CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, April 10, 2011

Tentera Darat di Puncak Everest

Warga Tentera Darat Bakal Tawan Puncak Everest


Seiring dengan semangat ‘Gagah Setia’, Sarjan Zainul Fikri bin Mohd Idris (gambar) dari Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja (KJLJD) akan menjadi satu-satunya warga Tentera Darat yang terlibat dalam misi menawan puncak Gunung Everest pada tahun 2011.

Misi Perdana de’ Everest – Tibet 2011 yang diterajui oleh Presiden Kelab Kembara Negara, Dato’ Hj Khalid bin Yunos dan dianggotai oleh tujuh pendaki utama, bakal memulakan ekspedisinya pada 5 April 2011. Ekspedisi bersejarah selama dua bulan ini dijangka akan berakhir pada 10 Jun 2011.

Anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini memasuki Kor Jurutera Elektrik dan Jentera pada 12 Jul 1997. Beliau sudah berkahwin dan dikurniakan tiga orang cahaya mata. Beliau sekarang bertugas sebagai Jurulatih Cawangan Diploma di Institut Kejuruteraan Tentera Darat, Port Dickson.

Pemegang Diploma Kejuruteraan Automotif ini telah menyertai Kelab Kembara Negara sejak tahun 2007 di mana beliau bermula sebagai pendaki sokongan bagi Ekspedisi Merdeka de’ Everest. Tanpa menoleh ke belakang, beliau terus aktif meneruskan aktiviti mendaki dan sehingga kini beliau telah berjaya menawan puncak Gunung Island Peak setinggi 6189 meter dan Gunung Kala Pattar (5545 meter) di Nepal pada tahun 2008 dan 2009.

Berkat kegigihan dan usaha yang jitu, Sarjan Zainul Fikri akhirnya telah dipilih untuk menjadi salah seorang daripada pendaki utama yang akan memulakan pendakian dari Tibet, China buat kali pertama. Ini kerana kebanyakan pendakian ke gunung Everest bermula dari Nepal dan akan berdepan risiko angin yang kuat dari sebelah Tibet. Pada masa yang sama, beliau juga telah dipertanggungjawabkan untuk menentukan makanan dan nutrisi yang perlu diambil oleh setiap pendaki supaya ekspedisi ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Sarjan Zainul Fikri memberitahu, beliau berasa amat teruja dan bersedia untuk menyempurnakan ekspedisi ini. Dengan berbekalkan latihan persiapan yang dimulakan sejak tahun 2010, beliau berasa yakin untuk menjayakan misi ini yang bakal membawa nama Malaysia amnya dan Tentera Darat khasnya ke persada antarabangsa. Selain daripada itu, beliau juga mengharapkan sokongan dan doa daripada seluruh warga Tentera Darat agar beliau dan semua ahli ekspedisi berjaya menawan puncak Gunung Everest dan selamat kembali ke tanah air bersempena dengan semangat 1 Angkatan, Tetap Gagah, Tetap Setia.

post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)