CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Saturday, January 8, 2011

Polis & Tentera Bergabung Perangi Jenayah

Polis, Tentera Perangi Jenayah di Empat Negeri

PUTRAJAYA 7 Jan. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) bakal menjalin kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu bentuk mekanisme baru mengatasi masalah jenayah di empat buah negeri 'panas' di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, inisiatif tersebut bertujuan mengurangkan kadar jenayah di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang selain mengukuhkan lagi ketenteraman awam.

Menurutnya, dua kem tentera akan digunakan untuk merekrut polis sekali gus akan menyaksikan pertambahan bilangan anggota polis dalam masa terdekat.

''Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan perkara ini kerana ia melibatkan kerjasama antara dua buah kementerian, dua orang menteri dan dua orang Ketua Setiausaha.

''Ini merupakan satu lagi peristiwa bersejarah kerana belum pernah kita melihat polis dan ATM bekerjasama begitu rapat dan erat sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan tahun baru kementeriannya di sini hari ini.

Hadir sama dua Timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusop, Datuk Lee Chee Leong, Ketua Setiausaha, Datuk Seri Mahmood Adam dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Hishammuddin turut mengumumkan penempatan semula seramai 8,140 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dari sempadan Semenanjung ke Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor secara giliran.

Dalam ucapannya, Hishammuddin turut mengumumkan tujuh komitmen utama KDN tahun ini iaitu memantapkan pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengurangkan jenayah; memberi nilai tambah kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta meningkatkan kecekapan pengurusan isu warga asing.

Turut digariskan ialah menangani ancaman jenayah merentasi sempadan; memerangi pengedaran dan penyalahgunaan dadah; mempertingkatkan keberkesanan pemulihan dan menggerakkan gelombang kesukarelaan di kalangan rakyat.

Tegas beliau, dalam usaha membanteras dadah, undang-undang ketat yang digunapakai masih belum cukup untuk menakutkan pengedar dan belum dapat menginsafkan masyarakat tentang bahaya dadah.

''Sudah tiba masanya dasar anti dadah negara dan segala langkah memerangi pengedaran dan penyalahgunaan dadah dikaji semula kerana ia telah dirangka pada 1996 dan kali terakhir disemak semula pada 2004," katanya.

Hishammuddin berkata, menyedari Malaysia dijadikan pusat transit dan pengedaran dadah, KDN telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Iran untuk membasmi pengedaran dan penagihan dadah di antara kedua-dua negara.

KDN juga, kata beliau, akan menandatangani MoU untuk menubuhkan Pusat Koordinasi Maklumat Asia Pasifik bagi memerangi jenayah di antara Pejabat Pendakwa Raya Tertinggi Republik Korea dan Agensi Anti Narkotik negara-negara anggota ASEAN.

Sumber: Utusan Malaysia
post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)