CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday, October 28, 2010

Misi Malcon Isaf ke Afghanistan

Misi Malcon Isaf ke Afghanistan

ARKIB : 27/10/2010
Oleh SYUKRI SHAARI
Panglima Tentera Udara, Jen. Tan Sri Rodzali Daud (tengah) bergambar dengan anggota kumpulan induk 
Operasi Interim Sokongan dan Bantuan Nasional ke Afghanistan (Malcon Isaf) sebelum berlepas 
ke Afghanistan dari Pusat Pergerakan Udara, Pangkalan Udara TUDM Subang baru-baru ini.
MISI bantuan kemanusiaan ke Afghanistan diteruskan lagi oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi penghantaran skuad induk Operasi Interim Sokongan dan Bantuan Nasional ke Afghanistan (Malcon Isaf) bagi membantu negara yang mengalami kemusnahan akibat peperangan itu membangun semula.

Kumpulan induk berkenaan terdiri daripada 30 anggota meliputi dua doktor wanita ATM yang ditugaskan membantu serta memantau keadaan kesihatan penduduk di sana dan menyediakan kemudahan perubatan untuk mereka.

Kumpulan itu merupakan pasukan Malcon Isaf kedua yang akan menjayakan misi kemanusiaan selama sembilan bulan di wilayah Bamyan, Afghanistan setelah ATM menghantar 10 orang skuad pendahuluan untuk memantau keadaan di sana terlebih dahulu pada 16 Julai lalu.

Penghantaran Malcon Isaf adalah untuk misi bantuan kemanusiaan yang lebih memfokuskan pada bantuan dari segi perubatan meliputi khidmat kesihatan, pergigian dan bantuan kemasyarakatan.

Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud ketika menghantar kumpulan induk berkenaan ke Afghanistan pada 19 Oktober lalu menegaskan, Malcon Isaf bukan sahaja sekadar misi kemanusiaan tetapi turut memikul tanggungjawab serta peranan sebagai medium ke arah mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama antara Malaysia dan Afghanistan.

Justeru beliau menyeru anggota terlibat melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka dengan jujur, dedikasi dan juga profesional.

‘‘Setiap anggota perlu mempunyai sifat bekerja secara berpasukan demi memastikan Malcon Isaf dapat berfungsi dengan penuh efektif dan efisien pada setiap masa.

‘‘Saya juga berharap segala persiapan rapi serta latihan integrasi yang telah dijalani oleh kesemua 30 anggota ini akan dapat membantu mereka menyesuaikan diri dengan tugas selain keadaan persekitaran seperti faktor cuaca di sana nanti,” katanya.

Turut hadir pada majlis penghantaran Malcon Isaf tersebut ialah Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Jamil Osman.

Selain itu, Rodzali turut memberi penekanan agar kumpulan induk Malcon Isaf tersebut menjaga disiplin serta budi bahasa, keramahan dan kemesraan agar kontinjen negara akan dipandang tinggi serta disenangi oleh semua pihak apabila berada di Afghanistan nanti.

Tambahnya, beliau berharap dalam keghairahan anggota skuad Malcon Isaf menjalankan tugas, keselamatan diri jangan diabaikan dan perlu memastikan semua prosedur keselamatan sewaktu berada di sana dipatuhi termasuk ‘Rules Of Engagement’ bagi mengelak keadaan tidak diingini berlaku.

Sementara itu, bagi Kapten Elias Md. Radzi yang kali pertama menyertai misi kemanusiaan ATM ke luar negara berkata, dia sangat bersyukur kerana menjadi salah seorang yang terpilih kerana merasakan ia satu penghargaan yang besar untuk membantu membangunkan negara seagama yang telah musnah akibat peperangan.

‘‘Sepanjang lapan tahun berkhidmat bersama ATM, ini merupakan kali pertama saya menyertai misi ke luar negara dan begitu bersemangat untuk membantu golongan yang sangat memerlukan di sana.

‘‘Selain itu, saya juga sudah bersedia untuk menghadapi segala cabaran dan dugaan sepanjang menjalani misi tersebut serta akan memberikan yang terbaik bagi mengharumkan nama negara di sana nanti,” jelasnya.

Kapten Dr. Ummi Kalthom pula berpendapat, peluang untuk menyertai misi kemanusiaan ini tidak akan diabai serta dilepaskan.

Katanya yang pernah mengikuti misi kemanusiaan ATM ke luar negara sebelum ini, dia akan menggunakan segala pengalaman yang ada untuk dikongsi bersama ahli pasukan yang lain dan juga penduduk di wilayah Bamyan nanti.

‘‘Saya pernah menyertai misi Sahara Barat sekitar tahun 2008-2009 lalu selama enam bulan. Kali ini saya dengan bantuan 13 paramedik di dalam skuad ini akan menggunakan sebaiknya pengalaman daripada misi tersebut dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik terutama perubatan kepada penduduk di wilayah Bamyan,” katanya.

Sementara itu, bagi Mohd. Farihin Abdullah, suami kepada Nuraidila Ganti yang menyertai misi kali ini berkata, dia berbangga kerana isterinya telah dipilih untuk mewakili negara bagi membantu negara yang kini berada dalam kesusahan.

Katanya, walaupun terpaksa berjauhan dengan isteri untuk tempoh enam hingga sembilan bulan, dia tetap menyokong isterinya dan mendoakan dapat melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan baik di sana nanti selain selamat pulang ke tanah air apabila selesai misi tersebut. -Utusan
post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)