Askar Wataniah Jadi Penghubung
Rakyat Dengan Tentera - Zulkifli
SHAH ALAM 23 April - Rejimen 502 Askar Wataniah (AW) yang dianggotai oleh rakyat pelbagai kaum boleh dijadikan jambatan perhubungan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan rakyat.
Pemangku Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin berkata, pasukan tentera simpanan itu banyak memainkan peranan dalam mendedahkan orang awam terhadap sebahagian besar peranan dan tugas harian ATM.
"Ini dapat meningkatkan kefahaman orang awam tentang bagaimana pasukan tentera melaksanakan tugas mereka. Hubungan baik antara tentera dan rakyat akan terus ditingkatkan dan kita percaya askar wataniah dapat menjadi penghubungnya," kata beliau.
Zulkifli berkata demikian ketika berucap melancarkan Kompeni Askar Wataniah kawasan Parlimen di Selangor sempena Karnival 1Mindef di Dataran Bazarena, Stadium Malawati, di sini hari ini.
Pelancaran itu membabitkan Kompeni AW Shah Alam, Kelana Jaya, Petaling Jaya Utara dan Petaling Jaya Selatan serta Subang.
Hadir sama Komander Rejimen 502 AW, Brigadier Jeneral Prof. Madya Thantawi Jauhari Ahmad; Asisten Panglima Pasukan Simpanan, Brigadier Jeneral Fazlurrahman Mohammad Irfan dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Leftenan Kolonel (K) Datuk Tarmedi Omar.
Zulkifli mengingatkan bahawa resipi kejayaan negara yang dikecapi sekarang adalah hasil perpaduan dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.
"Oleh itu, kita harus bersatu di bawah kepimpinan yang teguh dan berwawasan serta tidak berpecah-belah. Keadaan itu hanya membawa padah kepada rakyat dan ekonomi negara, tiada siapa yang menang sebaliknya kekacauan dan kesengsaraan melanda," katanya.
Justeru katanya, sebagai barisan kedua pertahanan negara, AW akan terus bergerak maju untuk mendukung misi mempertahankan negara daripada sebarang ancaman.
"Penyertaan anak watan Selangor dalam askar wataniah berjaya membuktikan bahawa mereka mempunyai semangat patriotik yang kental dalam mempertahankan kedaulatan negara," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia Online
1 comments:
Ada alamat x utk kem shah alam?
Post a Comment
Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)