CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday, August 2, 2010

Perutusan Hari Ulang Tahun Tentera Darat Ke-77

Perutusan Hari Ulang Tahun Tentera Darat Ke-77




Penulis: Tim BTDM   Tarikh Kemaskini: 1 Jun 2010
Gambar: Tim BTDM

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan limpah kurnia dan perkenan-Nya, dapat kita bersama-sama pada pagi ini, untuk menyaksikan perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Darat Ke-77.

Saya mengucapkan syabas kepada saudara-saudari sekalian, kerana telah berjaya mempamerkan mutu perbarisan yang amat membanggakan.

Saya secara peribadi, amat bersyukur kerana telah dirahmati oleh Allah Subhanahu Wataala untuk menyambut Ulang Tahun Tentera Darat Ke-77 bersama-sama saudara dan saudari sekalian.

Perbarisan pada pagi ini juga, amat bermakna dengan kehadiran beberapa mantan Panglima-Panglima Tentera Darat dan Pegawai-Pegawai Kanan Tentera Darat yang telah bersara.

Sesungguhnya, kehadiran Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, tuan-tuan dan veteran-veteran sekalian telah memberikan semangat, dorongan dan sokongan untuk Tentera Darat meneruskan legasi perjuangan mempertahankan kedaulatan negara kita yang tercinta.

Bagi pihak semua warga Tentera Darat, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kerana sudi hadir di perbarisan ini.

Saudara-saudari yang saya hormati sekalian, Sebelum saya meneruskan perutusan ini, saya ingin mengajak hadirin sekalian untuk bertafakur sejenak, dan bagi yang beragama Islam, marilah kita bersama-sama menghadiahkan Al-Fatihah, kepada rakan seperjuangan yang telah terkorban demi mempertahankan kedaulatan negara.

Semoga roh mereka ditempatkan bersama para syuhada.

Al-Fatihah.

Mengambil kesempatan ini juga, saya bagi pihak semua warga Tentera Darat ingin menyampaikan ingatan tulus ikhlas kepada semua balu-balu yang kehilangan suami mahupun anak-anak yang kehilangan ayah ketika menyumbang pengorbanan khidmat bakti kepada negara yang tercinta ini.

Kita harus berbangga kerana mereka ini telah gugur sebagai pahlawan negara.

Tentera Darat sesungguhnya tidak akan melupakan mereka dan akan sentiasa berusaha untuk membantu sedaya mungkin.

Kepada warga Tentera Darat yang tercedera semasa melaksanakan tugas, Tentera Darat akan sentiasa menghargai pengorbanan dan jasa-jasa saudara- saudari, dan akan terus membela nasib saudara-saudari agar dapat mengharungi kehidupan dengan lebih sempurna.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini, untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepda ibu bapa dan keluarga seluruh warga Tentera Darat, yang telah memberikan sokongan dan dorongan kepada anak-anak, suami dan isteri untuk berkhidmat demi agama, bangsa dan negara.

Perwira, Bintara dan Perajurit yang saya hormati sekalian, Bermula dengan sebuah angkatan peperangan insurgensi, Tentera Darat kini berubah menjadi sebuah angkatan konvensional yang moden dan berkemampuan dalam menangani pelbagai spektrum ancaman.

Pembangunan aset yang terancang telah memperlihatkan peningkatan keupayaan Tentera Darat sebagai sebuah organisasi yang ‘highly mobile, combat ready, versatile, sustainable and capable’ dan berupaya menjadi sebuah ketumbukan yang decisive serta mampu melaksanakan misi dalam pelbagai dimensi.

Tentera Darat akan terus melalui proses transformasi dan pemodenan sejajar dengan kemajuan teknologi dan keadaan persekitaran strategik.

Menyedari keperluan transformasi yang relevan dengan keperluan semasa, kita warga Tentera Darat yang terdiri daripada pelbagai kaum, perlu bergabung tenaga kepakaran, pemikiran strategik dan profesionalisme untuk mencapai misi ‘mempertahankan Malaysia dan kepentingannya daripada ancaman luar dan membantu Pihak Berkuasa Awam’ demi mendukung keperluan keselamatan negara dan aspirasi rakyat.

Justeru, tema ‘Tentera Darat Mendukung Aspirasi Rakyat dan Kedaulatan Negara’ masih kekal relevan bagi sambutan Hari Tentera Darat yang Ke-77.

Sesungguhnya kejayaan yang kita capai ini adalah hasil dari kerjasama seluruh warga Tentera Darat.

Ini bermakna, setiap warga Tentera Darat adalah penyumbang penting dalam menentukan kecemerlangan hala tuju Tentera Darat, sekaligus dapat merealisasikan Pelan ATM Dimensi Ke-4 atau 4D MAF.

Konsep 4D MAF telah diadaptasi sebagai blue print ATM.

konsep ini memerlukan Tentera Darat sentiasa bersiap sedia dalam memenuhi keperluan aturgerak yang tangkas, keupayaan mengekalkan kehadiran, serta mempunyai ketahanan dalam mengukuhkan domain daratan.

Keperluan ini hanya dapat dicapai melalui kecekapan, kebijaksaan, persefahaman serta kerjasama erat setiap warga Tentera Darat dalam melaksanakan fungsi dan tugas.

Tentera Darat akan menterjemahkan 4D MAF kepada perlaksanaan tugas secara strategik dan sistematik.

Segala usaha dan tenaga perlu digembleng supaya keupayaan dan keberkesanan Tentera Darat dapat dipertingkatkan agar kewujudannya kekal relevan.

Perwira, Bintara dan Perajurit yang saya hormati sekalian, Kesan kegawatan ekonomi global dan negara turut memberi kesan langsung kepada peruntukan belanjawan tahunan Tentera Darat.

Namun, kesan ini tidak harus dijadikan alasan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Justeru, pengurusan operasi, latihan, sumber manusia dan logistik dalam sumber yang terhad (Management of Limited Resources) akan diimbangi dan merupakan satu cabaran kepada Tentera Darat.

Dalam mengharungi kekangan ini, misi utama Tentera Darat adalah memastikan gerakan dan latihan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan menggunakan peruntukan yang terhad secara optimum.

Dalam hal gerakan, Tentera Darat akan meneruskan tugas gerakan mengikut keperluan semasa dan mengekalkan kesiagaan trup sesuai dengan Dasar Pertahanan Negara.

Sehingga kini, Tentera Darat telah berjaya memastikan tahap keselamatan daratan negara sentiasa terkawal dengan tiadanya sebarang ancaman luaran yang mengganggu-gugat kedaulatan negara.

Dari segi latihan, saya berpuas hati dengan pencapaian latihan individu dan kelompok yang dilaksanakan oleh Tentera Darat.

Begitu juga dengan latihan dua hala dengan negara asing telah dapat mencapai objektif yang digariskan.

Justeru, saya menyeru kepada semua warga Tentera Darat untuk kita mengekalkan tahap kompetensi dan profesionalisme bagi memenuhi keperluan gerakan.

Latihan-latihan yang dirancang hendaklah dilaksanakan dengan menggunakan peruntukan, kemudahan serta fasilitas yang sedia ada.

Setiap peringkat Pemerintahan dikehendaki memainkan peranan dan tanggungjawab agar latihan dilaksanakan secara efektif dan efisien.

Dalam aspek pentadbiran pula, saya menggesa supaya semua warga Tentera Darat mempertingkatkan Sistem Pemerintahan Regimental dan pentadbiran formasi serta pasukan masing-masing.

Tumpuan juga hendaklah diberi ke atas aspek keselamatan anggota, peralatan, dokumen dan kem agar segala masalah yang mungkin berlaku dapat dibendung dan diatasi secara berkesan.

Pembangunan modal insan dan kerohanian perlu dipertingkatkan melalui aktiviti-aktiviti keagamaan dan perpaduan kaum, supaya ia bergerak seiring dengan segala perancangan pembangunan dalam memartabatkan imej Tentera Darat di kaca mata rakyat dalam dan luar negara.

Dalam aspek logistik, saya berkehendakkan penglibatan yang maksimum semua peringkat pemerintahan dalam merancang, mengurus dan memantau segala bantuan logistik secara mikro berlandaskan konsep intervention management, supaya segala aset dan peralatan diuruskan dengan efektif dan efisien.

Pemerintah dikehendaki mengambil kira segala keperluan, aset dan peralatan yang sedia ada dengan teliti berpandukan kepada konsep SMART (specifix, measurable, achievable, relevance and time based) yang menekankan kepada penelitian dan perancangan yang mendalam.

Saya juga berkehendakkan supaya warga Tentera Darat mempunyai sikap sayangkan harta perkhidmatan dengan mengamalkan budaya senggaraan ke atas aset dan peralatan Tentera Darat.

Melalui amalan ini, kita akan dapat menjimatkan kos senggaraan dan jangka hayat boleh guna aset dan peralatan dapat ditingkatkan ke tahap yang maksimum.

Pada masa yang sama, Tentera Darat akan terus meningkatkan taraf hidup dan prasarana warganya dengan melaksanakan penyelenggaraan kem-kem dalam program Army Care, membina kem-kem serta rumah keluarga baru.

Saya yakin, intensif dan program pembangunan ini berupaya meningkatkan kualiti hidup yang lebih selesa dan seterusnya meningkatkan moral warga Tentera Darat untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Justeru, saya menyeru agar segala usaha ini dihargai dengan memberikan yang terbaik kepada perkhidmatan dan negara.

Di persada antarabangsa pula, Tentera Darat telah banyak menyumbang dalam pelbagai misi pengaman/tim pemantauan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC).

Penglibatan Tentera Darat dalam membantu mengekalkan keamanan sejagat telah mendapat pengiktirafan dan sanjungan dunia khasnya PBB.

Ini secara tidak langsung telah menaikkan imej negara demi menjaga hubungan baik dengan negara luar dan menghulurkan bantuan kepada masyarakat antarabangsa dalam aspek mengekalkan keamanan dan keharmonian dunia.

Sebagai sebuah organisasi yang mendukung aspirasi rakyat, Tentera Darat menyokong konsep 1Malaysia, yang membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum rakyat Malaysia dan menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak Rukun Negara.

Konsep 1Malaysia telah memperkukuhkan lagi usaha kita untuk merealisasikan slogan ‘ Tentera dan Rakyat Berpisah Tiada’ yang telah wujud dalam organisasi kita sejak sekian lama.

Wujudnya Tentera Darat sebagaimana sebahagian daripada ATM, adalah keperluan rakyat Malaysia dan aspirasi mereka.

Dalam ‘Mendukung Aspirasi Rakyat dan Kedaulatan Negara’, kita perlu membuat persediaan yang terbaik.

Kita perlu memperkukuhkan lagi Tradisi (Tradition), Nilai (Value), Budaya (Culture), Etos (Ethos) dan Norma (Norms) ketenteraan kita.

Nilai-nilai ini juga akan menjadi landasan kepada kekuatan kita, menjadi sebuah angkatan yang mampu mempertahankan kedaulatan negara dari apa jua bentuk ancaman.

Amat jelas bahawa, mengekalkan keamanan dan kedaulatan yang kita nikmati sekarang merupakan sumpah keramat dan amanah rakyat yang kita pikul.

Kita adalah pembela bangsa dan negara, serta tulang belakang pertahanan negara.

Kita memainkan peranan yang penting dalam menjamin keamanan dan kestabilan negara, bagi membolehkan negara terus maju dan makmur.

Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama menunaikan amanah dan tanggungjawab kita kepada rakyat dan negara tercinta.

Sebelum saya mengakhiri perutusan ini, bagi pihak semua lapisan warga Tentera Darat, saya ingin melafazkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Tentera Darat akan sentiasa menjunjung tinggi kedaulatan negara dan berdiri teguh menyokong penuh tampuk pemerintahan negara.

Tentera Darat juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia di atas kepercayaan dan sokongan untuk pembangunan Tentera Darat.

Sokongan padu kerajaan membolehkan kita memacu pembangunan Tentera Darat ke tahap yang lebih tinggi.

Tentera Darat juga menghargai segala bentuk kerjasama dan sokongan dari Markas Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, agensi-agensi kerajaan, badan berkanun dan organisasi bukan kerajaan yang lain.

Segala bentuk kerjasama dan sokongan yang diberi telah membolehkan Tentera Darat melaksanakan misinya dengan efisien dan berkesan.

Tentera Darat berharap kerjasama yang terjalin, dapat diperkukuhkan lagi agar seluruh rakyat negara ini mendapat manfaatnya.

Marilah kita sama-sama berdoa agar Tentera Darat akan sentiasa berada di bawah lembayung keberkatan dan kerahmatan Allah Subhanahuwataala.

Akhir kata, saya mengajak seluruh warga Tentera Darat untuk menjadikan kematangan usia organisasi yang mencapai 77 tahun dengan penuh keinsafan, komited dan beriltizam dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

Tentera Darat sentiasa bersedia sebagai sebuah angkatan yang moden, kredibel, seimbang, mampu dan bersedia melaksanakan misi sebagai sebahagian daripada angkatan pertahanan negara.

Sekian, terima kasih.

sumber: http://www.btdm.net/muka_hadapan.html

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)