amat terserlah yang terbina daripada latihan intensif dan jerit perih dalam melaksanakan tugas operasi yang melakar banyak kejayaan.

Menurut Mejar (B) Edmund Abit, kebanyakan mereka bertugas bersama di dalam beberapa kempen seperti menangani pemberontakan di Brunei, konfrantasi Malaysia-Indonesia dan membanteras pengganas Komunis di Semenanjung dan Sarawak pada pertengahan tahun 60-an.

''Operasi-operasi itu telah melahirkan beberapa pahlawan 1 Renjer seperti Awang ak Rawing (Penerima Darjah Keberanian George Cross), Kanang ak Langkau (Penerima SPPGB) serta beberapa penerima pingat PGB dan KPK lain" ujarnya.

Ketua delegasi veteran dari UK, Kol. (B) David Twiggs yang merupakan Ajutan pertama 1 Renjer pula melahirkan penghargaan kepada Ahmad Johan yang berjaya menyatukan semua bekas pegawai dan anggota 1 Renjer dari seluruh Malaysia, United Kingdom, Kanada dan Hong Kong.

Ahmad Johan merupakan bekas pegawai Tentera Darat yang ditauliahkan ke 1 Renjer pada 1966 selepas menjalani latihan Kadet di Royal School of Infantry, Kanada dan merupakan anak tempatan pertama dilantik sebagai Ajutan 1 Renjer ketika itu.

Beliau juga memuji keberkesanan kepimpinan dan perancangan latihan Pegawai Memerintah pertama 1 Renjer, Lt. Kol. Fairy Gopsill yang berjaya mewujudkan satu landasan kesatuan yang jitu di dalam kehidupan pelbagai kaum 1 Renjer ketika itu.

Fairy yang tidak dapat hadir hanya diwakili isterinya, Susan Mary Gopsill yang memberitahu, betapa gemuruh perasaannya setiap kali terdetik perkataan Sarawak dan Rangers di mindanya.

Dengan berbekalkan pengalaman jurulatih dan anggota kanan Tentera British sebagai perintis penubuhan 1 Renjer serta semangat jitu dan kesungguhan anak watan yang terkenal dengan kepakaran ilmu di hutan serta keberanian semasa bertugas dalam Sarawak Rangers, dalam masa setahun 1 Renjer telah mencapai taraf operasi dan mula ditugaskan di Sempadan Sarawak-Kalimantan.

Pengerusi Penganjur Reunion 1 Renjer Tentera Darat, Mejar Jen. Datuk Suhaimi Mohd. Zuki berkata, pertemuan itu telah merintis jambatan baru bagi veteran 1 Renjer untuk menjalin semula hubungan yang lama terputus.

''Titisan air mata kegembiraan bercampur perasaan terharu di kalangan mereka ketika bertemu semula, menggambarkan semangat setiakawan di kalangan veteran Renjer masih tetap utuh dan tidak akan luntur,'' ujarnya.

Mengambil kesempatan daripada pertemuan itu, kesemua mereka telah dibawa ke lokasi lama tempat bertugas serta ke sekitar bandar raya Kuching.

Semoga veteran Renjer dan juga para perajurit yang memakai Black Hackle akan sentiasa menyanjung tinggi dan menghayati ertikata Agi Idup Agi Ngelaban.

Sumber: Utusan Malaysia Online
post signature

Hari Terbuka Tentera Bersama Rakyat

Hari terbuka Batalion Ke-21 RAMD meriah


Oleh ASMA HANIM MAHMOOD

PROGRAM Hari Terbuka Tentera Bersama Rakyat anjuran Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD) Pengkalan Chepa berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti termasuk pameran dan sukaneka.

Pegawai Memerintah 21 RAMD, Leftenan Kolonel Marzuki Mokhtar berkata, program sehari yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-33 batalion berkenaan penting bagi merapatkan lagi hubungan antara tentera dan masyarakat di samping memupuk kesedaran bahawa kewajipan mempertahankan negara terletak atas bahu semua pihak.

Marzuki Mokhtar (berbaring kiri) menderma darah kepada
Tabung Darah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)
sempena Hari Terbuka Tentera Bersama Rakyat anjuran 

Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD)
di Pengkalan Chepa, Ahad lalu.
"Kita tidak mahu wujud jurang antara orang awam dan tentera kerana tugas mempertahankan keamanan negara adalah tanggungjawab bersama.

"Tidak kira orang awam atau tentera, kita semua wajib mempertahankan keamanan yang dinikmati sekarang kerana hanya masyarakat yang aman berupaya membangunkan negara," katanya ketika ditemui pada program tersebut Ahad lalu.

Pada program itu, lebih 100 warga 21 RAMD telah menderma darah kepada tabung darah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Turut diadakan adalah aktiviti meraikan kira-kira 30 anak-anak istimewa oleh Badan Kebajikan Isteri Angkatan Tentera Malaysia (BAKAT) cawangan 21 RAMD di bawah pimpinan Pengerusinya, Roziah Abdullah.

Marzuki berkata, masyarakat dapat melihat dengan lebih dekat kekuatan, kemahiran serta bakat seni warga 21 RAMD yang bukan sahaja gagah semasa operasi di perbatasan tetapi sentiasa memberi khidmat bakti mereka melalui program seperti gotong royong, derma darah dan sebagainya.

"Selain pameran tentera, kita amat berterima kasih dengan kerjasama daripada pihak polis, bomba dan syarikat swasta yang membuka gerai pameran sempena program ini," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online
post signature

Monday, June 6, 2011

Perajurit Muda Siti Nurhaliza Taruddin

Siti Nurhaliza sertai askar Wataniah

Mei 26, 11

Penyanyi nombor satu negara, Dato' Siti Nurhaliza Taruddin dijangka menyertai Rejimen Askar Wataniah dalam masa terdekat, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Siti Nurhaliza bersetuju menyertai Askar Wataniah atas sokongan suaminya," katanya kepada pemberita pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 Jabatan Latihan Khidmat Negara dan Pemakaian Pangkat Kolonel Kehormat kepada Ketua Pengarah jabatan itu, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur hari ini.

Seorang lagi penyanyi, Jaclyn Victor dan bekas pengacara TV3, Maznah Zolkifli turut melahirkan hasrat menyertai pasukan sukarelawan itu, kata Ahmad Zahid yang turut mengajak beberapa pelakon lelaki untuk menjadi askar wataniah.

"Mereka dijangka menyertai dalam masa terdekat dan majlis pelancaran akan dijalankan sebelum mereka menjalani latihan sebelum bulan puasa," katanya.

Sesiapa yang menyertai Rejimen Askar Wataniah perlu menjalani dan menamatkan latihan 39 jam dalam masa setahun mengikut kelapangan masing-masing sebelum ditauliahkan.

Ahmad Zahid berkata selebriti yang menyertai rejimen itu dapat dijadikan sebagai ikon untuk menarik minat lebih ramai individu di bawah usia 35 tahun menjadi askar wataniah. Beliau juga berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia menjalankan tugas sampingan bagi misi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana alam.

Katanya meskipun tugas hakiki ATM khususnya Tentera Darat adalah menjadi benteng menjaga kedaulatan dan keamanan negara, pasukan itu sentiasa bersedia menjalankan misi yang memerlukan khidmat mereka.

"Malaysia adalah sebuah negara aman dan tidak terlibat dengan perang maka dalam keadaan aman, tentera darat dan lain-lain perkhidmatan bersedia untuk menjadi tentera ''rakyat''," katanya.

Ahmad Zahid berkata ATM mempunyai aset, peralatan dan jentera yang lengkap serta anggota-anggota yang terlatih untuk menghadapi keadaan darurat termasuk bencana alam.

Dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat pada Sabtu lalu, beliau telah meminta Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jen Tan Sri Azizan Ariffin dan Panglima Tentera Darat Jen Datuk Seri Zulkifeli Mohd Zin menghantar anggota tentera untuk membantu.

- Bernama
post signature

Thursday, June 2, 2011

Pelancaran Kompeni AW Parlimen Bukit Katil, Masjid Tanah, Tangga Batu dan Jasin

Parlimen Bukit Katil, Masjid Tanah, Tangga Batu dan Jasin sahut seruan tambah anggota

Askar Wataniah
Oleh Badrul Hizar Ab Jabar
bhizar@bharian.com.my

Zulkifeli (berdiri empat dari kiri) dan pegawai kanan bersama Askar Wataniah selepas Majlis Pelancaran Kompeni Askar Wataniah Kawasan Bukit Katil, Masjid Tanah, Tangga Batu dan Jasin di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir.

PERANAN Askar Wataniah (AW) sebagai pasukan sukarela memang tidak dapat dinafikan. Kewujudan pasukan ini adalah penting kerana negara memerlukan lebih ramai anggota sukarela yang komited dalam mencurah bakti kepada keselamatan dan keamanan negara.

Sehubungan itu, usaha menarik pembabitan belia, terutama yang bekerja di sektor awam dan swasta untuk menyertai pasukan itu sentiasa digalakkan.

Menyedari kepentingan peranan pasukan itu, langkah menarik lebih ramai minat belia menyertai AW adalah bertepatan.

Walaupun keselamatan negara tidak lagi diancam anasir subversif, kesedaran mewujudkan pasukan sukarela yang terlatih perlu dilaksanakan berterusan.

Selain itu, pembabitan belia dalam pasukan berkenaan juga dapat mempercepatkan matlamat kerajaan untuk menyediakan 80,000 anggota sukarela menjelang 2020.

Baru-baru ini, kompeni AW Kawasan Parlimen Bukit Katil, Masjid Tanah, Tangga Batu dan Jasin di Melaka dilancarkan sebagai menyahut seruan kerajaan meningkatkan keanggotaan AW bagi memastikan rakyat Malaysia sentiasa bersedia pada setiap masa.

Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd Zin di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka itu bagi memberi peluang kepada masyarakat mendekati pasukan AW.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar Kaseh; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md Yunos Husin dan Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron.

Selain menyaksikan perbarisan seramai 400 anggota Rejimen 514 AW, masyarakat juga berpeluang menyaksikan acara pertunjukan anjing perang, kawad senyap dan senaman perang.


Perarakan penyerahan bendera Askar Wataniah yang akan disampaikan kepada Zulkifeli.


Orang ramai turut diberikan pendedahan mengenai peralatan dan kelengkapan ketenteraan melalui pameran kenderaan tentera, makanan khas, kelengkapan dan alat komunikasi yang digunakan untuk mempertahankan negara.

Zulkifeli dalam ucapannya berkata, penubuhan pasukan AW di setiap kawasan menjadi begitu sinonim dan memberi pendedahan kepada warga awam berhubung sebahagian aktiviti latihan dan tugas anggota tentera.

Beliau berkata, sebagai orang awam yang memberikan perkhidmatan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pendedahan itu secara tidak langsung dapat meningkatkan kefahaman dalam melaksanakan tugasan harian.

"Selain itu, pembangunan modal insan dan hubungan baik yang sedia terjalin di antara orang awam dan ATM juga akan terus dipertingkatkan.

"Dalam konteks ini, saya percaya AW boleh menjadi penghubung antara tentera dengan rakyat, malah AW berupaya meniup semangat generasi baru untuk mencurahkan khidmat murni kepada negara," katanya.

Sumber: Berita Harian Online
post signature

Sunday, May 15, 2011

Rejimen Sempadan Mengawal Sempadan Negara

Rejimen Sempadan Pertingkat Usaha Banteras Jenayah


Oleh Adha Ghazali
adha@bharian.com.my
2011/02/25

Perbarisan hari Ulang Tahun Ke-3 Rejimen Sempadan
REJIMEN Sempadan (RS) akan mengguna pakai setiap maklumat dikumpulkan kelima-lima batalion di bawah kor berkenaan untuk mengenal pasti bentuk ancaman yang mungkin wujud, terutama membabitkan aktiviti jenayah antara sempadan di kawasan operasi yang dipertanggungjawabkan.

Panglima Briged Sempadan, Brig Jen Azlan Abdul Rahman, berkata segala maklumat berkenaan juga akan diguna pakai sebagai panduan untuk mencari alternatif terbaik bagi mengekang penularan jenayah sedemikian di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand sejauh kira-kira 600 kilometer.

Mengulas lanjut, katanya, kawasan penugasan RS yang bermula dari Kelantan ke Perlis lebih banyak terdedah kepada ancaman bukan konvensional seperti penyeludupan, penyusupan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta jenayah antara sempadan yang lain.

Beliau berkata, walaupun ia tidak membabitkan peperangan, namun ancaman diterima hasil daripada taktik dan muslihat yang sentiasa berkembang oleh penjenayah terbabit sentiasa menimbulkan kerisauan.

"Justeru, semua Pegawai Memerintah Batalion 1 hingga 5 RS di sepanjang garisan sempadan Malaysia-Thailand diberi tanggungjawab khusus menilai bentuk ancaman serta perkembangan muslihat yang mungkin wujud di kawasan penugasan masing-masing untuk dianalisa.

"Selain itu, Markas Briged Sempadan juga turut mengguna pakai landasan Jawatankuasa Sempadan Bersama (JBC) antara Malaysia-Thailand, terutama melalui Mesyuarat Komander Unit yang diadakan dua kali setahun untuk bertukar maklumat dan risikan.

"Melalui kaedah ini kita yakin segala cubaan menyeludup barangan atau pendatang tanpa izin melalui sempadan Malaysia-Thailand akan dapat dikesan lebih awal, sekali gus membolehkan tindakan memintas aktiviti terbabit dilakukan dengan lebih sempurna," katanya ketika menghadiri Perbarisan Hari Ulang Tahun Ketiga RS yang berlangsung di Markas 4 Rejimen Renjer Diraja (RRD) di Kem Oran, Kangar, di sini.

RS ditauliahkan pada 12 Januari 2008 sebagai Kor ke-16 Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan sasaran mewujudkan satu pasukan yang mampu, seimbang dan bersedia melaksanakan misinya sebagai sebahagian daripada agensi pengurusan sempadan nasional.

Rejimen itu yang baru mengambil alih penugasan kawalan dan pemantauan sempadan Malaysia-Thailand daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) pada November tahun lalu, berperanan mengawal keselamatan sempadan daripada sebarang kegiatan pencerobohan, penyusupan, penyeludupan dan kegiatan jenayah.

Sementara itu, Azlan berkata, Markas Briged Sempadan yang kini menumpang di 4 RRD dijangka memiliki markasnya sendiri di Perlis, sekali gus meningkatkan tahap keupayaan kor dalam menangani ancaman di sempadan penugasan.

"Setakat ini, cadangan pembinaan markas terbabit di kawasan Mata Ayer, dekat sini, sudah diserahkan untuk dipertimbangkan dan jika mendapat kelulusan, kemungkinan besar ia akan disempurnakan melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10)," katanya.

Sumber: Berita Harian Online
post signature

Sunday, April 24, 2011

Kenali SNIPER

SNIPER - Pertarungan Disebalik Tabir


Backdated Issues 2010 - June 2010
Written by Zuridan Bin Muhammad
Tuesday, 15 June 2010
Jika disebut sahaja istilah ‘sniper’ atau penembak tepat, tentu sahaja bayangan yang muncul difikiran umum ialah mengenai anggota kumpulan penembak yang terpilih dengan kemahiran menjejak sasaran serta melaksanakan tembakan dari jarak jauh yang begitu mengkagumkan.

Untuk menjadi seorang sniper bukanlah satu perkara mudah dan latihan yang harus dilalui oleh seorang anggota infantri untuk menjadikan beliau seorang yang diiktiraf sebagai layak memakai lencana sniper adalah diperakui sebagai sesuatu yang amat sukar.

Bagi seorang sniper, selain dari kemahiran untuk menjadikan beliau seorang ‘halimunan’ dari pandangan musuh, beliau juga perlu mahir dalam melaksanakan perkiraan keadan yang tepat, membaca arah angin dan keadaan cuaca, melaksanakan penyamaran yang amat baik serta mampu bertahan dari tekanan beroperasi jauh di belakang kawasan musuh secara bersendirian atau dalam kumpulan kecil antara dua hingga tiga anggota sahaja. Bagi seorang sniper moden beliau dibantu oleh pelbagai jenis sistem dan kelengkapan terkini yang dapat membantu menjadikan tugas beliau lebih mudah serta efektif.

Latarbelakang
Perkataan ‘sniper’ itu sendiri sebenarnya tidak membawa apa-apa makna berkaitan istilah ketenteraan dan sebenarnya berasal dari perkataan ‘Snipe’ iaitu sejenis burung di India yang bersaiz kecil dan bergerak serta terbang dengan pantas. Tentera British yang berkhidmat di India kerap cuba memburu burang tersebut dan sekitar tahun 1773, perkataan ‘sniper’ diwujudkan, iaitu gelaran yang diberikan kepada anggota yang kerap berjaya menembak burung tersebut degan tepat. Gelaran ini seakan memberikan pengiktirafan kepada kemampuan anggota tersebut untuk mendekati serta berpeluang melepaskan tembakan sebelum dapat dikesan oleh haiwan tersebut, yang sebenarnya adalah satu tugas yang sukar kerana lazimnya haiwan mempunyai deria yang lebih peka terhadap persekitaran, apa lagi seekor burung yang dapat terbang dan bergerak pantas di permukaan dan juga udara. Warna dan corak burung tersebut yang menyerupai kawasan persekitaran juga menjadikan tugas mengesan haiwan tersebut sebagai sangat sukar. Pengiktirafan kedua ialah kemampuan anggota tersebut untuk menggunakan sistem persenjataan atau raifalnya dengan cekap sehingga mampu mengenai sasarannya yang kecil dari jarak jauh.

Walaupun nama ‘sniper’ itu sendiri berasal dari perkataan yang diwujudkan oleh anggota tentera British, kewujudan anggota yang ditugaskan khusus bagi memburu anggota musuh dengan tembakan dari jarak jauh atau secara tersembunyi dipelopori oleh tentera Jerman ketika Perang Dunia Pertama. Penggunaan anggota-anggota tentera Jerman yang mempunyai kemahiran tinggi untuk menembak musuh dari jarak jauh secara tepat telah mengejutkan pihak infantri British yang kemudiannya mula menubuhkan pasukan sniper mereka sendiri dalam jangkamasa yang singkat. Sejak dari Perang Dunia Pertama, sniper telah diiktiraf sebagai sebahagian dari juzuk pasukan infantri yang penting dalam sesuatu konflik bagi kebanyakan pasukan tentera.

Menjadi seorang sniper
Sememangnya untuk menjadikan seorang anggota infantri kepada seorang sniper yang cekap, pasukan tentera darat dari negara-negara global mempunyai cara latihan yang berbeza mengikut sistem latihan masing-masing. Namun terdapat beberapa perkara asas atau kepakaran yang sama untuk dipelajari dan dimahirkan oleh setiap anggota yang mahu bergelar sebagai sniper, tanpa mengira dari pasukan tentera negara mana seseorang itu bertugas. Terdapat kemahiran-kemahiran khusus atau skil yang mesti dikuasai oleh setiap bakal sniper. Kemahiran-kemahiran yang dimaksudkan adalah pengetahuan am mengenai tugas seorang sniper, penyamaran halimunan, kemampuan pemerhatian, mengendap, menganggar jarak dan akhir sekali kemampuan melaksanakan penembakan tepat.

Setelah latihan dilaksanakan, setiap anggota akan diuji secara individu. Ini penting kerana sniper tidak akan diuji secara berpasangan atau dalam bentuk tim. Ini kerana dalam tugas seorang sniper, besar kemungkinan seorang anggota sniper akan mendapati bahawa beliau terpaksa beroperasi berseorangan akibat kematian rakannya oleh tembakan atau ditawan musuh. Untuk mendalami secara lebih lanjut mengenai apakah yang diperlukan untuk menjadi seorang sniper, TEMPUR akan mengambil contoh apakah yang diperlukan dari seorang infantri British agar dapat mencapai taraf menjadi seorang sniper dengan mengambilkira enam kemahiran yang telah dijelaskan sebelum ini.

1. Pengetahuan mengenai tugasan sniper
Ini adalah merupakan ilmu pengetahuan mengenai tugasan sniper serta kelengkapan yang diguna pakai bagi tujuan tersebut. Ini termasuklah jenis sistem persenjataan, memahami kesan angin terhadap trajektori anak peluru, membuat perkiraan bagi mengetahui impak anak peluru ke sasaran berdasarkan keadaan persekitaran dan cuaca, kemahiran membaca peta dan foto udara serta jati diri yang tinggi, tidak gentar menghadapi apa jua cabaran di medan. Sebelum melangkah lebih jauh, satu ujian bertulis mengenai pengetahuan yang berkaitan akan diberi kepada anggota tersebut. Ini termasuklah soalan mengenai jarak ke sasaran serta masalah angin dan bagaimana melakukan perkiraan untuk mengatasi masalah-masalah yang timbul akibat arah dan kekuatan tiupan angin yang tidak menentu. Kesemua jawapan bertulis mestilah mempunyai nota perkiraan yang ditulis sendiri oleh anggota untuk membuktikan beliau benar-benar memahami apa yang sepatutnya diketahui.

Penekanan juga diberikan terhadap kemampuan pandu arah atau navigasi. Malah anggota akan diberikan foto udara sesuatu kawasan dan diarahkan untuk melakar grid dan menentukan skala foto tersebut secara tepat. Beliau kemudiannya akan dibawa ke lokasi yang tidak diketahui dan perlu menentukan di manakah beliau berada berpandukan foto udara yang telah diberikan sebelum ini. Setelah itu enam lagi permasalahan berkaitan foto tersebut perlu diselesaikan, diikuti dengan enam masalah lain berkaitan pemetaan.
Dalam kesemua masalah yang diberikan, anggota mestilah mampu menentukan kedudukan beliau setidak-tidak dalam lingkungan tertentu, contohnya dalam menentukan sudut panduarah, ianya mestilah dalam lingkungan 10mils, untuk grid dalam lingkungan 100 meter, manakala bagi jarak dalam lingkungan 50 meter. Beliau juga mestilah mampu melakukan pergerakan atau perjalanan waktu malam dengan membawa beban 40 lbs serta persenjataan peribadi untuk jarak sejauh lapan kilometer dalam masa satu jam 30 minit.

2. Penyamaran halimunan
Seorang anggota yang mengikuti kursus menjadi sniper mestilah mampu menyembunyikan diri tanpa dapat dilihat oleh dua anggota peninjau yang berpengalaman dari jarak antara 150 hingga 300 meter. Dari jarak yang dinyatakan ini, beliau perlu melepaskan satu das tembakan ke arah kedua pemerhati tersebut dan kedudukan beliau secara fizikal mestilah gagal dikesan, walaupun kawasan di mana beliau menyorok telah ditunjukkan kepada kedua pemerhati itu. Beliau diberikan peluang untuk melaksanakan penembakan sebanyak tiga kali dan perlu lulus dua dari percubaan itu. Beliau diberikan masa selama tujuh, lima dan tiga minit untuk menyembunyikan diri. Beliau juga perlu duduk di posisi selama 20 minit dan mengenal-pasti tiga kad yang bertulis huruf tertentu yang dipamerkan dengan betul.

Ujian dimulakan dengan angggota diberikan tempoh masa untuk menyembunyikan diri. Ini diikuti dengan tempoh masa 20 minit bagi mengenalpasti kad huruf . Seorang anggota tim penilai yang dinamakan ‘walker’(pejalan) akan bergerak sehingga berada 10 meter dari anggota dan akan menggunakan tangan untuk menunjuk di mana anggota berada kepada dua pemerhati (yang merupakan dua sniper berpengalaman yang masing-masing dibekalkan dengan teropong berkuasa 7x). Anggota diberikan 10 saat untuk melepaskan tembakan dan kemudian mengenalpasti huruf yang dipamerkan. Pemerhati pula diberikan dua peluang untuk mencari dan mengenal pasti kedudukan anggota dengan memberitahu kepada ‘walker’ melalui radio di mana mereka percaya anggota tersebut bersembunyi.

3. Kemampuan pemerhatian
Anggota mestilah mampu mencari dan mengenal-pasti 10 objek berkaitan ketenteraan dari jarak lima hingga 300 meter dalam masa 30 minit dengan bantuan binokular serta teropong pengesan. Beliau kemudiannya akan melakar satu lakaran panoramik yang bermutu tinggi. Lukisan tersebut mestilah disiapkan dalam tempoh jangkamasa 10 minit dan pemarkahan penuh adalah 20 mata. Pecahan markah ialah 10 untuk ketepatan, bersih dan mampu dijadikan sebagai petunjuk, lima mata untuk ciri perspektif yang betul dan lima mata lagi sekiranya lakaran turut mencatatkan nota pandu arah, arah utara, tiga jarak utama yang mampu dijadikan panduan dan skala lukisan.

Anggota juga perlu mengenalpasti objek-objek yang dipamerkan dengan tepat. Sejumlah empat mata diberikan jika anggota dapat memberikan gambaran yang tepat. Ini merangkumi dua mata apabila objek dikenalpasti kedudukannya, satu mata apabila objek dikenali dengan tepat dan satu mata tambahan jika dapat menjelaskan sifat dan asal-usul permbuatan objek tersebut (contohnya kotak peluru, buatan Rusia). Anggota juga boleh mendapat markah tambahan jika mereka melakar objek yang dilihat dengan tepat. Sebelum ujian, anggota akan ditunjukkan 40 objek yang berbeza dan kesemuanya adalah objek yang diguna pakai oleh pihak tentera asing. Mereka mestilah meneliti objek-objek tersebut kerana sebahagian darinya akan adalah objek yang akan dipamerkan kelak. Untuk menyukarkan lagi keadaan, hanya sebahagian sahaja dari objek secara fizikal akan diperlihatkan kepada mereka ketika tujuan hakiki. Kemudahan yang diberikan kepada anggota ialah, objek yang dipamerkan mestilah dapat dikesan dengan bonokular dan dikenalpasti dengan teropong pengesan (spotting scope).

4. Mengendap
Anggota mestilah mampu bergerak tanpa dapat dikesan dalam perjalanan antara 1.5 hingga 2km, mengesan satu pos kawalan yang dihuni oleh dua anggota tim penilai dan bergerak pada jarak antara 150 hingga 300 meter dari pos tersebut. Anggota kemudiannya perlu melepaskan dua das tembakan peluru kosong tanpa kedudukan beliau dapat dikesan oleh tim penilai.

Bagi ujian ini anggota akan merangka pelan operasi selama 10 minit dan kemudian bergerak mengendap ke arah kawasan objektif mengikut masa sendiri. Apabila berjaya bergerak pada jarak yang telah ditetapkan, beliau akan melepaskan tembakan yang pertama. Walker kemudiannya akan bergerak 10 meter dari kedudukan akhir anggota dan menunjukkan arah posisi anggota kepada tim penilai. Anggota mempunyai masa 10 saat untuk membuat tembakan yang kedua dan selepas itu membaca empat huruf pada kad khusus. Sistem pejera beliau terutama bacaan jarak dan pembetulan arah angin mestilah berada pada kedudukan yang betul dan tembakan dibuat secara terus tanpa menggunakan apa-apa sokongan fizikal kepada raifal yang digunakan. Anggota mestilah kemudian keluar dari tempat persembunyiannya tanpa dapat dikesan oleh tim pemerhati yang berada di pos kawalan.

5. Menganggar jarak
Anggota mestilah mampu membuat anggaran jarak yang tepat sekurang-kurangnya lapan kali dari sepuluh ujian jarak yang diberikan. Ketepatan anggaran jarak yang dibuat mestilah berada pada peratusan tertentu mengikut cara apa yang digunakan ketika membuat anggaran tersebut. Contohnya apabila menggunakan mata kasar, anggota boleh membuat kesilapan sehingga 15% dari jarak sebenar. Apabila menggunakan binokular, 10% kesilapan dan akhir sekali dengan teropong yang mempunyai retikal Mil-dots, 5%.

6. Ketepatan tembakan
Bagi ujian kemampuan penembakan, seorang anggota akan hanya diberikan gelaran ‘sniper’ sekiranya beliau telah lulus kesemua ujian yang telah dinyatakan sebelum ini dan akhirnya mampu melepaskan tembakan yang membunuh dengan hanya sebutir peluru dari jarak 900 meter terhadap sasaran bersaiz manusia. Ini adalah kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak infantri tentera British bagi membolehkan anggota menerima lencana sniper. Beberapa siri ujian dari jarak antara 300 ke 900 meter akan dilaksanakan dalam beberapa keadaan. Tembakan permulaan adalah dari jarak 900 meter dan kemudiannya secara beransur-ansur turun sehingga jarak 300 meter. Sebahagian dari tembakan mestilah dilaksanakan dari posisi melutut dan duduk. Penembakan dari posisi menirap akan dilakukan hanya beberapa kali sahaja. Ini sengaja dibuat kerana ketika operasi hakiki, sniper akan hanya dapat mencari kedudukan menirap untuk melepaskan tembakan hanya dalam keadaan-keadaan tertentu dan tidak setiap masa.

Senario yang diberikan ini adalah merupakan contoh mengenai apakah ujian serta bagaimanakah proses pemilihan seorang anggota, dari asalnya menjadi hanya seorang infantri sehinggalah kepada anggota yang mempunyai kemahiran khusus, iaitu seorang sniper. Jika diteliti kepada kemahiran dan ujian yang dibuat, jelas sekali kemahiran untuk melaksanakan penembakan adalah merupakan hanya satu juzuk dari kemahiran yang pelbagai. Malah mungkin lebih penting dari itu, kemahiran untuk menyamar serta melaksanakan pergerakan secara halimunan adalah lebih kritikal kepada mereka untuk dapat menghampiri sasaran supaya mampu melepaskan tembakan dengan selesa dan tepat. Selain itu kemahiran fizikal semata-mata bukanlah menjadi penentu kepada kemampuan untuk menguasai kemahiran menjadi seorang penembak tepat, malah beliau juga perlu mempunyai kemahiran lain seperti tahu menggunakan formula perkiraan sudut dan jarak, selain arah dan kelajuan angin untuk menentukan ciri-ciri penembakan tepat. Ini kritikal terutamanya apabila mahu melakukan penembakan secara mendongak ke sudut lebih tinggi, atau melandai jauh ke kawasan tanah yang lebih rendah.

Kelengkapan dan peralatan
Pada suatu masa dahulu, raifal sniper yang popular digunakan oleh kebanyakan tentera global adalah berkaliber 7.62 x 51mm bagi negara-negara Barat dan Pakatan NATO atau 7.62 x 54mm bagi Rusia dan negara-negara Pakatan Warsaw. Walaupun terdapat kaliber-kaliber lain yang turut digunakan, namun ia adalah dalam jumlah yang amat terhad. Raifal-raifal yang digunakan pula adalah pelbagai dengan raifal bercirikan pengendalian insani atau manual untuk mengendalikan sistem mekanikal adalah yang paling.

post signature

Wednesday, April 20, 2011

Hari Terbuka PUTD Hebat!

Tentera Darat Tunjuk Kekuatan PUTD

Oleh HAMDAN TAWADI

"Bagaikan 'mini' Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA)".

Itu dinyatakan pembantu tadbir di Hospital Batu Pahat, Mohd. Azree Jamin, 34, yang mengunjungi Hari Terbuka Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) bersama isteri dan anak-anaknya di Kem Mahkota, Kluang baru-baru ini.

Manakan tidak, hari terbuka yang diadakan selama tiga hari bermula 1 April lalu itu, bukan hanya mempamerkan aset dan kecekapan PUTD malah turut menghimpunkan kira-kira 20 agensi kerajaan dan swasta.

Antara yang terlibat adalah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Tentera Darat dan syarikat Airod Sdn. Bhd. serta Zetro Sdn. Bhd.

MEJAR Jeneral Datuk Razali Ahmad (kiri) menyerahkan replika helikopter
kepada Mohd. Shabree Hussein sebagai tanda penghargaan
pada Hari Terbuka Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD)
di Kem Mahkota, Kluang, baru-baru ini.
Para pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar terutamanya bersebelahan dan di dalam helikopter Agusta A-109 LOH milik PUTD dan helikopter Mi-171 yang menjadi aset Jabatan Bomba dan Penyelamat selain pesawat ringan milik kelab-kelab persendirian.

Turut menarik perhatian ramai adalah kenderaan pemusnah bom kawalan jauh, Wheel Barrow MK 7 dan Bomb Tech Defender yang digunakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Aksi penerjunan payung terjun daripada penerjun Grup Gerak Khas (GGK), 10 Briged Para dan PUTD juga berjaya memukau ramai.

Malah para pengunjung turut kagum melihat ketangkasan aksi Tentera Darat turun daripada helikopter Agusta A-109 LOH yang 'terapung' di udara dengan menggunakan tali.

Secara umumnya, hari terbuka yang berkonsepkan pameran dan karnival udara itu melibatkan pameran statik pesawat, 'joyride' pesawat, pertunjukan payung terjun, demonstrasi anjing perang dan pertandingan mewarna.

Menurut Pengarah PUTD, Kolonel Mohd. Shabree Hussein, hari terbuka tersebut mendapat sambutan 'hangat' apabila dikunjungi kira-kira 30,000 orang.

Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim turut mengunjungi hari terbuka tersebut.

Hadir sama Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Razali Ahmad; Panglima 7 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Abu Musa A. Rahman; Pegawai Memerintah Rejimen 881 PUTD, Leftenan Kolonel Abd. Razak Haron dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Supritendan Mohamad Nor Mohamad.

PUTD yang ditubuhkan pada 11 Mac 1995 mempunyai satu skuadron iaitu No. 881 Skuadron yang berpangkalan di Kem Mahkota, Kluang, Johor.

Pasukan itu kini mempunyai 11 helikopter tinjauan ringan Agusta A-109 LOH dan 67 juruterbang yang dilengkapi kemahiran taktikal bersesuaian dengan keupayaan pesawat digunakan.

PUTD adalah satu kor di dalam Tentera Darat Malaysia yang berperanan memberikan bantuan udara di medan tempur kepada unit-unit Tentera Darat.

Buat masa ini, PUTD dilengkapkan dengan helikopter dalam peranan perhubungan dan tinjauan di medan tempur. Tentera Darat Malaysia merancang untuk melengkapkan PUTD dengan helikopter penggempur pada masa akan datang.

Peranan PUTD termasuk memberi sokongan taktikal kepada formasi Tentera Darat, tinjauan medan tempur, beroperasi sebagai sebahagian daripada satu pasukan gabungan senjata dan menjalankan operasi mencari serta menyelamat.

Tentu ada yang masih ingat laporan media tentang PUTD membuat penerbangan ihsan menghantar jantung dan paru-paru seorang penderma di Muar yang disahkan mati otak ke Kuala Lumpur bagi pembedahan pemindahan organ di Institut Jantung Negara (IJN) pada 5 Januari 2009.

Helikopter Agusta A109LOH itu melakukan penerbangan dari padang ragbi di Tanjung Emas, Muar pada pukul 5.30 petang dan mendarat di padang Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 6.10 petang, sebelum organ itu dibawa dengan van menuju ke IJN.

Sumber: Utusan Malaysia Online
post signature

Artis Menjadi Askar Wataniah Di R515AW

Mahu Jadi Seperti Bapa 

WALAUPUN sudah menyertai askar Wataniah, Min masih menyimpan hasrat untuk kembali menyanyi.
SIAPA sangka, sejak lebih sedekad artis Yasmin Malik atau dikenali dengan nama komersial Min Malik yang lama menyepi dalam industri hiburan, kini beralih minat memasuki bidang ketenteraan – askar simpanan atau wataniah sebagai Perajurit Muda Askar Wataniah.

Segak memakai pakaian celoreng persis seorang kesatria, tiada siapa menduga dan menyedari kehadiran Min Malik dalam pasukan Platun Media Wataniah di Rejimen 515 Askar Wataniah, Kem Jalan Buku Lima, Keramat, Kuala Lumpur, pada awal penyertaannya dalam pasukan itu sebelum dia memperkenalkan diri kepada rakan-rakan rekrut lain di kem berkenaan.

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa figura yang popular dengan lagu Flora Cinta sekitar tahun 90-an itu memiliki mental dan fizikal yang kuat, tabah dan ‘tak ego’ apabila bersama dengan anggota wataniah lain ketika menjalani latihan.

Difahamkan, Min Malik merupakan satu-satunya artis yang beralih dari bidang nyanyian ke askar simpanan.

Sebelum dia beralih arah, Min bukan asing dalam industri nyanyian. Selain hit dengan lagu Flora Cinta, dia mempunyai tiga buah album, Kasih Bersemi (tidak diedarkan) serta Soalnya Bisa yang dikeluarkan semasa dia kembali belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Malangnya, menurut Min Malik, Soalnya Bisa tidak sempat dipromosikan kerana kesibukannya belajar.

Mengajak dia berbicara tentang zaman kegemilangannya, Min mula bercerita.

Katanya: “Ramai sering tanya saya tentang lagu Flora Cinta, ciptaan Adnan Abu Hassan dan Perjalanan Duka, ciptaan Zul Mahat dan lirik oleh Mama Juwie.

“Saya merakam Flora Cinta ketika berusia lebih kurang 15 atau 16 tahun, pada umur yang terlalu naif. Semua memori tentang album itu manis. Sambutannya amat baik, dan berada di tempat pertama dalam siaran radio Wilayah (jika saya tidak silap) untuk tiga atau empat bulan.

“Tetapi kejayaannya dan sambutan tersebut telah tidak diterjemahkan kepada jualan rekod atau album, walaupun edarannya dibuat oleh Sony Malaysia ketika itu.”

Tambahnya, biar tidak sempat mengecap populariti berpanjangan, dia masih berpeluang berlakon teater, selain diberi peluang untuk hos rancangan TV dalam negeri dan di Aceh, Indonesia.

Kini kehidupan Min sudah berubah jauh. Dia kini merupakan tenaga pengajar Komunikasi Massa dan Animasi di Akademi Seni Dasein, Kuala Lumpur dan juga merupakan penasihat kreatif untuk Jabatan Animasi dan mengajar Penulisan Skrip dan Penyiaran Radio di akademi tersebut.

Jelas Min, selain menjadi tenaga pengajar di akademi itu, dia akhirnya memenuhi minatnya sejak dulu yang meminati bidang ketenteraan apabila menyertai askar simpanan atau wataniah atas kerelaan diri sendiri.

MENYERTAI Platun Media, Min juga akrab bergaul dengan askar wataniah dari platun-platun lain.
Katanya, dia mula mendaftar dan menyertai wataniah secara serius, selepas bertanya kepada bapanya tentang pasukan simpanan ini pada akhir tahun lepas (2010) dan dari situ timbul keinginan untuk mencebur diri sebagai rekrut selepas mendaftar pada awal tahun ini.

Min menyertai anggota kumpulan Platun Media yang telah dilancar pada majlis pelancaran Kumpulan Ketiga, Keempat Askar Wataniah Kementerian Pertahanan dan Platun Media/Siber Askar Wataniah oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi 17 Mac lalu di padang kawad Kementerian Pertahanan.

Ketika ditanya mengapa dia menyertai wataniah, Min Malik menjawab: “Sebenarnya, selama 10 tahun selepas dilahirkan, saya membesar dalam keluarga dan persekitaran tentera. Dalam tempoh itu, saya telah berpindah dari satu kem ke satu kem, termasuklah di Kuala Lumpur, Kok Lanas (Kelantan), Kuantan dan di Fort Leavenworth (Kansas, Amerika Syarikat).

“Selepas bapa saya bersara, kami masih keluar masuk kem tentera untuk mendapat rawatan, dan saya juga sering mengikuti latihan-latihan luar yang dikendali oleh pesara-pesara tentera.”

Ujarnya lagi, kerana itu tentera bukanlah sesuatu yang asing kepadanya walaupun sebenarnya dia tidak begitu mengerti apa tugas dan kerja mereka secara terperinci.

Menurut Min, dia tidak mempunyai sesuatu sebab yang membara kenapa memasuki wataniah, melainkan pakaian seragam tentera itu diibaratkan ada satu ‘daya tarikan’ kepada ramai orang, termasuklah dirinya.

“Saya juga bersikap ingin tahu tentang apa yang ada dalam tentera yang telah nyata membentuk perwatakan bapa saya. Saya menyertai wataniah kerana saya mahu memahami kenapa bapa saya menjadi seorang tentera,” ujarnya jujur.

Dek kerana meminati bidang itu, Min mengakui rasa kesal apabila tidak mengambil kesempatan memasuki pasukan Palapes (Pasukan Latihan Pegawai Simpanan) sewaktu menuntut di universiti dan penyertaan dalam Platun Media ini sedikit sebanyak mengubati kekesalan itu.

“Dengan menyertai wataniah ini, saya harap akan menjumpai diri saya yang belum saya tahu kewujudannya, serta memberi saya satu lagi jendela untuk mencipta atau menjenamakan semula seorang Min Malik.

BERBINCANG dengan seluruh anggota platun adalah rutin harian mereka.
“Saya merasakan masanya sesuai untuk saya menceburi sesuatu di luar kebiasaan saya dengan meluaskan dunia saya dan menerokai bagaimana saya boleh menyumbang kepada negara sebagai seorang askar wataniah.

“Saya berpendapat, memakai pakaian seragam tentera dan bersedia untuk memberi perkhidmatan sekiranya diperlukan, adalah satu komitmen yang mulia kepada negara kita,” kata Min penuh dengan semangat nasionalisme.

Dia kemudian menambah: “Bidang ketenteraan banyak mengajar saya mengenai makna rendah diri. Kita berada di sini sebagai satu pasukan dan kita berada di sini untuk bantu-membantu, seperti cogankata The Musketeers: All for one, and one for all.

“Saya harap saya mampu bertahan sehingga akhir latihan dan mudah-mudahan saya boleh bawa apa yang dipelajari ke dalam hidup saya secara baik. Saya juga harap akan menjadi seorang yang lebih baik kerana berada dalam wataniah.”

Sementara itu, saat ditanya tentang dunia hiburan, Min mengaku masih mempunyai cinta yang menebal terhadap bidang itu, namun, setiap rancangan berkaitan hal itu lazimnya berkait dengan prasyarat iaitu modal, kewangan dan pulangan.

“Saya selalu tertewas dengan syarat ini! Buat masa sekarang, dari segi industri ini, saya sedang aktif menyanyi lagu versi Melayu untuk program TV di saluran Disney.

“Sekarang, belum lagi ada rezeki untuk kembali sebagai penyanyi atau penghibur. Tetapi jika peluang timbul dan ada penerbit yang mempunyai kepercayaan kepada saya, saya mahu,” katanya.

Katanya juga, dia telah menulis dan mengumpul lagu-lagu untuk dirinya, tetapi jika dirinya mahu membuat album, dia berharap untuk membuatnya dengan sebaik mungkin.

Sumber: Kosmo Online
post signature

Tuesday, April 19, 2011

Penghormatan Raja Muda Perlis Kepada Tentera Darat

Tentera Darat Kini Bertaraf Dunia – Raja Muda Perlis


KANGAR 18 April – Pegawai dan anggota Tentera Darat pada masa kini telah menunjukkan tahap profesionalisme, keterampilan serta disiplin yang tinggi sehingga layak diiktirafkan bertaraf dunia.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ini kerana pegawai dan anggota Tentera Darat membuktikan bahawa mereka telah lama keluar dari kepompong atau bukan lagi ‘hero’ atau jaguh kampung kerana menawarkan perkhidmatan di peringkat antarabangsa.

“Semua anggota (Tentera Darat) harus berbangga kerana penugasan di bawah panji-panji PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), telah mendapat sanjungan dan pengiktirafan masyarakat dunia hasil daripada komitmen, dedikasi dan tahap profesionalisme yang ditunjukkan sewaktu menjalankan tugas,” titah baginda.

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah)
berkenan menanam anak pokok bakau
di persisir pantai Kuala Sanglang, Kangar, semalam.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian sewaktu menyempurnakan Majlis Perasmian Penanaman Pokok Bakau yang dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) di pesisir Kuala Sanglang, dekat sini hari ini.

Berangkat sama menyaksikan penanaman 11,111 pokok bakau itu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin.

Menurut baginda, melalui penugasan global itu, pegawai dan anggota Tentera Darat kini berpeluang menjelajah dunia, menimba pengalaman dan pengetahuan baru melalui interaksi dengan warga tentera negara lain serta dengan masyarakat setempat.

"Tentera Darat sedar bahawa keamanan dan kemakmuran global merupakan tanggungjawab kolektif di arena antarabangsa dan sangat proaktif serta komited dalam melaksanakan tanggungjawab kolektif ini di seluruh pelosok dunia," titah baginda.

Sementara itu, Zulkifli berkata, anggota tentera yang menyertai program itu berjaya menyelesaikan penanaman pokok berkenaan dalam masa 78 minit iaitu simbolik kepada sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Darat Ke-78 pada tahun ini.

"Jumlah pegawai dan anggota yang terlibat dalam projek penanaman bakau terbanyak ini ialah 251 orang yang melambangkan dua dimensi, lima teras dan satu angkatan sebagaimana disarankan oleh Panglima Tentera Darat, (Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd. Zin)," kata beliau.

Sumber: Utusan Malaysia
post signature