CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, November 9, 2010

Malaysia diminta tambah anggota pengaman di Lebanon

Malaysia diminta tambah anggota pengaman di Lebanon


KUANTAN 4 Nov. - Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meminta Malaysia menambah bilangan pegawai dan anggotanya dalam misi pengaman di Lebanon pada masa akan datang.

Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed
memeriksa perbarisan sempena pembubaran
Malcon East 5 di Kuantan, semalam.
Ketua Staf Markas Angkatan Tentera, Leftenan Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, permintaan itu menunjukkan PBB mengiktiraf kemampuan negara dalam melaksanakan misi pengaman di negara bergolak tersebut.

"Saya gembira kerana anggota tentera kita diperakui dan terbukti mampu beroperasi dalam misi serta persekitaran, bentuk muka bumi dan iklim yang berlainan.

"Justeru, penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam misi ini satu platform ke arah memperkasa keupayaan bagi melaksanakan pelbagai bentuk operasi di luar negara dengan lebih komited," katanya.

Beliau berucap sempena majlis penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bangsa-bangsa Bersatu dan pembubaran Kontinjen Malaysia East 5 (Malcon East 5) di padang kawad Rejimen Pertama Kor Amor Diraja (1KAD), Kem Batu 10, di sini. hari ini.

Pasukan Malcon East 5 yang ditempatkan di Kaoukaba, Lebanon dianggotai 35 anggota dan 265 lain-lain pangkat termasuk 20 wanita diketuai Leftenan Kolonel Subari Tomo kembali ke tanah air pada Oktober lalu.

Menurut Raja Mohamed Affandi, beliau yakin penglibatan ATM di Lebanon mendatangkan banyak pengajaran dan pendedahan yang boleh dijadikan panduan pada masa depan.

"Saya amat berpuas hati kerana komitmen dalam misi Misi Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL) telah berfungsi sebagai penanda aras bagi mengukur kemampuan dan daya ketahanan trup kita termasuklah Malcon East 5 dalam pelaksanaan misi di bumi asing," jelasnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, pihaknya sedang membuat analisis dan pertimbangan sama ada menghantar pasukan tambahan ke Afghanistan atau sebaliknya.

"Berdasarkan laporan itu, kita akan putuskan apa yang diperlukan oleh kerajaan Afghanistan termasuk membantu membina semula prasarana kesihatan dan melaksanakan misi perubatan di beberapa wilayah di sana," ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia
post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)