CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Wednesday, April 27, 2011

Skim Gaji Baru ATM

Skim Gaji Baru Manfaat 115,000 Anggota Tentera


Oleh Mohd Anwar Patho Rohman dan Mohammad Ishak
bhnews@bharian.com.my
2011/04/27

Draf cadangan akan serah kepada JPA untuk penelitian

JERTIH: Skim gaji baru anggota tentera yang dicadangkan Kementerian Pertahanan dijangka akan memberi pelbagai manfaat dan faedah kepada kira-kira 115,000 jika mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata draf cadangan skim gaji baru itu akan diserahkan kepada JPA untuk kajian dan penelitian sebelum dibentangkan ke Kabinet untuk proses kelulusan.
“Apa yang kita harapkan, skim gaji baru itu adalah bertujuan mengiktiraf sumbangan anggota tentera sama seperti penjawat awam yang lain, termasuk anggota polis yang akan menikmati skim gaji baru” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Kali terakhir gaji anggota tentera dinaikkan ialah pada 1 Oktober 2004, membabitkan kenaikan gaji antara satu hingga 42.85 peratus atau antara RM44.66 hingga RM719.01, bergantung kepada pangkat dan kelayakan.

Skim gaji baru yang dicadangkan kementerian adalah lebih baik dan setimpal dengan tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh pasukan tentera meliputi TUDM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Darat dan lain-lain cabang dalam angkatan bersenjata negara.

Terdahulu pada majlis di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, Besut, Terengganu, Ahmad Zahid berkata, kementeriannya sedang meneliti skim gaji baru anggota tentera untuk semua peringkat sesuai dengan transformasi sedang dilaksanakan kepada bidang ketenteraan.
Katanya, skim baru itu dirangka sebagai pengiktirafan kepada bidang ketenteraan yang sekurang-kurangnya diharapkan dapat menyamai skim gaji penjawat awam di lain-lain kementerian.

Beliau berkata, oleh kerana ada pegawai bertaraf profesional dalam angkatan tentera seperti juruterbang, jurutera, pegawai perubatan dan pelbagai bidang lain maka sewajarnya skim gaji baru dirangka sebagai pengiktirafan kepada golongan ini.

“Hampir separuh daripada anggota tentera terbabit dalam bidang profesional dan teknikal, jadi patutlah gaji anggota tentera tidak dibiarkan ketinggalan jauh berbanding profesional yang berada di luar kerajaan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, langkah memperkenalkan skim gaji baru itu juga bagi memastikan golongan profesional dalam angkatan tentera tidak mudah mengambil tindakan meninggalkan bidang kerja mereka semata-mata untuk mengejar gaji yang lebih baik di luar.

“Sekiranya berlaku sedemikian, ia akan merugikan kerajaan bagi mendapatkan pengganti yang berpengalaman untuk angkatan tentera kita,” katanya.

Beliau melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Pertahanan sebelum ini kerana banyak memberikan perhatian terhadap masalah yang dihadapi anggota tentera dan keluarga mereka.

Sumber: Berita Harian Online
post signature

1 comments:

Anonymous

assalamu'alaikum Tan Sri Hj Zulkifli bin Haji Zainal Abidin. tak kelik ke Lenggow ke?

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)