CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday, June 2, 2011

Selamat Dengan Kehadiran Tentera

Selamat Dengan Kehadiran Tentera


SEJAK insiden penculikan yang turut membabitkan pelancong asing di Pulau Pandanan dan Pulau sipadan, Sabah pada tahun 2000, masyarakat luar mula meragui keselamatan di kawasan tersebut yang merupakan antara daya penarik pelancong ke negeri itu.

Tragedi penculikan yang membabitkan Kumpulan Abu Sayaf itu telah memberi tamparan hebat kepada industri pelancongan negara di mana para pelancong mula mempersoalkan tahap keselamatan negara terutamanya di kawasan berpulau.

Bagaimanapun, tindakan pantas kerajaan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Op Pasir berjaya mengatasi masalah itu dan menepis persepsi negatif pelancong luar terhadap tahap keselamatan kawasan perairan dan kepulauan di Sabah.

Lawatan Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin ke beberapa kawasan Op Pasir seperti di Pulau Sipadan mendapati jumlah pelancong yang melawat pulau tersebut kini agak menggalakkan berbanding ketika berlakunya insiden penculikan tersebut.

Beberapa pelancong yang ditemui ketika sesi lawatan Panglima Angkatan Bersama itu memuji inisiatif yang diambil ATM dalam menjaga keselamatan perairan serta pulau-pulau sekitar Sabah yang merupakan sumber pelancongan negeri itu.

Pelancong dari Switzerland, Marco Kely berkata, dia berasa selamat ketika berada di Pulau Sipadan dan juga pulau-pulau lain di Sabah kerana kehadiran anggota tentera yang sentiasa menjaga keselamatannya ketika sedang asyik melakukan aktiviti perlancongan seperti selaman skuba.

"Sabah adalah tempat yang cantik. Saya suka lautnya, saya suka persekitarannya dan merupakan tempat terbaik untuk bercuti tetapi apa yang lebih baik ialah keadaannya yang selamat dan sentiasa di dalam jagaan pihak tentera.

"Kehadiran anggota tentera di setiap pulau termasuk sentiasa membuat rondaan di perairan negeri ini membuatkan saya berasa selamat. Saya yakin mereka akan memastikan saya dan juga pelancong lain yang datang ke sini berada dalam keadaan selamat serta dapat menikmati pelancongan kami dengan baik," katanya.

Seorang lagi pelancong, Gussi Mattila dari Finland berkata, pada mulanya dia agak terkejut melihat ramai tentera berkawal di sekitar perairan dan pulau Sabah tetapi mengakui bahawa kehadiran tentera berkawal di kawasan tersebut membuatkannya berasa selamat.

Mattila yang datang melancong bersama isterinya, Ecina Mattila, berterima kasih kepada ATM kerana sentiasa berkerja keras mengawal perairan serta pulau sekitar Sabah demi memastikan dia dan isterinya serta pelancong lain dapat menikmati pelancongan tanpa rasa takut.

"Sudah tentu saya dan isteri berasa selamat ketika berada di sini (Pulau Sipadan). Kami tidak berasa takut keran tahu keselamatan kami sentiasa dijaga oleh anggota tentera di sini. Terima Kasih kepada mereka (ATM), mereka telah melakukan tugas yang baik," jelasnya.

Bagi seorang lagi pelancong dari Hong Kong, Peter Kho, dia tidak pernah berasa keselamatannya sentiasa terjamin seperti ketika melancong di Pulau sipadan.

Katanya yang hadir membawa keluarga melancong ke Pulau Sipadan, dia menghargai jasa ATM menjaga keselamatannya sekeluarga sewaktu melancong ke Sabah.

Sumber: Utusan Malaysia Online
post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)