CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, April 24, 2011

Memahami Terowong

TEROWONG - 

Penggunaanya Untuk Tujuan Ketenteraan Serta Peperangan


Written by Zuridan Bin Muhammad
Thursday, 25 March 2010

Peperangan bukanlah semata-mata berkisar mengenai sistem persenjataan yang digunakan, para panglima atau laksamana dan aturgerak pasukan-pasukan tentera yang terlibat sahaja. Kajian mengenai satu-satu peperangan juga turut mengambilkira pelbagai perkara antaranya struktur binaan yang turut digunakan dalam satu-satu pertempuran.

Apabila memperkatakan mengenai binaan, ia tidak terhad kepada yang berada di atas tanah seperti bangunan, rumah atau kubu malah turut merangkumi sejenis binaan bawah tanah iaitu terowong. Penggunaan terowong di waktu perang dan juga bagi tujuan ketenteraan bukanlah sesuatu yang asing dan baru dalam sejarah dunia. Berdasarkan catatan sejarah, penggunaan tertua terowong bagi tujuan ketenteraan berlaku semasa zaman empayar Rom apabila puak-puak peribumi Jerman yang memberontak menentang kerajaan tamaddun agung dunia itu menggali terowong untuk dijadikan laluan bagi menyerang hendap barisan tentera kerajaan Rom yang bergerak melalui wilayah mereka. Terowong yang digali mereka turut berfungsi sebagai penghubung antara kubu-kubu perparitan (trench) yang berselerakan dalam wilayah yang dihuni. Terowong juga digali bagi melemahkan struktur tembok kubu hingga menyebabkannya roboh.

Mengapa Terowong?
Dalam peperangan darat, rupabumi (terrain) boleh dianggap sebagai ‘rukun’ peperangan kerana ia adalah tapak di mana berlakunya satu-satu pertempuran. Rupabumi bukan faktor yang boleh diremehkan kerana ia mampu mempengaruhi pergerakan pasukan-pasukan terlibat, penggunaan senjata dan juga taktik tempur. Kebijaksanaan memanfaatkan rupabumi membolehkan pasukan-pasukan mengatasi lawan masing-masing. Tiada batas atau had dalam menggunakan rupabumi sebagai ‘senjata tambahan’ bagi mengekang keupayaan tempur musuh di mana bukan sahaja tumbuhan semulajadi, halangan perairan (seperti sungai dan tasik) atau bukit-bukau serta gunung-ganang dan kawasan penempatan sahaja yang boleh dimanfaatkan, bahkan dimensi bawah permukaan tanah juga mampu membantu operasi tempur terhadap musuh, walaupun yang memiliki kekuatan teknologi serta sistem persenjataan paling canggih.

Jika hutan tebal sebagai contoh, menyediakan perlindungan dan penyamaran semulajadi yang berkesan hingga menyukarkan tugas pengeboman dari udara, ruang bawah tanah memberikan lebih perlindungan kerana kedudukannya sendiri yang sememangnya terlindung dari pandangan mata kasar. Laluan bawah tanah juga memberikan perlindungan yang baik dari tembakan senjata ringan musuh dan serpihan letupan bom tangan masih mampu mengakibatkan kecederaan atau kematian jika ia menembusi daun atau semak samun. Terowong turut berupaya menutup jejak laluan penggunanya dengan lebih berkesan berbanding permukaan tanah kerana pergerakan manusia melepasi sesuatu kawasan masih boleh dikesan oleh anggota infantri yang terlatih biarpun di dalam hutan tebal. Pergerakan sesuatu pasukan pula boleh dibuat tanpa dapat dikesan dan terlindung melalui terowong. Kerana kedudukannya yang tersembunyi, terowong turut merupakan tempat perlindungan yang berkesan dari serangan udara dan bedilan meriam.

Dari segi muslihat tempur pula, terowong memberikan penggunanya faktor kejutan yang mampu membuatkan musuh kebingungan, hilang punca, tertekan atau lemah semangat apabila serangan-serangan hendap secara mengejut dilakukan dan pihak penyerang seolah-olah ghaib begitu sahaja di dalam kawasan gerakan kerana berjaya melarikan diri melalui terowong yang pastinya tidak dapat dilihat dengan mata kasar dari atas permukaan tanah. Oleh kerana itu penggunaan terowong sememangnya popular dalam peperangan gerila sejak ratusan tahun yang lalu dan dilakukan di mana-mana sahaja bahagian dunia. Terowong juga boleh dijadikan medan ‘periuk api gergasi’ dalam peperangan. Perang Dunia Pertama membuktikannya kerana dalam konflik tersebut pihak Bersekutu menggali terowong di bawah kedudukan kubu perparitan Jerman dan memasang bahan letupan berkuasa tinggi dalam jumlah yang besar di situ lalu meletupkannya. Satu misi pengeboman seumpamanya diberitakan pernah meragut nyawa sejumlah 10,000 tentera Jerman serentak!

Ciri-Ciri dan Kepelbagaian Penggunaan
Terdapat pelbagai jenis terowong yang digunakan bagi tujuan ketenteraan/peperangan sepanjang sejarah. Terowong khusus untuk tujuan tersebut adalah terowong yang digali semata-mata atas dasar keperluan peperangan. Ia merangkumi terowong ringkas yang digali bagi memudahkan operasi tempur oleh pasukan-pasukan tentera dan gerila terbabit, terowong yang digali dan disediakan untuk kemudahan beroperasi bagi tempoh masa yang panjang dan terowong yang merupakan sebahagian dari kompleks kubu bawah tanah.
Terowong ringkas berfungsi sebagai laluan bawah tanah semasa melakukan serang hendap dan pengunduran setelah selesai melakukan serangan.

post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)