CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday, August 2, 2010

Matlamat dan Objektif Latihan Askar Wataniah

Rejimen Askar Wataniah (RAW)


"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"
1. Askar Wataniah Malaysia (AW) adalah badan sukarela yang berlainan daripada badan-badan sukarela yang lain. AW merupakan Angkatan Simpanan Tentera Darat Malaysia sebagai benteng kedua dalam mempertahankan negara kita yang tercinta. Penyertaan rakyat dalam AW merupakan satu sumbangan murni bagi menyahut seruan pertiwi sesuai dengan konsep HANRUH (Pertahanan Menyeluruh) yang ditetapkan dalam Dasar Pertahanan Negara. Sebagai sebuah negara yang pesat membangun dan berwawasan, penglibatan rakyat dan semua pihak adalah amat perlu bagi memainkan peranan dalam pembangunan serta pertahanan negara.HANRUH antaranya menetapkan bantuan nasional termasuk penggemblengan semua sumber negara di samping penglibatan Angkatan Tentera Malaysia.

2. Penyertaan rakyat dalam Angkatan Sukarela di Semenanjung Malaysia bermula semenjak 1902 lagi apabila Kerajaan Inggeris menubuhkan Pasukan Sukarela di Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang dipanggil Federated Malay States Volunteer Force (FMSVF), Pasukan Sukarela di Negeri Melayu Tidak Bersekutu pula dipanggil Unfederated Malay States Volunteer Force (UNFMSVF) dan di Negeri-Negeri Selat pula ialah The Straits Settlement Volunteer Force (SSVF).

3. Pasukan-pasukan Sukarela telah memainkan peranan yang begitu penting terutamanya semasa dalam Peperangan Dunia Kedua, darurat 1948-1960 dan konfrontasi. Semasa darurat ia dikenali sebagai 'Home Guard'. Pasukan ini telah disusun semula sebagai Pasukan Pertahanan Tempatan pada 1 Jun 1958 dan seterusnya dikenali sebagai Askar Wataniah Malaysia.

PERANAN DAN TUGAS:


MATLAMAT


4. Matlamat latihan AW adalah untuk menyediakan satu Angkatan Sukarela Tentera Darat yang mampu dikerah tenaga dan diaturgerakkan dalam masa yang singkat serta berupaya menjalankan tugas operasi tanpa memberikan banyak gangguan kepada ekonomi dan penghidupan sosial negara. Dengan itu, pendekatan latihan ialah untuk melatih pegawai dan anggota Sukarela dengan pengetahuan ilmu ketenteraan supaya mempunyai kemahiran dan sikap positif untuk melaksanakan tugas-tugas yang ditetapkan sesuai dengan peranan Kor masing-masing. Dalam konteks perkembangan AW ke arah tahun 2000, peranan dan tugas AW adalah selari dengan peranan Angkatan Tetap. Oleh itu, setiap pihak yang terlibat harus menyedari tanggungjawab masing-masing dan memahami segala aspek yang berkaitan dengan latihan supaya matlamat AW dapat dicapai dengan sempurna.

OBJEKTIF


5 Penekanan latihan untuk pegawai dan anggota Sukarela mestilah tertumpu kepada peningkatan prestasi individu dan kumpulan yang ditetapkan dalam Arahan Latihan Panglima Tentera Darat. Objektif umum latihan AW adalah seperti berikut:

* Menyediakan Angkatan Sukarela dalam semua fasa Peperangan Konvensional dan PMI.

* Melalui ‘Konsep Afiliasi', semua Rej Siri 500 AW dilatih kemahiran melaksanakan peranan Kor Infantri (sama ada secara bersendirian atau sebagai sebahagian daripada kumpulan) dalam semua fasa Peperangan Konvensional, PMI, Ketenteraman Awam dan gerakan membantu pihak berkuasa awam.

* Melalui ‘Konsep Integrasi’, semua unit Tempur AW, Bantuan Tempur AW dan Bantuan Perkhidmatan AW dilatih kemahiran Kor masing-masing untuk membantu pasukan Tetap melaksanakan peranan yang ditetapkan dalam semua fasa Peperangan Konvensional, PMI, Ketenteraman Awam dan gerakan membantu pihak berkuasa awam.

* Melatih setiap peringkat pegawai dan anggota Sukarela kemahiran bidang tugas masing-masing sesuai dengan perjawatan yang disandang.

* Melatih dan memahirkan unit-unit AW daripada berbagai Kor melaksanakan gerakan bersama.

* Melatih unit-unit AW bersama badan-badan sukarela awam melaksanakan gerakan membantu pihak berkuasa awam semasa kecemasan, bencana alam dan peperangan.

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)