CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, April 24, 2011

Wartawan Pertahanan

WARTAWAN PERTAHANAN - 

Pengkhususan Kerjaya Media Yang Mencabar

Written by Hilmi Ismail
Thursday, 28 January 2010

Media sememangnya mempunyai peranan yang sangat penting dalam memberikan maklumat terkini dan juga pemahaman masyarakat awam mengenai dunia ketenteraan dan pertahanan. Organisasi media tidak mungkin dapat menyampaikan berita pertahanan tanpa wartawan, atau lebih tepat lagi wartawan pertahanan.

Menerusi rencana ini, para pembaca akan dibawa meninjau dan memahami peranan mereka yang selama ini bertanggungjawab memastikan kita sentiasa mendapat maklumat mengenai perkembangan semasa organisasi ketenteraan, strategi, taktik serta operasi-operasi ketenteraan dan juga sistem-sistem persenjataan terkini pada sebilang masa di lembaran akhbar/majalah, layar TV dan juga di internet.

Siapa Wartawan Pertahanan? Bagaimana Mereka Bekerja?
Mereka adalah wartawan yang tugasnya melaporkan berita serta menulis rencana dan laporan khas berkaitan ketenteraan dan pertahanan. Wartawan pertahanan bertugas di penerbitan akhbar, majalah dan juga stesen-stesen TV dan radio. Mereka lazimnya hadir dalam sebarang acara berkaitan ketenteraan seperti perbarisan, perasmian sesebuah pangkalan, pentauliahan kapal/unit/pangkalan, penubuhan unit, pameran pertahanan, penerimaan peralatan serta latihan dan juga operasi ketenteraan (sekadar menyebut beberapa contoh) untuk melaporkan berita-berita tersebut. Selain itu mereka juga menghadiri sidang akhbar yang diadakan pihak tentera. Namun begitu tugas mereka tidaklah hanya menanti untuk ‘disuap’ dengan jemputan menghadiri acara dan sidang media semata-mata kerana sama seperti wartawan sukan, politik, ekonomi dan berita am, wartawan pertahanan juga bertindak secara pro-aktif dengan menghasilkan rencana khas yang berkaitan sesuatu isu dalam bidang pengkhususan kewartawanan mereka sama ada ianya berkaitan sistem persenjataan, sesebuah pasukan atau isu-isu tertentu sebagai contoh - cara menarik minat golongan muda untuk berkhidmat dalam tentera, sejarah, kesan peningkatan/pengurangan belanjawan pertahanan atau isu keselamatan negara. Penulisan rencana ini yang mengupas dan menghuraikan sesuatu perkara dan menjelaskannya dari pelbagai sudut adalah apa dikatakan sebagai laporan kewartawanan berbentuk ‘penyiasatan’ atau ‘investigative journalism’.

Dalam tugas penghasilan rencana, mereka juga perlu menjalankan tugasan luar serta mendapatkan kerjasama pihak perhubungan awam tentera (dan juga lain-lain agensi keselamatan seperti polis) untuk membuat liputan bagi tujuan penghasilan rencana khusus seperti perjalanan latihan rekrut dan pegawai kadet, latihan bersama malahan operasi ketenteraan baik di waktu aman mahupun dalam konflik bersenjata! Bagi wartawan yang bertugas di majalah pertahanan, mereka lebih banyak terlibat dalam penulisan rencana berbanding wartawan akhbar memandangkan untuk keluaran setiap bulan, adalah lazim bagi mereka menghasilkan dua atau lebih rencana. Wartawan pertahanan di stesen TV dan radio tidak menghasilkan rencana dalam bentuk tulisan seperti rakan-rakan mereka di media cetak, sebaliknya membuat penyelidikan secara terperinci untuk menghasilkan skrip bagi segmen dalam rancangan TV seperti berita dan rancangan berbentuk majalah. Dalam tugasnya, wartawan pertahanan akan bekerja bersama-sama jurugambar (jurukamera bagi wartawan TV) bagi mendapatkan gambar-gambar dan video yang bersesuaian dengan skop liputan.

Satu lagi bentuk tugasan yang tidak kurang penting bagi wartawan pertahanan adalah wawancara dengan tokoh-tokoh ketenteraan (sama ada yang masih berkhidmat atau yang telah bersara), saintis pertahanan, peneraju industri pertahanan, penganalisa pertahanan/strategik, menteri pertahanan dan sebagainya. Wawancara untuk siaran di media cetak dan elektronik ini merangkumi pelbagai perkara dari isu semasa kepada teknologi dan juga sejarah.

post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)