Pengalaman Rekrut Siri 2 /2008
Kursus Asas Perajurit Muda (S) Siri 2/2008 ( KAPM 10 April - 9 Mei 2008) yang melibatkan pelajar UIAM dan individu mencatatkan sejarah apabila bilangan penuntut pada kursus rekrut ini mencecah hampir 150 orang. Ianya membabitkan 4 pecahan platun Alpha, Bravo, Charlie dan Delta di mana sepanjang kursus ini diadakan setiap anggota didalam platun masing-masing harus menyesuaikan diri dengan semangat berpasukan dan saling tolong-menolong antara satu sama lain. Kursus ini dilakukan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) di mana hampir kesemua rancangan aktiviti dilakukan dipersekitaran UIAM seperti di Helipad, Padang Ragby, Convest Hill, Transportation Unit/OR dan sekitarnya. Penuntut kursus ditempatkan di Mahallah Bilal dan Nusaibah dimana jarak bagi penuntut lelaki ke kawasan berkumpul iaitu di OR adalah agak jauh jika dibandingkan dengan penuntut pranita. Di situ terletaknya cabaran bagi anggota lelaki untuk menyesuaikan diri dengan tempat dan masa dengan baik bagi mengelakkan kelewatan dalam melaporkan diri yang akan menyebabkan keseluruhan penuntut di beri hukuman. Tidak dinafikan berlaku sedikit perkelahian antara mereka kerana masing-masing masih sedang membina sifat persefahaman dan kerjasama yang memerlukan sedikit pengorbanan dari segi tenaga dan masa.
Walaubagaimanapun, hari demi hari yang berlalu mereka mula bertindak seperti dalam satu pasukan atas arahan yang diberi dan tidak menunjukkan sikap sambil lewa dengan arahan tersebut kerana mungkin pengajaran daripada hukuman/denda yang akan diberi oleh jurulatih sekiranya seseorang penuntut ingkar dengan sesuatu arahan yang diberikan oleh I/C platun @ I/C keseluruhan @ YDP @ NYDP @ 'Head' mana-mana jawatankuasa kursus rekrut tersebut. Untuk pengetahuan, YDP kursus ini dipegang oleh Pbt Saiful Islam dan NYDP ialah Pbt Rodhiah dimana peranan mereka berdua dilihat sangat berat kerana terpaksa memantau bilangan anggota yang sangat ramai dan dengan itu memerlukan kerjasama daripada I/C platun dan I/C keseluruhan pada setiap hari. Disinilah kepimpinan seseorang teruji kerana peranan yang diberi tidak boleh dianggap sebagai suatu beban sebaliknya sebagai satu cabaran bagi diri untuk menghasilkan sesuatu yang lebih cemerlang walaupun terdapat halangan atau masalah yang datang yang memerlukan kita mencari jalan penyelesaiannya. Sebagai pemimpin, mereka bertanggungjawab memberi arahan kepada anggota dibawah mereka untuk menerima dan menjalankan arahan yang diberi dengan baik. Kesediaan penuntut-penuntut yang lain untuk menerima arahan amatlah ditagih kerana masing-masing penat dan letih yang teramat kerana kurang tidur dan perlu melakukan latihan-latihan fizikal setiap hari. Sememangnya ketahanan fizikal dan mental penuntut-penuntut kursus siri ini teramat diuji dengan pelbagai karenah dan masalah yang datang.
"Jangan lari daripada masalah kerana masalah akan sentiasa mengejar kita, sebaliknya ambil sedikit masa untuk berfikir jalan penyelesaian kepada setiap permasalahan yang muncul." Ingatlah bahawa minda yang kreatif akan dapat melihat seribu penyelesaian kepada satu jenis permasalahan...
KOS(orderly sergeant) sepanjang kursus dijalankan disandang oleh L/kpl Khairul Azlee(Neng) di mana beliau seorang yang tegas tetapi memahami keadaan penuntut. Walaubagaimanapun, untuk menjadi seorang askar wataniah segala pahit getir perlu dilalui sebagaimana askar tetap yang lain sebelum seseorang layak digelar seorang askar. Oleh kerana itu, beliau mementingkan kerjasama dan persefahaman antara satu sama lain didalam pasukan dan mematuhi masa berbaris dan memberi hukuman bagi setiap kesalahan yang dilakukan. Anggota Demo yang lain juga kebanyakannya adalah anggota UIAM yang turut membantu pentadbiran kursus ini.
Secara ringkasnya, pelajaran dan aktiviti yang dilakukan oleh penuntut kursus adalah seperti kelas baca peta dan kompas, kelas ilmu medan perang dan taktik, syarahan gaji dan elaun, kelas senjata M16, steyr dan LMG, karnival sukan, jalan laju, latihan kering, latihan kawad kaki dan senjata, peperiksaan, 'passing out' dan lain-lain perkara yang perlu diketahui oleh penuntut kursus. Tetapi bagi kursus rekrut ini, tiada aktiviti merempuh halangan dilakukan dimana agak menyedihkan.
Pbt Muhammad Muhaimin b Mohd Yusof(Engine-Aerospace) dijulang sebagai penuntut keseluruhan terbaik, Pbt Mohd Izzat b Mohd Shukri(Engine-Mechatronics) dijulang sebagai penembak terbaik dan Pbt Nik Mohd Faiz b Sapiaa @Md Nordin(Engine-Automotive) dijulang sebagai akademik terbaik manakala kawad terbaik dikuasai seorang anggota individu yang juga seorang pengawal keselamatan. Bagi KAPM tahun 2010 pula menyaksikan penguasaan 2 anggota pranita UIAM juga daripada bidang kejuruteraan masing-masing menjulang anugerah penuntut keseluruhan terbaik dan akademik terbaik<Berita Lanjut>. Jelas penguasaan pelajar-pelajar kejuruteraan yang sekaligus menyangkal dakwaan bahawa pelajar kejuruteraan tidak boleh memasuki wataniah kerana kursus kejuruteraan adalah satu kursus yang sangat berat atau sukar jika ditambah lagi dengan aktiviti-aktiviti kokurikulum. Harus diperingatkan bahawa pasaran diluar sana bukan hanya memandang CGPA seseorang pelajar sahaja tetapi lebih kepada 'interpersonal' dan 'softskill' yang mereka ada kerana itu adalah lebih penting daripada CGPA yang tinggi sekalipun. Tetapi jika seseorang pelajar itu mampu memiliki kedua-dua kualiti itu adalah lebih hebat dan amat membanggakan oleh sesiapa pun penemuduga anda kemudian hari nanti.
0 comments:
Post a Comment
Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)