CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, April 24, 2011

Peperangan Generasi Ke-4

TALIAN MAYA - Peperangan Generasi Keempat

Backdated Issues 2010 - Disember 2010
Written by -
Monday, 14 March 2011

Apabila disebut sahaja tentang konflik bersenjata atau peperangan maka perkara yang terpampang di minda umum ialah pelbagai jenis sistem persenjataan dan kekuatan fizikal yang dipamerkan oleh pihak-pihak ynag bertelagah. Ini termasuklah dari pistol dan raifal hinggalah kereta kebal, roket dan hari ini yang paling utama ialah pesawat-pesawat udara dan peluru berpandu, sama ada yang dikawal manusia, atau yang tidak mempunyai pemandu mahupun yang pintar.

Ini adalah sesuatu yang menjadi kebiasaan kerana sejak tercetusnya konflik antara dua puak, negara mahupun peradaban sejak beribu tahun yang lampau, apa yang digunakan untuk memusnahkan musuh secara fizikal adalah yang akan menentukan kalah atau menangnya sesuatu pihak, jika kedua-dua belah yang bertelagah mempunyai kekuatan individu atau anggota yang hampir seimbang kekuatannya.

Peperangan sejak dari dahulu hingga sekarang telah melalui satu proses evolusi yang telah mengubah ciri dan corak bagaimana sesuatu konflik bersenjata dilaksanakan. Pemikir ketententeraan telah mengkategorikan sejarah peperangan dalam empat kategori khusus mengikut zaman atau hakikatnya mengikut perkembangan teknologi persenjataan dan berkaitan dengannya yang dimiliki oleh pihak-pihak yang bertelagah. Kategori atau jenis peperangan ini dikenali sebagai generasi peperangan, iaitu dari ‘Generasi Pertama’ hinggalah setakat hari ini, iaitu ‘Generasi Keempat’. Peperangan Generasi Pertama adalah merupakan peperangan era berhadapan atau era pertempuran berbaris yang mempertemukan dua angkatan tentera secara berhadapan. Perang sedemikian dikaitkan dengan sifat kejantanan atau ‘gentlemen’ yang dianggap sebagai lebih penting dari segala-galanya. Peperangan sedemikian mencapai kemuncaknya di Eropah sewaktu negara-negara tersebut berperang antara satu dengan lain sehinggalah kepada Perang Napoleon. Selepas era tersebut muncul pula peperangan generasi kedua yang bermula sebaik munculnya sistem mesingan dan artileri moden. Perang ini menampakkan kuasa kemusnahannya yang dahsyat ketika Perang Dunia Pertama, apabila saki-baki pemikiran Peperangan Generasi Pertama dilihat masih lagi menebal di kalangan jeneral-jeneral Eropah yang bertekad untuk masih berhadapan sepertimana dahulu. Akibatnya dengan wujudnya sistem mesingan dan artileri pelbagai, jumlah magsa yang terkorban di kedua-dua belah pihak dalam sesuatu kawasan hadapan yang sempit serta untuk tempoh jangkamasa yang singkat mencapai tahap yang melampau.

Peperangan Generasi Ketiga muncul menjelang Perang Dunia Kedua dengan adaptasi dua jenis platform atau kenderaan ketenteraan moden, iaitu kereta kebal dan pesawat udara.Keadaan ini membolehkan pihak yang bertelagah untuk menggunakan kemampuan platform untuk mengepung atau menyerang dari arah rusuk atau belakang angkatan utama musuh, yang mempunyai pertahanan lebih rendah berbanding bahagian hadapan. Taktik ini dikenali sebagai penggunaan daya mobiliti. Dengan menggunakan kereta kebal, sebuah pasukan mampu bergerak dengan mempunyai kuasa tembakan yang baik bagi mengambil kedudukan yang memberikannya kelebihan untuk mengalahkan pihak musuh dengan lebih mudah. Penggunaan pesawat udara juga membolehkan sebuah angkatan tentera untuk melancarkan serangan di belakang garis hadapan kawasan pertempuran tanpa perlu mengambil risiko secara berhadapan. Ini juga bermaksud sasaran musuh tidak lagi terhad kepada kekuatan garis hadapannya, tetapi juga garis belakang seperti sistem logistik, industri yang menyokong aktiviti penghasilan produk berkaitan ketenteraan, aktiviti perindustrian malah pihak awam juga.

Buat pertama kalinya dan mungkin selamanya, pihak awam tidak lagi boleh terlepas dari kemusnahan dan malapetaka bahaya peperangan. Ciri paling menonjol bagi Peperangan Generasi Ketiga ialah daya manuver atau mobiliti yang tidak pernah tercapai oleh peperangan generasi sebelumnya. Peperangan Generasi Ketiga yang sejak dari Perang Dunia Kedua dilaksanakan menggunakan kenderaan kereta kebal dan pesawat udara secara bersepadu terbukti amat efektif oleh pihak Jerman dan sehingga hari ini adalah antara doktrin yang masih digunapakai hingga ke hari ini. Konflik di Kuwait dan penaklukan Iraq pada 2003 adalah bukti amat nyata mengenai bagaimana gabungan antara kereta kebal dan pesawat udara sepertimana taktik ‘Bliztkrieg’ di Poland ketika Perang Dunia Kedua masih lagi efektif dalam ‘Shock & Awe’ ketika kereta kebal dan pesawat udara NATO dan Amerika Syarikat menakluk Iraq.

Buat seketika Peperangan Generasi Ketiga dilihat seakan mendominasi ciri-ciri dan keperluan angkatan tentera dimasa hadapan sekiranya mana-mana negara mahu melaksanakan konflik bersenjata. Andaian ini walaubagaimanapun terbukti masih awal untuk dijadikan sebagai fakta. Pada masa yang sama Peperangan Generasi Ketiga dianggap oleh hampir kesemua pihak sebagai sesuatu yang tidak lagi dapat disangkal dalam era teknologi persenjataan seperti kereta kebal dan pesawat udara yang canggih, secara senyap satu evolusi yang berlaku dalam teknologi yang dianggap masih baru telah mula menampakkan kepentingannya sebagai satu faktor yang bakal menggoncang kepercayaan tersebut.

Latar belakang

Apa yang dimaksudkan sebagai Peperangan Generasi Keempat adalah merupakan satu konflik yang mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan pesat teknologi maklumat. Mungkin ramai yang terkeliru dan mengaitkan secara langsung atau menyamakan komputer dengan teknologi maklumat. Ini adalah tanggapan kurang tepat kerana komputer hanyalah merupakan sebahagian dari apa yang dimaksudkan sebagai teknologi maklumat. Hanya mengaitkan komputer sebagai teknologi maklumat bakal menidakkan pelbagai jenis teknologi lain bersangkutan dengan ciri-ciri penyebaran dan penjaringan data, maklumat, foto, video dan pelbagai media lain dalam talian maya, terutama dalam talian internet. Sememangnya komputer memainkan peranan yang penting bagi individu untuk mengakses, menghantar atau menerima pelbagai maklumat dalam berbagai bentuk, namun lain-lain teknologi seperti elektronik, optik dan telekomunikasi turut memainkan peranan yang besar dalam membentuk satu sistem jaringan maklumat di alam maya.

Apabila teknologi Peperangan Generasi Ketiga mencapai tahap kemampuan penggunaan teknologi yang tinggi, maka kemampuan untuk melaksanakan misi dan operasi yang semakin rumit turut meningkat. Umpamanya untuk terbang ke kawasan sempadan negara musuh dan melancarkan serangan terhadap sesuatu sasaran permukaan jauh di dalam negara tersebut bakal memerlukan penggunaan teknologi yang bukan sedikit. Ini termasuklah antara lain, pelan penerbangan yang selamat untuk mengelakkan dari dapat dikesan oleh radar pemantau. Koordinat sasaran yang mahu dimusnahkan serta maklumat arah hala tuju pesawat yang dikemas kini sebilang masa penerbangan agar pesawat tidak tersesat. Sistem pandu arah peluru berpandu pintar yang mendapat maklumat berkaitan kedudukannya apabila dilancarkan oleh pesawat dengan bantuan satelit, relatif kepada kedudukan ancaman selain maklumat berkaitan laluan penerbangan paling selamat bagi pesawat setelah objektif operasi berjaya dicapai dan juruterbang mahu kembali ke pangkalannya.

Salah satu perkara yang diberikan keutamaan dalam apa jua operasi Peperangan Generasi Ketiga ialah daya mobiliti. Penggunaan daya mobiliti ini akan hanya berkesan jika kesemua aset yang digunapakai dapat menyumbang kepada objektif operasi sama ada dengan menggunakan kuasa tembakan yang jitu dan tepat, penutupan laluan atau serang hendap yang berkesan terhadap pasukan musuh mahupun gerakan rusuk yang berjaya mengepung kekuatan utama dan memotong bekalan logistiknya. Kesemuanya ini mesti dilakukan dalam tempoh masa yang khusus dan terhad bagi mendatangkan hasil dan tidak ada faktor lain yang lebih penting bagi mencapai hasrat tersebut melainkan melalui kemampuan untuk berkomunikasi antara satu dengan lain secara efektif. Disinilah letaknya kepentingan wujudnya sistem jaringan maklumat atau jaringan sistem komunikasi yang jitu.

Pada awal tahun 80an dan 90an sistem jaringan maklumat selamat ini dibina khusus bagi penggunaan berkaitan ketenteraan sahaja. Namun tidak lama kemudian teknologi yang sama turut digunapakai dalam bidang komersial. Lama kelamaan dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan bajet pertahanan yang semakin mengecil di kebanyakan negara global, kebanyakan sistem teknologi yang pada awalnya dibangunkan dan dimonopoli oleh industri berkaitan pertahanan mula gagal bersaing akibat peruntukan yang tidak lagi diberikan oleh kementerian pertahanan negara masing-masing. Ini berbeza dengan firma-firma komersial yang mungkin telah membangunkan sistem sama, selari teknologinya namun dengan sedikit perubahan, ia hanya sesuai untuk digunapakai dalam sistem awam. Bagi pihak angkatan tentera global, perkara ini telah memberikan mereka peluang untuk mendapatkan sistem yang setanding teknologinya, namun pada kos yang jauh lebih murah dan dalam banyak keadaan, apa yang perlu dilakukan dengan sistem komersial tersebut hanyalah mengubah beberapa ciri fizikal yang membolehkan sistem tersebut untuk bertahan dari gegaran, haba atau keadaan kelembapan tinggi bagi digunapakai dalam sistem yang mempunyai aplikasi ketenteraan.

Percambahan teknologi yang sama turut berlaku dalam sistem telekomunikasi komersial yang kini digunapakai oleh pihak tentera setelah diubahsuai. Jaringan maya atau internet umpamanya adalah merupakan ‘revolusi’ dalam evolusi peperangan yang berikutnya. Tujuan utama internet adalah unntuk membolehkan komunikasi dua atau pelbagai hala secara talian maya menggunakan sistem telekomunikasi dan elektronik yang dibangunkan pada awalnya bagi tujuan ketenteraan namun hari ini sebahagian besarnya adalah bagi penggunaan sistem berkaitan aktiviti komersial. Ia membolehkan mana-mana individu untuk berinteraksi dengan individu atau kumpulan secara penghantaran pelbagai data dan maklumat berbagai media, dari cetak kepada audio dan video ke hampir mana-mana lokasi di seluruh dunia dalam masa sebenar.

Penggunaan sistem internet hari ini telah dianggap sebagai satu anjakan teknologi komunikasi yang amat ketara. Apa yang lebih menakjubkan ialah ia bergerak seiring dengan pembangunan teknologi perkomputeran dan diguna pakai bagi tujuan aktiviti komersial global dalam skala yang amat luas. Ini termasuklah dalam sistem perbankan, sistem penyimpanan rekod, sistem jual beli saham dan komoditi serta sistem arahan dan kawalan prasarana awam. Penggunaan sistem internet dilihat dapat mengurangkan kebergantungan tugas kepada tenaga kerja manusia, dapat menyimpan dan mengemaskini rekod dengan pantas dan menerusi parameter tertentu yang telah ditetapkan dari awal dapat bertindak secara autonomi bagi memperbetulkan keadaan. Penyebaran maklumat melalui jaringan maya turut memberikan kuasa untuk melapor, membentangkan atau menyebarkan maklumat dalam masa sebenar kepada mana-mana individu atau kumpulan yang mempunyai akses kepada sistem komputer yang mempunyai talian maya tanpa mengira ideologi, bangsa mahupun negara. Inilah yang telah mengakibatkan terbentuknya satu lagi ciri peperangan baru yang dinamakan sebagai Peperangan Generasi Keempat.

post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)