CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, February 18, 2011

"I'm Not a Hero, But I Served in a Company of Heroes"

Gambar Sekitar Program 

Malaysian Armed Forces in Action 2010 

>>MAFinACT '10<<




  


MAFinACT '10 adalah penjenamaan semula nama program tahunan oleh Kelab Nadi@watan UIAM selepas Glory of Freedom(GOF), Call of Duty(COD) dan MAFinACT '09 yang menyaksikan penglibatan terutamanya askar-askar simpanan iaitu barisan pertahanan kedua negara daripada anggota sukarela wataniah UIAM Batalion ke-2 Rejimen Askar Wataniah(RAW).  

Rejimen Askar Wataniah ialah salah sebuah kor/rejimen di dalam perkhidmatan Tentera Darat(TD). Penubuhannya ialah untuk tujuan pertahanan menyeluruh(HANRUH) kerana melibatkan orang awam dalam membantu angkatan tetap daripada pelbagai segi seperti kepakaran, risikan, perlaksanaan misi dan tanggungjawab. 

Jika tiada orang awam yang sanggup bersusah payah memasuki bidang ketenteraan sebagai suatu tujuan mempertahankan agama mencakupi bangsa dan negara, amatlah mudah bagi pihak musuh menembusi dan seterusnya menjajah semula negara ini. Kita tidak boleh meletakkan harapan dan tanggungjawab mempertahankan negara daripada ancaman musuh hanya kepada anggota tetap sahaja kerana sejarah sendiri telah membuktikan bahawa pihak komunis telah kalah semasa darurat kedua negara kerana tidak mendapat kerjasama daripada masyarakat setempat. Mereka sukar mendapatkan bekalan makanan, risikan, tenaga manusia dan akhirnya menyerah diri. Malah lebih ramai lagi masyarakat tempatan secara sukarela memasuki pasukan bersenjata untuk mempertahankan kampung masing-masing daripada mudah dibuli dan diancam oleh pihak komunis. 


Siswa/wi UIAM yang memasuki badan beruniform dilihat lebih berketrampilan dan berintegriti serta mempunyai semangat berpasukan yang baik. Walaupun sebagai mahasiswa/wi yang sibuk dengan pengajian masing-masing di kampus, mereka bijak membahagikan masa untuk meletakkan keutamaan dalam sesuatu perkara. Jika dilihat situasi sekarang, amatlah mengecewakan kerana bilangan mahasiswa yang memasuki bidang beruniform adalah kritikal jika dibandingkan dengan bilangan mahasiswi. Kita berharap  pemuda-pemuda masa kini tidak leka dengan kemerdekaan yang negara telah kecapi kerana untuk memperolehnya bukanlah semudah yang disangka. 


Pemudi-pemudi sekarang pula dilihat lebih bersemangat untuk membantu menjaga kesucian agama mencakupi bangsa dan negara dan ini adalah petanda yang baik tetapi negara memerlukan pemuda-pemuda yang lebih gagah daripada segi fizikalnya untuk tujuan tersebut. Jika yang ada di dalam angkatan tetap hanyalah kebanyakkannya daripada golongan yang berumur, maka apa yang boleh diharapkan dengan kuatan fizikal mereka dan mereka kebiasaannya akan terlibat dengan golongan pembuat keputusan ataupun kerja-kerja pentadbiran sahaja dan kurang terlibat dengan aktiviti medan. 



Kita lihat sekarang pemuda-pemuda kita terlalu 'obsessed' dengan hal-hal politik negara terutamanya dan sering menimbulkan kucar-kacir seperti melakukan demonstrasi jalanan dan merosakkan harta benda seterusnya menggugat kententeraman awam. Kita khuatir pihak luar yang sedang memerhati dan mencari peluang untuk menembusi negara hanya menunggu masa yang sesuai sahaja untuk tujuan melumpuhkan negara ini. Kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini mungkin akan hilang semula jika tidak dihargai dan dijaga dengan sebaiknya oleh golongan muda-mudi terutamanya yang menjadi aset dan modal insan yang amat penting untuk negara. Jika kita ingin lihat negara pada masa hadapan, lihatlah bagaimana pemuda-pemudinya pada hari ini.


Baru-baru ini, ahli parlimen Rembau Khairy Jamaluddin baru sahaja menamatkan kursus penerjunan di di Zon Gugur, Padang Sanai dan kini telah bergelar "Airborne Infantri". Beliau sekali lagi cuba menarik minat dengan lebih mendalam golongan muda untuk menyertai Tentera Darat(TD). Pada tahun lepas, beliau telah menyertai Askar Wataniah dan mendapat perhatian ramai golongan muda dan juga dikalangan ahli-ahli politik negara sendiri yang sering berbincang tentang penyertaan beliau dalam bidang pertahanan negara. Tetapi kita perlu memandang semangat patriotisme beliau daripada sudut yang positif. Menurut beliau, cara yang dilakukan ini adalah untuk menunjukkan semangat cintakan tanah air dan lain orang lain caranya. Semoga perjuangan beliau untuk menarik minat golongan muda akan tercapai kerana sememangnya pada hari ini masalah golongan muda yang berminat dengan bidang ketenteraan tidak memuaskan.

Syarat minimum menyertai ATM juga telah dipertingkatkan ke SPM kerana ATM sedang dan akan terus menggunakan teknologi tinggi dan canggih untuk kekal berdaya saing dengan perkembangan teknologi dalam bidang ketenteraan. Golongan-golongan lepasan IPT pula diharap dapat menyertai ATM dan ditawarkan peluang sebagai pegawai berdasarkan kelulusan yang mereka peroleh. Persaingan mungkin agak sengit dengan lepasan MTD, KTD, ATMA dan UPNM kerana mereka sememangnya pelapis angkatan tetap.

Menjadi anggota tentera tidak memerlukan kita hadir daripada keluarga yang berlatar belakangkan bidang ketenteraan, tetapi ianya lahir daripada hati dan perspektif individu itu sendiri. Bukan tujuan untuk menjadi 'heroes' , tetapi untuk berjuang bersama-sama 'heroes' dalam satu pasukan. Semasa latihan-latihan MAFinACT '10 sebagai contoh, anggota wataniah telah bersama-sama mengharungi hari-hari susah dan senang bersama-sama dalam latihan dan kerja-kerja pentadbiran yang memerlukan mereka saling tolong-menolong walaupun masing-masing mempunyai perkara lain yang perlu dibuat. Tetapi kerana rasa 'sepasukan' telah wujud mereka cuba mencari masa yang sesuai dan meluangkan masa melihat persiapan anggota-anggota berlatih dan terasa ingin turut serta terlibat walaupun telah menjadi sebagai ahli jawatankuasa program. Inilah contoh terbaik dimana mereka masing-masing merasakan...

"I'm Not a Hero, But I Served in a Company of Heroes"

Sebagai pengetahuan, program tersebut juga melibatkan Palapes Udara UIAM, Kor Suksis UIAM, Tentera Udara(TU), dan Tentera Darat(TD) yang mempamerkan persembahan hebat masing-masing pada malam hari jadi. Tentera Laut(TL) juga pernah terlibat di dalam MAFinACT '09 yang mendapat pujian ramai pada tahun 2009 ketika itu.



  


Kredit: 
Gambar-gambar oleh Pbt Rafik Masuod (Rekrut Siri 1 2010). Terima kasih.



post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)