Tentera Darat Tunjuk Kekuatan PUTD
Oleh HAMDAN TAWADI
"Bagaikan 'mini' Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA)".
Itu dinyatakan pembantu tadbir di Hospital Batu Pahat, Mohd. Azree Jamin, 34, yang mengunjungi Hari Terbuka Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) bersama isteri dan anak-anaknya di Kem Mahkota, Kluang baru-baru ini.
Manakan tidak, hari terbuka yang diadakan selama tiga hari bermula 1 April lalu itu, bukan hanya mempamerkan aset dan kecekapan PUTD malah turut menghimpunkan kira-kira 20 agensi kerajaan dan swasta.
Antara yang terlibat adalah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Tentera Darat dan syarikat Airod Sdn. Bhd. serta Zetro Sdn. Bhd.
Para pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar terutamanya bersebelahan dan di dalam helikopter Agusta A-109 LOH milik PUTD dan helikopter Mi-171 yang menjadi aset Jabatan Bomba dan Penyelamat selain pesawat ringan milik kelab-kelab persendirian.
Turut menarik perhatian ramai adalah kenderaan pemusnah bom kawalan jauh, Wheel Barrow MK 7 dan Bomb Tech Defender yang digunakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Aksi penerjunan payung terjun daripada penerjun Grup Gerak Khas (GGK), 10 Briged Para dan PUTD juga berjaya memukau ramai.
Malah para pengunjung turut kagum melihat ketangkasan aksi Tentera Darat turun daripada helikopter Agusta A-109 LOH yang 'terapung' di udara dengan menggunakan tali.
Secara umumnya, hari terbuka yang berkonsepkan pameran dan karnival udara itu melibatkan pameran statik pesawat, 'joyride' pesawat, pertunjukan payung terjun, demonstrasi anjing perang dan pertandingan mewarna.
Menurut Pengarah PUTD, Kolonel Mohd. Shabree Hussein, hari terbuka tersebut mendapat sambutan 'hangat' apabila dikunjungi kira-kira 30,000 orang.
Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim turut mengunjungi hari terbuka tersebut.
Hadir sama Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Razali Ahmad; Panglima 7 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Abu Musa A. Rahman; Pegawai Memerintah Rejimen 881 PUTD, Leftenan Kolonel Abd. Razak Haron dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Supritendan Mohamad Nor Mohamad.
PUTD yang ditubuhkan pada 11 Mac 1995 mempunyai satu skuadron iaitu No. 881 Skuadron yang berpangkalan di Kem Mahkota, Kluang, Johor.
Pasukan itu kini mempunyai 11 helikopter tinjauan ringan Agusta A-109 LOH dan 67 juruterbang yang dilengkapi kemahiran taktikal bersesuaian dengan keupayaan pesawat digunakan.
PUTD adalah satu kor di dalam Tentera Darat Malaysia yang berperanan memberikan bantuan udara di medan tempur kepada unit-unit Tentera Darat.
Buat masa ini, PUTD dilengkapkan dengan helikopter dalam peranan perhubungan dan tinjauan di medan tempur. Tentera Darat Malaysia merancang untuk melengkapkan PUTD dengan helikopter penggempur pada masa akan datang.
Peranan PUTD termasuk memberi sokongan taktikal kepada formasi Tentera Darat, tinjauan medan tempur, beroperasi sebagai sebahagian daripada satu pasukan gabungan senjata dan menjalankan operasi mencari serta menyelamat.
Tentu ada yang masih ingat laporan media tentang PUTD membuat penerbangan ihsan menghantar jantung dan paru-paru seorang penderma di Muar yang disahkan mati otak ke Kuala Lumpur bagi pembedahan pemindahan organ di Institut Jantung Negara (IJN) pada 5 Januari 2009.
Helikopter Agusta A109LOH itu melakukan penerbangan dari padang ragbi di Tanjung Emas, Muar pada pukul 5.30 petang dan mendarat di padang Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 6.10 petang, sebelum organ itu dibawa dengan van menuju ke IJN.
Sumber: Utusan Malaysia Online
0 comments:
Post a Comment
Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)