Khairy Dapat Sayap Penerjunan
KUALA NERANG: Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi bangga menantunya Khairy Jamaluddin hari ini berjaya memperoleh sayap selepas menjalani latihan penerjunan bersama anggota Tentera Darat.
“Saya ucap tahniah kepada dia sebab sanggup mengikuti latihan sebenar walaupun sibuk dengan tugas sebagai anggota Parlimen Rembau, latihan ini membantu menguatkan semangat dia.
“Kejayaan Khairy seharusnya mencetuskan minat lebih tinggi golongan muda menyertai pasukan tentera,” katanya kepada pemberita selepas menyaksi upacara penutupan kursus penerjunan di di Zon Gugur, Padang Sanai, di sini, hari ini.
Beliau turut diberi penghormatan menyemat sayap di pakaian seragam Khairy, dengan disaksikan isterinya Tun Jean Abdullah, isteri Khairy, Nori Tun Abdullah, Panglima Medan Tentera Darat Lt-Jen Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dan pegawai-pegawai kanan Tentera Darat.
Abdullah berkata beliau tidak terkejut apabila mendapat tahu bahawa Khairy, yang juga Ketua Pemuda Umno, berhasrat menyertai latihan selama lima minggu itu.
“Dia bersemangat waja, dan saya mendoakan agar dia dan yang lain-lain selamat menjalani latihan,” katanya.
Abdullah berkata sebagai Anggota Parlimen, Khairy menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada golongan muda dan berharap latihan dijalaninya membantu beliau lebih bersemangat kental menghadapai cabaran dalam dunia politik.
Khairy pula berkata sebagai anggota Askar Wataniah, beliau bersedia menjalani latihan itu seperti pelatih lain tanpa mendapat keistimewaan.
“Ini adalah cara saya menunjukkan semangat patriotisme kepada negara. Lain orang lain caranya,” katanya.
Upacara penutupan kursus itu bermula dengan penerjunan 10 pelatih, diketuai Khairy, dari paras 1,000 kaki dari pesawat pengangkut CN-235. Ini diikuti kumpulan kedua juga 10 pelatih dan kumpulan ketiga seramai 40 orang.
Kursus ahli paracut statik tahap satu siri APS/1/2011 selama lima minggu dan kursus ketua penerjunan tahap dua siri KP/1/2011 selama enam minggu dikendalikan Cawangan Payung Terjun
Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak).
Latihan itu dilaksanakan dalam dua modul iaitu kursus asas dijalankan di Pulpak, Kem Sungai Udang, Melaka dan modul kedua penerjunan sebenar di Zon Gugur Padang Sanai. Kursus tahap satu disertai 79 pelatih termasuk dua pegawai wanita manakala tahap dua disertai 21 pelatih.
Sumber: Bernama
0 comments:
Post a Comment
Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)