CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday, June 2, 2011

Pelancaran Kompeni AW Parlimen Bukit Katil, Masjid Tanah, Tangga Batu dan Jasin

Parlimen Bukit Katil, Masjid Tanah, Tangga Batu dan Jasin sahut seruan tambah anggota

Askar Wataniah
Oleh Badrul Hizar Ab Jabar
bhizar@bharian.com.my

Zulkifeli (berdiri empat dari kiri) dan pegawai kanan bersama Askar Wataniah selepas Majlis Pelancaran Kompeni Askar Wataniah Kawasan Bukit Katil, Masjid Tanah, Tangga Batu dan Jasin di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir.

PERANAN Askar Wataniah (AW) sebagai pasukan sukarela memang tidak dapat dinafikan. Kewujudan pasukan ini adalah penting kerana negara memerlukan lebih ramai anggota sukarela yang komited dalam mencurah bakti kepada keselamatan dan keamanan negara.

Sehubungan itu, usaha menarik pembabitan belia, terutama yang bekerja di sektor awam dan swasta untuk menyertai pasukan itu sentiasa digalakkan.

Menyedari kepentingan peranan pasukan itu, langkah menarik lebih ramai minat belia menyertai AW adalah bertepatan.

Walaupun keselamatan negara tidak lagi diancam anasir subversif, kesedaran mewujudkan pasukan sukarela yang terlatih perlu dilaksanakan berterusan.

Selain itu, pembabitan belia dalam pasukan berkenaan juga dapat mempercepatkan matlamat kerajaan untuk menyediakan 80,000 anggota sukarela menjelang 2020.

Baru-baru ini, kompeni AW Kawasan Parlimen Bukit Katil, Masjid Tanah, Tangga Batu dan Jasin di Melaka dilancarkan sebagai menyahut seruan kerajaan meningkatkan keanggotaan AW bagi memastikan rakyat Malaysia sentiasa bersedia pada setiap masa.

Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd Zin di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka itu bagi memberi peluang kepada masyarakat mendekati pasukan AW.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar Kaseh; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md Yunos Husin dan Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron.

Selain menyaksikan perbarisan seramai 400 anggota Rejimen 514 AW, masyarakat juga berpeluang menyaksikan acara pertunjukan anjing perang, kawad senyap dan senaman perang.


Perarakan penyerahan bendera Askar Wataniah yang akan disampaikan kepada Zulkifeli.


Orang ramai turut diberikan pendedahan mengenai peralatan dan kelengkapan ketenteraan melalui pameran kenderaan tentera, makanan khas, kelengkapan dan alat komunikasi yang digunakan untuk mempertahankan negara.

Zulkifeli dalam ucapannya berkata, penubuhan pasukan AW di setiap kawasan menjadi begitu sinonim dan memberi pendedahan kepada warga awam berhubung sebahagian aktiviti latihan dan tugas anggota tentera.

Beliau berkata, sebagai orang awam yang memberikan perkhidmatan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pendedahan itu secara tidak langsung dapat meningkatkan kefahaman dalam melaksanakan tugasan harian.

"Selain itu, pembangunan modal insan dan hubungan baik yang sedia terjalin di antara orang awam dan ATM juga akan terus dipertingkatkan.

"Dalam konteks ini, saya percaya AW boleh menjadi penghubung antara tentera dengan rakyat, malah AW berupaya meniup semangat generasi baru untuk mencurahkan khidmat murni kepada negara," katanya.

Sumber: Berita Harian Online
post signature

1 comments:

Anonymous

Mcmne nk dapat nun tel ye ada jawatan kosong area jasin

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)