CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday, July 8, 2010

PERINTAH ULUNG PANGLIMA TENTERA DARAT KE-23








PERINTAH ULUNG
PANGLIMA TENTERA DARAT KE-23

بسم الله الرحمن الر حيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia

Segala puji-pujian hanyalah untuk Allah Subhanahu Wataala; Tuhan sekelian alam; selawat dan salam keatas Junjungan Besar Nabi Muhammad Salallahu’ Alaihi Wassalam.

Alhamdulillah, saya melafazkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan kurnia dan inayah-Nya jua, maka saya telah dimandatkan untuk memimpin Tentera Darat Malaysia sebagai Panglima Tentera Darat ke 23. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia dan Yang Berhormat Menteri Pertahanan Malaysia serta seluruh pucuk kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Pertahanan Malaysia kerana telah memberi penuh kepercayaan untuk saya menerajui Tentera Darat. Saya juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia kerana telah memperkenankan perlantikan ini. Saya juga merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Tentera Darat dan rakan-rakan di atas doa mereka.

Sesungguhnya perlantikan ini adalah satu mandat, amanah dan tanggungjawab yang besar dan saya menerimanya dengan penuh keinsafan dan kesedaran. Saya berjanji akan memikul kepercayaan yang diamanatkan ini dengan sebaik-baiknya demi Institusi dan Tanahair yang tercinta. Saya sentiasa memohon kehadrat Allah Subhanahu Wataala agar dikurniakan keimanan dan kekuatan dalam usaha saya melaksanakan tugas dengan penuh kesempurnaan. Saya juga bertekad untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dipelopori oleh Panglima-Panglima yang terdahulu.

Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail bin Haji Jamaluddin selaku Panglima Tentera Darat yang lepas, di atas khidmat bakti serta sumbangan beliau yang telah meninggalkan landasan yang kukuh untuk saya meneruskan usaha kecemerlangan Tentera Darat kita.

Para Perwira, Bintara, Petanda dan Perajurit Yang Saya Kasihi

Senario keselamatan dunia dan serantau masa kini menuntut tahap pengorbanan yang lebih tinggi dari kita semua. Kita tidak boleh lagi bersandarkan kepada kejayaan-kejayaan lampau sebagai pengukur bagi menghadapi cabaran-cabaran baru dalam senario dunia yang lebih kompleks dan penuh ketidaktentuan. Oleh yang demikian, Tentera Darat telah dan akan terus melaksanakan anjakan demi anjakan untuk menentukan ianya tetap relevan dan selari dengan senario dan keperluan semasa. Untuk memastikan kemantapan keupayaan Tentera Darat tetap terjamin, Pemerintahan saya akan memberi keutamaan dalam mewujudkan keseimbangan yang sejati di antara MAN, MACHINE dan METHOD yang akan saya perkukuhkan dengan unsur-unsur kejiwaan (the intangibles).

Untuk mencapai objektif ini, Pemerintahan saya akan mengutamakan dua dimensi penting dan akan memberi fokus kepada lima teras yang akan mendokong kedua-dua dimensi yang dimaksudkan.

DIMENSI PERTAMA: KESIAGAAN KEUPAYAAN TEMPUR

Pembangunan keupayaan Tentera Darat akan terus dibangun berdasarkan Pelan Pembangunan Strategiknya, ARMY 2 10 Plus 10. Keupayaan Tempur bergantung kepada trilogi MAN, MACHINE dan METHOD. MAN atau sumber manusia adalah aset terpenting. Justeru itu, kita mesti menentukan kita semua mempunyai kemahiran dan pengetahuan tinggi dalam pengendalian serta pengurusan MACHINE atau sistem-sistem termasuklah sistem logistik dan latihan angkatan darat. Doktrin, polisi dan arahan atau METHOD adalah merupakan pelengkap keupayaan tempur.

Untuk menentukan kesiagaan keupayaan tempur kita terjamin, Pemerintahan saya mengutamakan latihan. Saya berkehendakkan kita kembali kepada asas (back to basic) dengan mengambilkira apa yang telah kita alami dan pelajari di masa lalu. Justeru itu, architecture latihan kita akan menerapkan konsep Learn, Unlearn dan Relearn bermula diperingkat unit yang paling rendah iaitu seksyen. Adalah menjadi komitmen saya untuk memantapkan lagi infrastruktur serta peralatan latihan termasuklah sistem simulasi tempur. Saya juga menuntut agar semua Panglima, Pemerintah dan Ketua untuk memberi penekanan kepada latihan.

DIMENSI KEDUA: KUALITI HIDUP

Saya akan memberikan keutamaan untuk meningkatkan kualiti hidup setiap warga dan keluarga Tentera Darat kerana saya sedar bahawa keselesaan dan kesempurnaan hidup akan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan produktiviti. Di antara lainnya, ia merangkumi aspek-aspek kemajuan diri, gaya hidup yang sihat, persekitaran kerja, akses kepada pendidikan dan perkhidmatan perumahan serta kesihatan. Apa yang penting ialah kualiti kehidupan kita tidak boleh ketinggalan di dalam menikmati kemakmuran Negara.

Selain daripada memantapkan lagi terma-terma Perkhidmatan yang melibatkan perancangan dan pembangunan kerjaya, Tentera Darat akan terus memberi keutamaan dalam pembangunan prasarana. Ianya melibatkan pembinaan kem-kem baru termasuk rumah keluarga dan juga peningkatan kem-kem yang sedia ada. Pembinaan melalui Projek ARMY CARE akan diperluaskan dan dipergiatkan lagi.

Di samping itu juga Tentera Darat melalui Kementerian Pertahanan sedang berusaha untuk menambah baik insentif serta ganjaran Perkhidmatan.

Adalah menjadi harapan saya agar warga dan keluarga Tentera Darat menerapkan kecintaan mereka terhadap kecantikan dan kebersihan, kerana ianya akan dapat mewujudkan suasana yang ceria. Environmen yang ceria akan menyumbang kepada Kualiti Hidup. Justeru itu, saya meminta agar kita semua tingkatkan lagi penerapan Budaya Senggaraan (Maintenance Culture).

Saudara-Saudari Yang Saya Hormati Sekelian,

Untuk mendokong dua dimensi utama yang diperjelaskan tadi, saya menggariskan lima tiang teras yang berpaksikan kepada unsur-unsur kejiwaan seperti berikut:

TERAS PERTAMA: KESETIAAN

Kesetiaan dijadikan sebagai teras pertama kerana ianya adalah yang terpenting. Profesion ketenteraan menuntut kita menerapkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. Kesetiaan secara total akan menjadikan kita sebagai satu Angkatan Bersenjata yang utuh dan berkesan. Justeru itu, saya menyeru agar kita sama-sama menjaga serta memelihara ketaatsetian kita kepada Institusi, Raja dan Negara dengan penuh komitmen dan jangan sekali-kali kita membenarkan sesiapapun mempersoalkan ketaatsetiaan kita, warga Tentera Darat Malaysia. Sentiasa lngatlah kepada cogankata kita “GAGAH SETIA”.

TERAS KEDUA: INTEGRITI

Sebagai satu angkatan yang telah diamanahkan untuk mempertahan kedaulatan Negara, maka kita, warganya perlulah mempunyai integriti yang tinggi. Saya menyeru agar semua warga Tentera Darat untuk terus berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan kejujuran. Keikhlasan adalah kesucian hati dalam melaksanakan apa jua amanah yang diberi dan tidak menganggap kerja itu sebagai satu bebanan. Kejujuran adalah ketulusan hati dalam melaksanakan tugas-tugas kita serta bersikap positif di samping tidak mempunyai perasaan berbelah bahagi. Kuatkan keikhlasan dan kejujuran kita, kerana ianya akan menghindarkan kita daripada perasaan hasad dengki dan tamak haloba.

TERAS KETIGA: KESATUAN

Kesatuan adalah ciri yang sinonim dengan Tentera Darat Malaysia. Justeru itu, saya menyeru setiap warga Tentera Darat agar sentiasa berdiri teguh sebagai satu angkatan dengan berpaksikan kepada semangat setiakawan atau espirit-de-corps dan sifat sayangkan organisasi. Kita mesti sentiasa mempertahankan kesatuan ini dan jangan sekali-kali kita membiarkan mana-mana pihak memecah belahkan kita. Sentiasa ingatlah kepada pepatah “Bersatu Teguh, Bercerai Roboh”

TERAS KEEMPAT: PENGORBANAN

Sebagai seorang warga Tentera Darat dan juga sepertimana mereka yang terdahulu daripada kita, kita semua dituntut untuk bersedia mengorbankan jiwa dan raga dalam mempertahankan tanahair tercinta ini. Kita mestilah bersedia untuk menerokai sebarang kepayahan dan kesusahan serta rela menghadapi risiko-risiko yang boleh membahayakan nyawa demi untuk menunaikan tugas dan tanggungjawab yang murni ini. Pengorbanan ini sememangnya lebih dituntut dari semua Pemerintah dan ketua.

TERAS KELIMA : KEUNGGULAN

Untuk menentukan keunggulan Tentera Darat sentiasa terpelihara, saya menyeru kita semua untuk berkhidmat dengan cemerlang. Laksanakanlah tugas serta misi masing-masing dengan sebaik dan sedaya mungkin. Kita adalah profesional, dan sebagai seorang yang profesional kita mesti sentiasa menjaga imej angkatan kita. Demi untuk menentukan Tentera Darat terus unggul, saya menyeru semua lapisan pemerintahan untuk sentiasa muhasabah diri dan menilai pencapaian masing-masing terhadap usaha-usaha kita untuk memperkukuhkan Tentera Darat.

Para Sahabat Seperjuangan Yang Saya Hormati Sekalian,

Tentera Darat akan terus melalui proses transformasi dan pemodenan sejajar dengan perkembangan teknologi dan keadaan persekitaran strategik. Pembangunan Tentera Darat akan dilaksanakan secara berperingkat dan terancang. Pendekatan Operating while transforming membolehkan Tentera Darat bergerak maju mengikut arus perkembangan serantau dan global tanpa mengabaikan tanggungjawab yang sedia ada. Berdasarkan kepada perubahan persekitaran yang dinamik, penstrukturan semula Tentera Darat akan mengambil kira konsep dan pembangunan Future Soldiers for Future Battlefield. Program-program pembelajaran kepada pegawai dan anggota yang berteraskan pengetahuan (knowledge-based) akan terus dimantapkan.

Tentera Darat Malaysia sentiasa mendokong dasar-dasar Kerajaan dan membantu dalam pembangunan Negara Bangsa (Nation Building). Sebagai sebuah organisasi yang komited, Tentera Darat juga akan berusaha untuk memperluaskan skop perkhidmatan dan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat dan rakyat jelata. Di samping itu juga, Tentera Darat bertekad untuk mengeratkan lagi silaturahim dan kerjasama di antara mereka yang sedang berkhidmat dengan mereka yang telah meninggalkan Perkhidmatan.

Akhir kata, saya menyeru seluruh warga Tentera Darat untuk sama-sama merealisasikan matlamat kita demi menjadikan Tentera Darat sebagai satu angkatan yang mendapat sepenuh kepercayaan Kerajaan dan rakyat Malaysia sesuai dengan tema kita, “Tentera Darat Mendukung Aspirasi Rakyat dan Kedaulatan Negara”. Arah dan jalan yang kita akan lalui bukannya mudah. Ianya penuh dengan cabaran serta liku-liku yang memerlukan daya kepimpinan yang efektif, pengurusan yang berkualiti, ketaatsetiaan yang tidak berbelah bagi, ketulusan dan keharmonian organisasi. Marilah kita sama-sama memohon doa dan restu agar Yang Maha Berkuasa Allah Subhanahu Wataala memberikan kekuatan dan mempermudahkan kita dalam menyempurnakan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Insya-Allah.



“GAGAH SETIA”
“TENTERA DARAT MENDUKUNG ASPIRASI RAKYAT
DAN KEDAULATAN NEGARA”

وبالله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

JENERAL DATUK ZULKIFELI BIN MOHD ZIN
PANGLIMA TENTERA DARAT
24 MEI 2010

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)