CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday, May 16, 2011

ATM dan PDRM Bantu Dasar Kerajaan

Komitmen ATM, PDRM Bantu Dasar Kerajaan 

Wajar Dicontohi - Najib


PUTRAJAYA 22 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu komitmen dan kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dicontohi dalam membantu dasar kerajaan yang kini menjurus kepada elemen mementingkan pengurusan nilai.

Perdana Menteri berkata, ada banyak contoh yang mana perbelanjaan kerajaan berjaya dijimatkan menerusi pemilihan lokasi, rekayasa dan reka bentuk sehingga kepada pemilihan bahan pembinaan yang bersesuaian.

Beliau menarik perhatian mengenai pembinaan jalan penghubung di Ba'kelalan, Sarawak, yang sekiranya dilaksanakan melalui kaedah biasa memerlukan peruntukan sebanyak RM400 juta.

Namun, ia telah dilaksanakan dengan kos RM50 juta sahaja.

"Perkara ini dapat dilakukan dengan menggunakan kaedah 'Jiwa Murni' Kor Jurutera ATM yang menggembleng tenaga anggota tentera untuk membina jalan dan peruntukan hanya disediakan untuk pembelian material serta sewa jentera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-12 (MAPPA XII) di sini hari ini.

Selain Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, majlis turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurut Perdana Menteri, ATM dan PDRM berjaya membentuk satu pakatan yang memecah tembok tradisional dan konvensional selama ini.

Contohnya, kata beliau, jika dulu kawalan sempadan juga menjadi tanggungjawab Pasukan Gerakan Am, tetapi hari ini setelah penubuhan Rejimen Sempadan Tentera Darat, fungsi itu telah berpindah kepada pihak Tentera Darat.

"Ini membolehkan anggota-anggota PGA yang selama ini bertugas di sempadan, dialih guna untuk tugas pencegahan jenayah di kawasan-kawasan panas.

"Contoh kedua, kem-kem ATM telah dibuka kepada rekrut baru PDRM. Ini membolehkan pertambahan anggota PDRM dibuat tanpa pelaburan infrastruktur yang besar serta tanpa pertambahan jawatan," katanya.

Kata Perdana Menteri: "Inilah kejayaan aplikasi penyelesaian kreatif yang sungguh bijaksana dan menguntungkan."

Sumber: Utusan Malaysia Online
post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)