CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday, June 2, 2011

Bajet Tentera Darat Harus Setimpal Dengan Peranannya

Bajet Tentera Darat Perlu Setimpal Dengan Peranannya

: Raja Muda Perlis


2011/05/28

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu Tentera Darat (TD) disalurkan bajet yang setimpal dengan peranannya sebagai elemen cegah rintang yang menghalang negara daripada terjebak sebarang bentuk ancaman, termasuk peperangan.

Baginda yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, bertitah bajet dimaksudkan meliputi semua aspek kuasa tempur TD iaitu tembakan, komunikasi, mobiliti, logistik dan sumber manusia.
Selain itu, titah baginda aspek kualiti hidup juga perlu diberikan perhatian utama sebagai satu faktor mustahak yang tidak boleh diabaikan dalam mempertingkatkan tahap kesiagaan TD dari aspek menjana komitmen, kesejahteraan, motivasi dan produktiviti.

"Penubuhan dan kewujudan sesebuah ketumbukan dalam angkatan tentera termasuk TD adalah semata-mata untuk mengelak peperangan dan bukan mencetuskan peperangan seperti kata pepatah Roman 'Si vis paccem, para bellum' yang bermaksud, jika anda mahu keamanan, bersedialah untuk berperang. "Pepatah ini menjelaskan kepada kita betapa kewujudan angkatan tentera di sesebuah negara menjadi entiti penting kepada keamanan, terutama sebagai elemen cegah rintang bagi sesebuah negara daripada sebarang bentuk ancaman baik dari dalam atau luar," titah baginda, di sini, hari ini.

Baginda bertitah demikian sempena Program Memasyarakatkan TD di Tasik Melati, di sini, yang menggabungkan empat ketumbukan TD iaitu Rejimen Sempadan (RS), Batalion 4 Rejimen Renjer Diraja (4RRD), Rejimen 504 Askar Wataniah serta Markas 6 Briged. Turut terbabit, pasukan PALAPES dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sementara itu, baginda Raja Muda Perlis bertitah kewujudan pelbagai isu geostrategik yang mempunyai kesan atau impak besar terhadap keselamatan negara kita seperti ancaman pengganas, tuntutan bertindih di Laut Cina Selatan, keadaan ekonomi semasa, masalah sosial dan politik di beberapa negara serantau mewajibkan negara untuk memiliki angkatan tentera yang berkredibiliti, profesional dan berkebolehan.

"Malah, ancaman bukan tradisional seperti pendatang tanpa izin, penyeludupan dadah dan lain-lain lagi yang membawa kesan buruk terhadap keselamatan negara, membuatkan tentera perlu sentiasa bersiap-siaga sebilang masa untuk menunaikan amanah dan kepercayaan diberikan dengan penuh cekap dan berkesan.

"TD disifatkan sebagai insuran kepada keselamatan negara. Justeru, ia perlu sentiasa dipermodenkan atau dipertingkatkan keupayaannya dari semasa ke semasa selaras ancaman terbabit, selain perkembangan teknologi serta corak peperangan masa kini," titah baginda.

Sumber: Berita Harian Online
post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)