Anggota wanita ME5
Utusan Malaysia
Kumpulan wanita pertama yang menyertai
misi Malcon East 5 (ME 5) di Lebanon.
Dalam melaksanakan misi tersebut, mereka menjalankan tugas sebagai pemerhati iaitu dengan menjalankan rondaan dan pemeriksaan di KTJ. Farah Wahida yang mengetuai pasukan tersebut berkata, dia tidak percaya apabila dimaklumkan akan menyertai ME 5, apatah lagi diberi tanggungjawab sebagai ketua bagi kumpulan wanita pertama dalam melaksanakan misi tersebut. Pada awalnya kata beliau, walaupun gembira kerana dapat berkhidmat di bawah panji PBB, dia tetap berasa gementar untuk menyesuaikan diri terutama dengan penduduk Lebanon.
Bagaimanapun jelasnya, sebagai ketua pasukan wanita pertama ME 5, dia tidak mampu membiarkan perasaan bercampur baur itu menguasai dirinya sehinggakan beliau bertekad untuk menjalankan tanggungjawab yang diberi dengan bersungguh-sungguh.
“Ketika di Lebanon kami banyak diberi tugas dari aspek perubatan dan motivasi diri untuk penduduk tempatan. Tugas tersebut besar tanggungjawabnya kerana pada awalnya penduduk sukar menerima kedatangan kami tetapi lama kelamaan kami menjadi pilihan utama mereka. Pelbagai aktiviti turut kami adakan di kalangan penduduk seperti bersukan dan menyanyi. Kami bersyukur kerana melalui aktiviti itu, hubungan pasukan dengan penduduk tempatan sangat akrab termasuk dengan kontinjen PBB dari negara lain,'' katanya ketika ditemui pada majlis meraikan kepulangan mereka di Kementerian Pertahanan selepas pulang ke tanah air baru-baru ini.
Maznah pula berkata, tanggungjawab itu turut memberi cabaran besar kepada mereka termasuk perlu mempelajari bahasa Arab bagi memudahkan komunikasi antara pasukan dengan penduduk. Menurut ibu kepada seorang anak itu, tugas merawat penduduk tidak menjadi masalah kepadanya kerana dia memang bertugas di Jabatan Perubatan ATM yang berpusat di Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak. Namun katanya, yang menjadi cabaran kepadanya ketika bertugas di Lebanon adalah untuk mewujudkan suasana mesra dengan penduduk.
“Tidak mudah untuk kita menyelami hati penduduk kerana kita faham mereka telah berdepan dengan banyak perkara yang pahit sebelum ini dan untuk memberi kepercayaan kepada orang luar seperti kami bukanlah satu perkara yang mudah.
“Bagaimanapun dengan tekad kesabaran kami dalam pasukan, usaha kami akhirnya berjaya. Kami dapat menjayakan tugas yang diberikan oleh ATM malah kami juga gembira melakukan tugas itu,”ujarnya.
Sementara itu, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Bersama, Mejar Jeneral Datuk Jusof Embong berkata, 10 wanita tersebut wajar diberi pujian berikutan prestasi perkhidmatan yang diterima baik oleh seluruh pasukan ATM.
“Mereka bukan sahaja mendapat pengiktirafan PBB tetapi juga pujian daripada kerajaan Lebanon dan kontinjen-kontinjen negara lain yang turut menyertai misi pengaman tersebut,’’ katanya.
Kepulangan mereka ke tanah air, disambung pula oleh kumpulan wanita kedua ME 5 pada 14 Jun lalu yang diketuai oleh Leftenan Siti Norhajar Megat Ahmad Roslan daripada TLDM.
0 comments:
Post a Comment
Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)