Program anjuran Pasukan Palapes Udara UIAM ini turut dihadiri unit Wataniah dan Suksis dimana penceritaan semula daripada pegawai-pegawai mengenai keadaan sebenar semasa di somalia dahulu dan apa yang difilemkan dalam filem adalah berbeza. Kami sungguh terkejut apabila diberitahu hero sebenar didalam misi menyelamat rangers USA adalah kita tentera Malaysia.
12 Okt 1992 A.S telah menghantar 28,000 anggota tentera menyertai misi bantuan kemanusiaan UNOSOM untuk menyampaikan bekalan makanan kepada penduduk-penduduk Somalia yang menderita kebuluran. Pada ketika itu malapetaka yang menimpa rakyat Somalia menjadi fokus utama media. Laporan media sentiasa menayangkan imej rakyat Somalia dalam kebuluran. Umum tidak didedahkan perkara sebenar seperti A.S gagal menghantar bekalan makanan kepada mangsa sepertimana yang sepatutnya. Sebaliknya rutin harian tentera A.S hanya di medan menyerang kawasan-kawasan berpenduduk ramai. Akhirnya tujuan asal ‘bantuan kemanusiaan’ A.S hanya dijadikan batu loncatan bagi mencapai matlamatnya sendiri ( iaitu memburu pengganas) sehingga menyebabkan lebih 10,000 rakyat Somalia terbunuh gara-gara A.S bertindak membunuh mereka yang menentangnya.
Paparan filem BLACK HAWK DOWN sebenarnya bercanggah dengan peristiwa sebenar. Filem tersebut banyak mengisahkan perjuangan tentera A.S yang terdiri daripada gabungan rangers, marine, navy seal dan delta force yang kemudiannya berjaya menjatuhkan Aidid.
Filem tersebut gagal menyentuh walau sedikitpun penglibatan ‘batalion Malaysia 1’(MALBAT 1 atau MALBAT) dalam pertempuran di Bakara Market pada 3 dan 4 Okt 1993. MALBAT (yang terdiri daripada anggota GGK) sebenarnya telah menggadai nyawa dalam operasi menyelamatkan Pasukan U.S Ranger yang terperangkap di lokasi berkenaan.
MALBAT 1 ( Kisah sebenar )
Sebenarnya sebelum kejadian berlaku pada pagi 3 Okt 1993, MALBAT 1 menerima arahan UNOSOM bagi menyediakan 1 platun mekanis untuk membantu sebuah kenderaan trup UAE yang terkena periuk api dijalan utama menuju ke New Port. Sebaik sahaja MALBAT melapor di markas UAE, Pegawai gerakan MALBAT telah menerima arahan pembatalan misi.
Pembatalan itu dibuat bagi membolehkan MALBAT membantu pihak yang lebih memerlukan bantuan. Misi baru tersebut adalah supaya 2 kompeni MALBAT diletakkan dibawah markas UNOSOM II bagi menyelamatkan Ranger A.S serta krew helicopter yang terlibat di kawasan kemalangan terbabit.
Ketua kompeni B telah diarahkan membawa baki kompeninya yang berada di kem MALBAT untuk bergabung dengan platun yang berada di New Port. Platun anti kereta kebal (AKK) menyertai kompeni B bergerak ke New Port. Di New Port dua kompeni mekanis kompeni A dan B dan platun AKK MALBAT itu telah bergabung dengan satu trup kereta kebal Pakistan dan 2 kompeni tentera A.S dari 2/14 Light Infantry Battalion dan satu kompeni Ranger yang dilengkapi kenderaan HMMWV. Gabungan ini dikenali sebagai UNOSOM II QRF.
Lt. Kol. William C David, Pegawai memerintah 2/14 Light Infantry Battalion adalah ketua kumpulan QRF sementara komander keseluruhan misi adalah Kol. Lawrence E Casper. Semua anggota raifal MALBAT diarah keluar dari kenderaan KPA (Kenderaan Pengangkutan Anggota) kecuali pegawai, Juru Radio, Pemandu dan pengendali GPMG belakang bagi membolehkan tentera A.S menaiki kenderaan ini. Mereka yang keluar dari kenderaan tidak terlibat dalam misi tetapi sebaliknya dibawa pulang ke kem MALBAT dengan selamat pada jam 10.30 pagi. Konvoi yang membawa mereka pulang ke kem MALBAT terdiri daripada 3 pegawai, 22 anggota LLP (Lain-lain pangkat), 5 buah KPA dan 10 buah lori 3 tan diketuai ajutan Teknik Rejimen MALBAT 1. Kumpulan ini adalah pasukan simpanan Aselon MALBAT yang menyediakan bantuan sekiranya diperlukan.
Operasi ini melibatkan 113 anggota MALBAT termasuk 11 pegawai, 34 buah KPA (28 buah KPA GPMG kembar dan 6 buah KPA Oerlikon 20 mm) Perancang utama misi menyelamat MALBAT ialah Mej. Mohd Arif Hj. Shafie. Mengikut maklumatyang diterima daripada Col. Lawrence E Casper terdapat 70 anggota Ranger A.S terperangkap di lokasi 2 helikopter Black Hawk yang terhempas dimana jurutebangnya telah disyaki telah dibunuh. Mengikut konsep operasi C kompeni 2/14 Light Infantry Battalion dikenali sebagai Combat Team Alpha menaiki KPA kompeni A MALBAT dan dikenali sebagai Combat Team Charlie. Anggota Ranger A.S dikenali sebagai Combat Team Bravo menaiki HMMWV . Mereka telah menggunakan laluan New Port-Strong Point 77 untuk menyusup masuk ke lokasi anggota terperangkap menggunakan via (jalan) Roma, Strong Point 69 menerusi via Jeneral Daud dan Strong Point 207 sebelum melalui National Street.
Kesemua combat team akan berpecah menuju ke sasaran masing-masing. Laluan pengunduran adalah menuju ke Stadium Mogadishu yang diduduki tentera Pakistan. Semasa pergerakan dari New Port ke lokasi sasaran trup kereta kebal Pakistan mendahului pergerakan ke sasaran diikuti ketiga-tiga combat team Alpha, Bravo dan Charlie. Peranan combat team Alpha adalah untuk menyelamatkan krew Black Hawk dan 70 anggota Ranger yang terperangkap di lokasi yang sebagai objektif 1 (Grid 363256) Combat team Charlie berperanan menyelamat 5 orang krew Black Hawk yang terhempas di objektif 2 (Grid 365263). Combat team Bravo berperanan sebagai pasukan simpanan hanya untuk digerakkan membantu team Alpha dan Charlie jika perlu.
Semasa menuju ke tempat sasaran pada jam 11.25 malam B kompeni mendahului konvoi bergerak dari New Port dengan 2 buah kereta kebal Pakistan. Bagaimanapun semasa tiba di Strong Point 69, Trup kereta kebal Pakistan menarik diri dengan alasan Markas Batalion mengarahkan mereka supaya tidak meneruskan misi tersebut. Selain itu mereka turut mendakwa senjata utama kereta kebal mengalami kerosakkan teknikal dan mereka juga tidak dibekalkan alat pandang malam. Menyedari kejadian tersebut, Combat Team Alpha diarah oleh Lt. Kol. David memintas trup kereta kebal Pakistan namun platun 2 combat team alpha terpaksa juga meneruskan misi.
Walaupun menyedari keadaan semakin genting dan mereka bakal menghadapi serangan hendap dari militia pada bila-bila masa , unit MALBAT bertekad meneruskan misi menyelamat anggota Ranger tanpa kehadiran kereta kebal Pakistan.(Sebelumnya pihak Pakistan telah kehilangan 24 orang tentera Pakistan dan 50 orang cedera akibat dari serangan hendap oleh militia Aidid)
Selepas melepasi strong point 69 pergerakan menjadi semakin sukar lebih-lebih lagi tanpa bantuan tembakan perlindungan kereta kebal. Keadaan tersebut menyebabkan pergerakan semakin perlahan dengan kenderaan platun 2 Alpha terpaksa bergerak secara taktikal dalam suasana gelap yang hanya dibantu cahaya lampu kenderaan. Pada jam
2:40 pagi pergerakan menjadi semakin perlahan setelah konvoi menghampiri strong point 207 lantas menghadapi serangan kencang dari militia Somalia. Bagaimanapun kedua-dua combat team mengambil keputusan berpecah sebaik sahaja tiba di Shalawi Street berhampiran strong point 207. Semasa kompeni A tiba di strong point 207 mereka telah diserang bertalu-talu dengan tembakan pelbagai jenis senjata dari pelbagai sudut.
Bagaimanapun aktiviti musuh dapat dimusnahkan dengan bantuan helicopter penyerang. Semasa tiba dilokasi sasaran, Ranger A.S yang menaiki KPA MALBAT turun daripada kenderaan untuk mara menyelamatkan rakan mereka yang terperangkap sementara KPA MALBAT memberi bantuan tembakan perlindungan. Dalam pertempuran sengit itu sebuah kenderaan platun 2, kompeni A yang menghampiri kawasan sasaran dibedil dengan RPG dari arah hadapan sehingga menembusi cermin APC condor 4X4. Kejadian jam 3:30 pagi itu telah mengorbankan Pbt. Mat Aznan, Sebaliknya serangan yang dihadapi kompeni B tidak sehebat kompeni A.
Pada jam 4:30 pagi keadaan pertempuran semakin sengit, ketua kompeni MALBAT melaporkan 2 buah KPA kompeni A mengalami kerosakan. Keputusan diambil untuk meninggalkan kenderaan tersebut dan berudur dari lokasi sasaran pada 5:30 pagi setelah mendapati semua ranger A.S selamat menaiki KPA. 2 buah KPA dari kompeni B turut rosak akibat dibedil RPG pada pukul 4:30 pagi. Kompeni B diarah berundur bersama anggota ranger A.S yang terperangkap. Perintah berundur turut diberikan kepada kompeni A. Setelah semua kompeni telah selamat keluar, MALBAT mengarahkan helicopter penyerang memusnahkan keempat-empat KPA bagi mengelakkan senjata dari dirampas pihak militia.
Kompeni A berundur menuju stadium Mogadishu dan tiba pada 5:45 pagi manakala kompeni B pada 6:40 pagi. Dalam pertempuran tersebut, 4 KPA MALBAT telah binasa di tempat sasaran (3 buah KPA twin GPMG dengan nombor pendaftaran ZA 9340, ZA 9341 dan ZA 9467 dan sebuah KPA meriam oerlikom 20 mm nombor pendaftaran ZA 9582). Pertempuran telah mengakibatkan 1 anggota MALBAT terkorban dan 9 cedera. Korban dikalangan militia pula adalah seramai 300 orang dan 500 cedera.
Kerajaan dan rakyat A.S telah tersentak dengan angka korban tenteranya di Somalia (Angka korban kedua terbesar setelah berakhirnya perang Vietnam). Angka ini telah menyumbang secara lansung kepada pengunduran A.S di Somalia secara tergesa-gesa dan ini sudah tentu menyebabkan pihak berkuasa politik dan tentera A.S tidak berpuas hati dengan rekod prestasinya. Maka timbul lah sekali lagi sindrom ‘RAMBO’ dikalangan karyawan Hollywood yang telah menghasilkan filem ‘Black Hawk Down. Namun hakikatnya apa yang diceritakan menerusi filem tersebut adalah fakta yang sudah diputar belit dari fakta sebenar.
A.S yang sepatutnya berperanan menyalurkan bantuan kemanusiaan telah bertindak campur tangan dalam operasi militari yang akhirnya telah melumpuhkan pasukan tenteranya sendiri. BLACK HAWK DOWN merupakan percubaan mengaburkan mata dunia menerusi “silap mata” spin doctor Hollywood supaya kekalahan dapat diberi ilusi kemenangan.
0 comments:
Post a Comment
Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)