CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, December 19, 2010

Kata-Kata Aluan Penulis Bagi Sem II 2010/2011

Kata-Kata Aluan Penulis Bagi Sem II 2010/2011

Assalammualaikum dan salam 1Malaysia.

Setelah melalui pelbagai rintangan dan cabaran sejak tertubuhnya kelab Nadi@watan UIAM ini, tiba masanya kita berfikiran lebih jauh dalam memantapkan nama kelab dikalangan badan-badan unit beruniform yang lain amnya dan seluruh komuniti UIAM khususnya. 


Cabaran yang dihadapi pada hari ini adalah tertumpu kepada "Human Resource" di mana kita melihat pelajar-pelajar UIAM lebih terfokus kepada badan-badan beruniform yang di mana anggota-anggotanya akan diberi elaun setiap kali menghadiri kelas dan latihan. Berbeza dengan Wataniah, pemupukan semangat "sukarela" lebih diutamakan bagi melahirkan golongan sukarelawan dan sukarelawati yang "sejati".

Tidak dinafikan keperluan elaun bagi meningkatkan moral anggota-anggota unit beruniform juga adalah suatu pendekatan yang baik selain dapat meningkatkan kekerapan kehadiran dan sekaligus mengelakkan keciciran kelas kerana terlalu kerap tidak menghadiri kelas atas alasan keutamaan diletakkan atas sesuatu yang memberi faedah yang jelas kepada seseorang anggota tersebut.

Tetapi persoalan yang boleh dibangkitkan ialah adakah situasi ini akan berubah sekiranya kelas dan latihan skill wataniah diberikan elaun dengan menggunakan cara menjalankan latihan tempatan diluar kem Rejimen 515 Askar Wataniah? Cadangan ini boleh dilaksanakan atas persetujuan pihak atasan rejimen tetapi adakah anggota-anggota wataniah UIAM dapat memberikan 100% sokongan dengan menghadiri kelas-kelas/latihan-latihan tersebut.? Adalah sesuatu yang agak memalukan jika kehadiran untuk latihan tempatan di UIAM hanya dihadiri kurang daripada 10 orang memandang permasalahan yang sering kita bangkitkan adalah berkenaan dengan tiada kenderaan, jarak yang agak jauh, tidak selesa tidur di kem, dan sebagainya. Tetapi apabila telah diberikan kemudahan kita tidak menghargainya pula.

Cabaran berkenaan "Human Resource" amat saya titik beratkan kerana pengambilan anggota skill Wataniah kini hanyalah setahun sekali. Ini bermaksud akan tiba satu masa nanti hanya terdapat 3 kelas skill sahaja iaitu junior, intermediate, dan senior seperti yang dilaksanakan ROTU. Jika dalam 1 kelas mempunyai purata 35 orang, maka 3 kelas mempunyai 105 orang keseluruhannya. Ini adalah kudrat yang ada bagi kelab Nadi@watan terus berfungsi memandangkan anggota non-skill dilihat kurang berminat untuk melibatkan diri dalam pentadbiran kelab. Ini juga adalah suatu cabaran bagi ahli-ahli lembaga kelab untuk meninjau dan mengajak anggota non-skill untuk sama-sama berganding bahu memajukan kelab Nadi@watan seperti saudara Ghufran Daud dan Umar Ismail yang saya ketahui banyak menyumbang dan melibatkan diri dalam pentadbiran kelab. 

Masalah utama ialah bagaimana kita hendak meningkatkan taraf anggota LLP wataniah supaya dipandang tinggi oleh bakal-bakal pegawai ROTU dan SUKSIS supaya tidak terasa tertekan dengan laporan-laporan mereka yang mengatakan wataniah tidak hormat pegawai memandangkan kita sedang dan akan terus duduk sebumbung di Mahallah Salahuddin Al-Ayyubi. Jika sejak dari awal lagi wataniah telah meletakkan standard di mata mereka dengan kehebatan dalam sesuatu perkara seperti kreativiti tersendiri yang dapat dipamerkan disekeliling mahallah tersebut, sudah pasti ego mereka akan sedikit turun dan menghormati kewujudan LLP wataniah yang hebat dan selalu bermain difikiran mereka.

Walaubagaimanapun, saya mengharapkan wataniah akan terus unggul di UIAM dan terus menabur bakti dalam memperkasakan sistem pertahanan negara seiring dengan kewujudan sayap-sayap perkhidmatan lain di UIAM bagi membuktikan kemampuan pelajar-pelajar untuk memperoleh daya kepimpinan, ketahanan dan kekuatan fizikal daripada penglibatan mereka dengan unit beruniform.

Semoga segala ilmu yang dipelajari dipraktikkan dalam kehidupan seharian dan jangan takut untuk membuat kesilapan sekarang kerana kesilapan sekarang yang menentukan kejayaan anda di masa hadapan. Peluang-peluang untuk menjadi ahli lembaga kelab atau ahli jawatan kuasa sesuatu program haruslah direbut kerana banyak perkara yang dapat dipelajari di situ yang sangat praktikal di kehidupan kita pada masa hadapan terutamanya semasa dalam karier ataupun disaat di "interview". Disinilah kita dapat meningkatkan keyakinan diri apabila disoal dengan keaktifan kita dengan aktiviti kokurikulum kerana kita sedari apa yang telah berlaku sepanjang penglibatan kita dalam badan beruniform.

Semoga tahun 2011 ini lebih banyak latihan dan kursus ditawarkan PUSWATAN agar anggota wataniah UIAM dapat merebut peluang yang ada sempena cuti panjang antara short sem dan sem I 11/12 bagi meningkatkan taraf karier dan pengalaman masing-masing dalam wataniah.

Yang paling utama, adalah pelajaran dan tujuan utama kita di UIAM adalah untuk memperoleh seberapa banyak ilmu dalam "specialization" masing-masing dan "graduate dengan jayanya" daripada universiti ini. Janganlah kita gugur ditengah jalan, seandainya gugur teruskan berdiri dan bangkit semula kali ini dengan lebih bersemangat. Kita perlu utamakan "time management" agar waktu 24 jam yang semua orang ada diuruskan dengan seimbang dan baik untuk mencapai sesuatu matlamat. 

Akhir kata, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada seluruh anggota Wataniah UIAM skill dan non-skill. Tingkatkan ilmu dalam ketenteraan dan manfaatkanlah ilmu yang diperoleh daripada para jurulatih dengan sebaik mungkin. Semoga segala ilmu yang dipelajari dan perjuangan anggota wataniah diberkati Allah SWT, Tuhan yang SATU.

Sekian,
Terima Kasih.




post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)