CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, December 5, 2010

Malaysia Tidak Sokong Peperangan Untuk Perangi Pengganas

Malaysia Tidak Sokong Peperangan Untuk Perangi Pengganas



SHAH ALAM 5 Okt. - Malaysia tidak akan menyokong perisytiharan perang terhadap mana-mana negara sebagai langkah memerangi kumpulan pengganas, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak hari ini.

Sebaliknya kata beliau, pendirian negara adalah jelas iaitu memerangi secara khusus kumpulan pengganas dan bukan melalui perisytiharan perang terhadap negara-negara tertentu.

Menurutnya, Malaysia berpendirian demikian kerana perisytiharan perang terhadap negara tertentu bukanlah satu penyelesaian bagi menangani masalah kumpulan pengganas.

``Kita tidak menyokong sebarang bentuk usaha yang melibatkan perisytiharan perang terhadap mana-mana negara termasuk Afghanistan.

``Pendirian kita jelas iaitu dengan memberi tumpuan khusus bagi memerangi kumpulan pengganas,'' katanya pada sidang media selepas majlis pemakaian pangkat tauliah Kolonel Kehormat Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah Negeri Selangor (Jakpaw) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini.

Pada majlis itu, Najib memakaikan pangkat berkenaan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Sementara itu kata Najib, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia menghantar para anggotanya sebagai Pasukan Pengaman ke Afghanistan.

Bagaimanapun katanya, penghantaran pasukan pengaman itu perlu terlebih dahulu mengambil kira beberapa faktor termasuk kemampuan kewangan negara, keputusan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu dan peranan yang dimainkan oleh ATM sendiri.

Mengenai pembangunan Askar Wataniah (AW) di Selangor, Najib berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana sumbangannya menyediakan peruntukan bagi membina pusat latihan AW bernilai RM15 juta di Puncak Alam dekat sini.

Menurutnya, pusat latihan di atas kawasan seluas lapan hektar itu dijangka siap pertengahan tahun 2003.

Sumber: Utusan Malaysia
post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)