CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Wednesday, April 27, 2011

Tim Pemantau Antarabangsa-Mindanao (IMT) diketuai ATM

Kemana Hala Tuju Perdamaian Bangsamoro


oleh Sharilfuddin Saari
Gambar Shaarani Saibi

SEKUMPULAN anggota MILF menunaikan solat di
pangkalan utama mereka di Kem Darapanan,
wilayah Maguindanao, Filipina. - Gambar Hiasan
SEDAR tidak sedar, Tim Pemantau Antarabangsa-Mindanao (IMT) yang diketuai oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah berada di Mindanao, Filipina, sejak 2004.

Walaupun telah menarik diri pada 2006, misi itu disambung semula pada 2008 dengan penyertaan IMT Ke-5 selama setahun yang diketuai Mej. Jen. Datuk Baharom Hamzah.

Kini pasukan IMT Ke-6 sedang melaksanakan tugas di wilayah itu. Setelah lima kali bertindak sebagai fasilitator kepada dua pihak yang bertelagah, masihkah ada sinar untuk wilayah bergolak itu berdamai?

Itulah persoalan yang sering menghantui penduduk majoriti Islam di Mindanao terdiri daripada Bangsamoro yang majoritinya beragama Islam.

Bagi Baharom, beliau menyifatkan konflik wilayah itu sebagai unik dan kompleks yang telah berlarutan berdekad lamanya.

Terdapat beberapa faktor mendorong kegagalan berlaku perdamaian antara pihak-pihak terlibat termasuklah sehingga kepada pertikaian keluarga dikenali sebagai Rido dan soal tanah.

Itu belum lagi mengambil kira persengketaan melibatkan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

"Begitupun saya yakin akhirnya perjanjian komprehensif antara MILF dan kerajaan Filipina akan dicapai juga nanti. Sehingga kini lebih 80 perjanjian ditandatangani antara dua pihak.

"Namun apa yang lebih penting adalah fasa seterusnya iaitu bagaimana perjanjian tersebut dilaksanakan nanti," ujarnya ketika ditemui di Mindanao baru-baru ini.

Ini kerana sehingga kini Bangsamoro tiada pemimpin yang benar-benar ikhlas menerajui atau membela nasib penduduk dan bangsanya sendiri secara keseluruhan.

Kata Baharom, sebaliknya pemimpin dilantik selama ini sebagai Gabenor mahupun Datuk Bandar hanya mementingkan diri sendiri atau salasilah keluarga.

"Perlu diingat terdapat lebih 20 keluarga antaranya Mastura iaitu keluarga yang pernah menjadi Raja, Ampatuan dan Mangudadatu yang akhirnya menyebabkan sesama sendiri bergaduh," katanya.

Justeru beliau berpendapat dalam hal itu, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) boleh membantu memberi pendedahan kepimpinan yang baik dengan Malaysia boleh menjadi penasihat.

"Pada saya, Bangsamoro menerima banyak sokongan ekonomi daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain negara-negara lain termasuk Malaysia sendiri.

"Namun pengagihan yang tidak adil akibat faktor salasilah keluarga, menyebabkan ada yang tersisih hingga menyebabkan pertumpahan darah.

"Cukuplah bantuan fizikal dari luar, apa lebih penting ialah melahirkan pemimpin benar-benar ikhlas dan memperjuangkan semua Bangsamoro tanpa mengira salasilah keluarga," ujarnya.

Tambah memburukkan keadaan apabila wujudnya dua kumpulan iaitu MNLF dan MILF dengan MILF ditubuhkan ekoran rasa tidak puas hati segelintir pihak di dalam MNLF.

Menurut Baharom, disebabkan rasa tidak puas hati disimpan sejak bertahun lamanya, perkara kecil boleh menjadi besar dan mengakibatkan kematian.

Itulah yang terjadi di Ligitan pada 2010, apabila hanya kerana tiga batang pokok kelapa milik MILF ditebang kumpulan MNLF untuk membuat jalan, hampir ratusan nyawa terkorban.

"Sebagai ketua misi, saya dan pasukan terpaksa ke lokasi yang jauhnya enam jam dengan kenderaan di darat dan dua jam menaiki bot. Ini termasuk meranduk air di paras dada.

"Kedua-dua kumpulan membawa ratusan tentera bersenjata api dengan MILF telah bersiap-sedia dari Palembang manakala MNLF dengan sokongan dari tentera Filipina.

"Pasukan IMT terpaksa menenangkan kedua-dua kumpulan dan mujurlah kehadiran kami yang dihormati kedua-dua pihak dapat menenangkan keadaan. Kalau tidak mungkin banyak nyawa terkorban," ujarnya.

Berikutan insiden itu, pihak IMT telah mengadakan lebih 20 pertemuan melibatkan antara dua pihak sehingga pertempuran sesama sendiri tidak berlaku.

Hormatnya MILF terhadap IMT yang diketuai ATM, dibuktikan apabila pasukan negara dibenarkan memasuki kubu-kubu kuat pejuang pemisah itu termasuk di Darapanan, Cotabato, ketika lawatan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad baru-baru ini.

Malah sambutan dimeriahkan dengan kain rentang menyambut ketibaan Abdul Latif dengan ratusan anggota tentera bersenjata api yang berbaris dari jalan utama sehingga ke pangkalan utamanya.

Semoga hubungan rapat antara kedua-dua pihak itu akan membuahkan hasil dalam usaha mewujudkan kedamaian di wilayah bergolak tersebut sekali gus menyumbang terhadap kemakmuran serantau.

Sumber: Utusan Malaysia Online
post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)