CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, May 15, 2011

Rejimen Sempadan Mengawal Sempadan Negara

Rejimen Sempadan Pertingkat Usaha Banteras Jenayah


Oleh Adha Ghazali
adha@bharian.com.my
2011/02/25

Perbarisan hari Ulang Tahun Ke-3 Rejimen Sempadan
REJIMEN Sempadan (RS) akan mengguna pakai setiap maklumat dikumpulkan kelima-lima batalion di bawah kor berkenaan untuk mengenal pasti bentuk ancaman yang mungkin wujud, terutama membabitkan aktiviti jenayah antara sempadan di kawasan operasi yang dipertanggungjawabkan.

Panglima Briged Sempadan, Brig Jen Azlan Abdul Rahman, berkata segala maklumat berkenaan juga akan diguna pakai sebagai panduan untuk mencari alternatif terbaik bagi mengekang penularan jenayah sedemikian di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand sejauh kira-kira 600 kilometer.

Mengulas lanjut, katanya, kawasan penugasan RS yang bermula dari Kelantan ke Perlis lebih banyak terdedah kepada ancaman bukan konvensional seperti penyeludupan, penyusupan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta jenayah antara sempadan yang lain.

Beliau berkata, walaupun ia tidak membabitkan peperangan, namun ancaman diterima hasil daripada taktik dan muslihat yang sentiasa berkembang oleh penjenayah terbabit sentiasa menimbulkan kerisauan.

"Justeru, semua Pegawai Memerintah Batalion 1 hingga 5 RS di sepanjang garisan sempadan Malaysia-Thailand diberi tanggungjawab khusus menilai bentuk ancaman serta perkembangan muslihat yang mungkin wujud di kawasan penugasan masing-masing untuk dianalisa.

"Selain itu, Markas Briged Sempadan juga turut mengguna pakai landasan Jawatankuasa Sempadan Bersama (JBC) antara Malaysia-Thailand, terutama melalui Mesyuarat Komander Unit yang diadakan dua kali setahun untuk bertukar maklumat dan risikan.

"Melalui kaedah ini kita yakin segala cubaan menyeludup barangan atau pendatang tanpa izin melalui sempadan Malaysia-Thailand akan dapat dikesan lebih awal, sekali gus membolehkan tindakan memintas aktiviti terbabit dilakukan dengan lebih sempurna," katanya ketika menghadiri Perbarisan Hari Ulang Tahun Ketiga RS yang berlangsung di Markas 4 Rejimen Renjer Diraja (RRD) di Kem Oran, Kangar, di sini.

RS ditauliahkan pada 12 Januari 2008 sebagai Kor ke-16 Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan sasaran mewujudkan satu pasukan yang mampu, seimbang dan bersedia melaksanakan misinya sebagai sebahagian daripada agensi pengurusan sempadan nasional.

Rejimen itu yang baru mengambil alih penugasan kawalan dan pemantauan sempadan Malaysia-Thailand daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) pada November tahun lalu, berperanan mengawal keselamatan sempadan daripada sebarang kegiatan pencerobohan, penyusupan, penyeludupan dan kegiatan jenayah.

Sementara itu, Azlan berkata, Markas Briged Sempadan yang kini menumpang di 4 RRD dijangka memiliki markasnya sendiri di Perlis, sekali gus meningkatkan tahap keupayaan kor dalam menangani ancaman di sempadan penugasan.

"Setakat ini, cadangan pembinaan markas terbabit di kawasan Mata Ayer, dekat sini, sudah diserahkan untuk dipertimbangkan dan jika mendapat kelulusan, kemungkinan besar ia akan disempurnakan melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10)," katanya.

Sumber: Berita Harian Online
post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)