CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, October 29, 2010

Wanita Boleh Bersolat Dengan Berpakaian Tentera

Wanita Boleh Bersolat Dengan Berpakaian Tentera


SAYA seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang aktif dan bergiat dalam pasukan Askar Wataniah. Kegiatan ini memerlukan saya mengikuti latihan di kawasan hutan. Waktu juga terhad kerana saya terpaksa mengikuti jadual latihan yang padat. Kadangkala waktu untuk mengerjakan solat terbatas dan terganggu kerana saya hanya menggunakan pakaian yang dipakai ketika latihan. Ini kerana saya tidak berkesempatan menukarkan pakaian bersih. Kemudian jarak antara kawasan latihan dan penginapan tidak terlalu jauh sebagaimana yang disyaratkan untuk melakukan solat jamak dan qasar perlu lebih dua marhalah. Adakah sah solat saya dengan pakaian yang kotor terkena lumpur, tanah (tidak pasti kebersihannya) dan mengambil kira faktor masa yang terbatas, adakah dibolehkan untuk saya melakukan solat jamak atau qasar?

NURUL AIN
Kedah

_____________________________________________________________________________

SOLAT fardu tetap wajib dilaksanakan dalam semua keadaan sama ada bermukim, bermusafir atau dalam latihan ketenteraan. Memandangkan anda kadang-kadang kesuntukan masa, berpakaian tentera sepenuhnya tidak menghalang anggota wanita untuk bersolat. Anggota wanita boleh berpakaian tentera untuk bersolat tanpa perlu menukar kepada pakaian khusus solat. Aspek utama yang perlu dipastikan ialah menutup aurat.

Syarat sah solat yang perlu dipatuhi iaitu
(1) suci daripada hadas besar dan kecil,
(2) suci daripada najis yang tidak boleh dimaafkan pada badan, pakaian dan tempat dan
(3) menutup aurat iaitu bagi wanita seluruh tubuh badan termasuk rambut kecuali muka dan dua tapak tangan.

Pakaian yang semata-mata terkena lumpur dan tanah tidak najis. Mengenai solat qasar dan jamak pula dalam masa latihan terbabit diberi beberapa panduan.

(1) Solat qasar tidak boleh ditunaikan kerana anda bukan dalam musafir.
(2) Solat jamak hanya boleh ditunaikan dalam keadaan tertentu seperti musafir, sakit, hujan lebat dan kesuntukan masa kerana terlalu sibuk.

Bagaimanapun, solat jamak mempunyai syarat tertentu dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana Nabi Muhammad s.a.w tidak melakukannya secara berterusan sebagaimana solat qasar dalam musafir. Lebih afdal menunaikan solat secara biasa dan bukan jamak kecuali keadaan amat memerlukan. Biasanya lakukan jamak takdim dan bukan jamak ta’khir. - myMetro

Sumber asal: 

post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)