CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, January 7, 2011

Roll Call Di Ambang Tahun Baru 2011

Perlukah Kita Menyambut Tahun Baru??


      Alhamdulillah, kita telah melangkah ke alam tahun 2011 bermaksud semakin dekat kita dalam setiap detik yang berlalu dengan kematian kita. Bagi kebiasaannya, masyarakat dunia akan menyambut tahun baru dengan berkumpul beramai-ramai dan menunggu detik-detik terakhir sebelum memasuki tahun seterusnya. Tetapi yang menyedihkan apabila sambutan ini dibuat secara berlebih-lebihan sehingga membawa kepada pembaziran dengan anak-anak muda berpeleseran jalanan, di kelab malam, hotel-hotel murah, di gerai-gerai makan dan tempat-tempat yang tidak mendatangkan faedah sehingga pulang ke rumah lewat pagi. Pasangan-pasangan bercinta pula mengambil peluang untuk berdua-duaan sehingga tidak mengendahkan lagi batasan dalam perhubungan terutamanya bagi yang beragama Islam, sehingga membawa diri ke lembah penzinaan kerana terlalu asyik dengan kegembiraan yang tiada membawa apa-apa maksud jika difikirkan kembali. 

Anggota skill wataniah sedang berbaris di dalam samaran cahaya di mahallah SAA.
Kelihatan percikan bunga api berwarna merah yang menandakan
kita telah masuk ke tahun 2011.

     Jika difikirkan, banyak gejala-gejala sosial yang berlaku pada malam sambutan tahun baru ini seperti tangkap khalwat, zina, berfoya-foya, ke hulu hilir dengan kondom-kondom bersepah di tempat-tempat awam adalah melibatkan anak-anak muda (stressing on Muslim) yang merupakan aset-aset negara pada masa akan datang. Jika hancur pemuda pemudi kita dengan masalah sosial, siapakah yang akan menjadi harapan dan siapakah yang akan menjadi tiang negara? 

"Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara" 

Berapa keratkah pemuda pemudi yang dapat menunaikan sepenuhnya tuntutan solat 5 waktu?. Dengan sebanyak itu sahajalah daripada mereka yang boleh kita letakkan harapan. Pemuda pemudi  yang bertakwa adalah mereka yang serius terhadap tanggungjawab pada agama, bangsa dan negara. Mereka memperuntukkan tenaga, masa, dan buah fikiran serta semangat untuk tugas-tugas sebagai khalifah Allah di dunia dan dengan itu mereka sanggup untuk meninggalkan budaya berseronok, berfoya-foya dan berlagak serta bergaya tidak menentu. Bukankah pemuda pemudi sepatutnya menjadi aset negara bukan liabiliti negara. Mereka perlu memberi sumbangan kepada pertumbuhan negara dan bukannya memberi dan menambah masalah negara yang kemudiannya akan membantutkan proses kemajuan negara kerana perlu lebih banyak menumpukan masa dan wang ringgit untuk mengatasi masalah sosial yang melibatkan mereka. 

       Mengapa tidak tahun baru di sambut dengan doa, sujud kesyukuran dan ibadah-ibadah yang menginsafi kelemahan diri selama tahun sebelumnya sebagaimana kita menyambut Tahun Maal Hijrah yang mempunyai erti disebalik sambutan itu. Apakah azam-azam yang dibuat ada kena mengena dengan penambahbaikan amal ibadah kita atau sekadar mengecapi sesuatu pencapaian duniawi? Bagaimana pula azam kita untuk mencapai kesudahan yang baik di akhirat? Adakah setelah kita sudah tua dan berumur baru untuk mula membuat azam untuk beramal jariah dan persoalannya adakah ada kesempatan waktu yang diperuntukkan untuk kita sehingga waktu itu?. 

      Azam boleh diibaratkan sebagai janji kita terhadap diri sendiri dan dengan itu adakah kita akan menghukum diri jika gagal mencapai azam tersebut diakhir tahunnya. Bagaimana pula janji kita sebagai seorang muslim untuk mempertahankan agama Islam daripada diperkotak katik kan oleh pihak-pihak yang mencemburui dan ingin melahirkan generasi-generasi Islam yang lemah daripada segi akidah dan akhlak.? Dengan itu, mudahlah bagi mereka memijak-mijak kepala generasi akan datang yang tidak tahu lagi asal usul agama mereka yang dahulunya gilang gemilang tetapi kini telah merudum jatuh kerana kelemahan pemimpin-pemimpin dan rakyat yang tidak lagi menjalankan tanggungjawab dan pentadbiran negara berlandaskan syariat Islam.


      Mungkin mudah bagi pengarang seperti saya untuk melontar seribu pandangan di sini tetapi tanpa perlaksanaan dan sifat ingin tegur menegur sesama muslim demi kebaikan, maka semuanya adalah sekadar melepaskan batuk di tangga. Oleh itu, saya menyeru kepada umat Islam agar kembali bangun membina kegemilangan tamadun Islam yang akan membawa kepada generasi-generasi anak muda yang mantap daripada segi mental, rohani dan jasmani serta tidak goyah dengan ancaman daripada pihak yang ketika ini sedang ketawa terbahak-bahak melihat kehancuran generasi muda umat Islam melalui agenda-agenda mereka yang tersembunyi. Mari kita kaji kesan daripada sambutan tahun baru ini dengan membuka akhbar-akhbar pada keesokkan harinya dan hari-hari yang mendatang apabila semakin banyak kes-kes buang janin dan bayi berlaku setelah berbulan sambutan ini berlangsung. Kita harus mempelajari kesilapan mereka untuk membimbing sahabat-sahabat kita yang lain agar tidak terjerumus dengan masalah yang sama dan bukan sekadar membaca kehilangan maruah saudara-saudara kita didada akhbar untuk hiburan semata-mata. Adakah kita sanggup membiarkan anak-anak kita hidup tanpa pedoman dan panduan hidup.? Jika dirumah ibu bapa mampu menegur dan menasihati anak masing-masing, bagaimana di luar rumah?. Tanggungjawab siapakah untuk menegur anak -anak kita ketika mereka berada di luar rumah?. Tepuk dada tanyalah iman masing-masing.. Insaflah.......


post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)