CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, March 11, 2011

Perutusan Hari Ulang Tahun Tentera Darat Ke-78


Para Panglima, Perwira-Perwira, Para Bintara, Para Petanda, Perajurit-Perajurit serta
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekelian.

Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia

Alhamdulillah, setinggi-tinggi puji dan syukur saya panjatkan ke hadhrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpahan rahmat, perkenan dan keizinanNya jua, maka dapatlah kita bersama-sama di pagi yang indah ini, menyambut Ulangtahun Tentera Darat yang ke-78. Saya mengucapkan syabas kepada saudara-saudari sekelian kerana telah mempamerkan mutu perbarisan yang baik. Sesungguhnya, ia mencerminkan keihlasan hati serta tahap profesionalime yang tinggi yang ada pada saudara-saudari sekelian. Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang turut hadir pada pagi yang bersejarah ini.

Di hari yang penuh bermakna ini, marilah kita bersama-sama bertafakur sejenak bagi mengenangkan Pahlawan-Pahlawan Tanahair yang telah gugur dan mereka yang telah ditakdirkan terdahulu meninggalkan kita. Bagi yang beragama Islam, marilah kita bersama-sama menghadiahkan Al-Fatihah semoga roh-roh mereka ditempatkan bersama para solihin dan syuhada. Al-Fatihah (20 saat) ……. Amin, Ya Rabbal Alamin.

Warga Tentera Darat yang saya kasihi sekelian.

Pada hari ini, maka genaplah usia Tentera Darat yang ke-78 tahun. Mengimbas kembali sejarah, kita telah ditubuhkan dengan kemasukan seramai 25 orang anak muda tempatan ke dalam Kompeni Percubaan pada tanggal 1 Mac 1933, di Port Dickson. Sejak hari bersejarah tersebut, Tentera Darat telah membangun dan mengorak langkah; setapak demi setapak; dalam menjadi sebuah ketumbukan besar yang berjaya memainkan peranannya untuk melindungi dan mempertahankan kedaulatan, keutuhan wilayah dan kepentingan negara.

Dalam usia yang muda di awal penubuhannya, Tentera Darat telah terlibat sama dalam pertempuran-pertempuran getir menentang Tentera Jepun semasa penaklukan Tanah Melayu. Ini diikuti pula dengan perjuangan menentang Pengganas Komunis dalam Dharurat Pertama dan Kedua serta menghadapi perjuangan di era Konfrantasi. Dalam masa yang sama, Tentera Darat juga terlibat secara langsungnya membantu Pihak Berkuasa Awam dalam membangunkan sosio-ekonomi negara melalui satu dasar Kerajaan yang dikenali sebagai KESBAN; di mana keselamatan dan pembangunan berjalan seiringan.

Di persada antarabangsa pula, Tentera Darat telah dan sedang berkhidmat dengan cemerlang di dalam 42 Misi di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (atau PBB) dan pernah menyumbang bakti di dalam pelbagai misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Alam.

Disamping itu juga, pada ketika ini, terdapat 11 buah batalion yang sedang bertugas disetiap pelusuk tanahair demi untuk menentukan keselamatan dan keutuhan kedaulatan negara tetap terjamin. Pada waktu ini juga, terdapat hampir 700 orang warga Tentera Darat yang sedang berkhidmat di serata pelusuk dunia; samada sebagai Pemerhati, Staf ataupun Anggota Pengaman, demi menyumbang kepada keamanan sejagat dunia. Marilah kita sama-sama berdoa semoga mereka semua diperliharai dan diberi pentunjuk dalam melaksanakan tugas mereka demi keselamatan dan kesejahteraan tanahair dan dunia.

Secara relatifnya, sesebuah angkatan darat dalam usia 78 tahun ini adalah muda berbanding dengan angkatan-angkatan yang lain; khususnya dari negara-negara maju dan tinggi ketamadunannya. Walau bagaimanapun, pada hakikatnya; Tentera Darat Malaysia pada hari ini adalah setanding dan dikatakan duduk sama rendah; berdiri sama tinggi dengan angkatan darat negara-negara maju tersebut. Keunggulan yang dicapai di sepanjangan 78 tahun yang lalu adalah hasil daripada pengorbanan; keringat, darah dan airmata yang dicurahkan oleh mereka yang telah berkhidmat terlebih dahulunya daripada kita semua. Justeru itu, saya mewakili semua warga Tentera Darat mengzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Panglima-Panglima Tentera Darat yang terdahulu, kerana diatas daya usaha dan kegigihan mereka jualah, maka Tentera Darat Malaysia pada hari cemerlang dan unggul dipersada antarabangsa. Penghargaan juga saya zahirkan kepada rakan-rakan Bekas Perajurit yang, tanpa mengira kepentingan diri, telah menyabung nyawa menabur bakti sehingga ada yang terkorban dan tercedera. Hanya doa yang dapat kami berikan, semoga Tuhan Yang Maha Esa memberkati dan membalas pengabdian dan pengorbanan mereka.

Pada tanggal 14 Februari 1942, maka gugurlah seorang Pahlawan Tanah Melayu yang bernama Leftenan Adnan di Bukit Chandu. Dengan ini, demi untuk mengenang dan mengingati jasa dan pengorbanan mereka-mereka yang telah gugur di medan pertempuran, Tentera Darat dengan rasminya mengistiharkan tanggal 14 Februari setiap tahun sebagai tarikh memperingati pergorbanan Pahlawan-Pahlawan kita yang telah gugur dalam mempertahankan kedaulatan Tanahair yang tercinta ini.

Para Perwira, Bintara, Petanda dan Perajurit yang saya kasihi sekelian.

Persekitaran strategik global dan serantau pada masa ini masih dalam keadaan tidak menentu. Sungguhpun ancaman tradisional terhadap kedaulatan negara di era globalisasi ini dalam bentuk konflik konvensional menjadi semakin terpencil, namun kebarangkalian untuk berlakunya konflik tersebut tidak dapat disangkalkan sama sekali. Dalam masa yang sama, ancaman-ancaman yang bukan tradisional dalam bentuk keganasan, pelanunan, penyeludupan, perdagangan manusia, wabak penyakit, bencana alam dan sebagainya, adalah ancaman yang nyata terhadap kesejahteraan rakyat serta keselamatan negara.

Pokoknya, dalam apa keadaan sekalipun, tidak ada sesiapapun yang boleh sama sekali mengambil mudah aspek pertahanan dan keselamatan Negara. Sebagai persiapan untuk melaksanakan apa jua misi dan tugas di dalam spektrum konflik yang kian meluas, Tentera Darat akan terus dibangun (raise), dilatih (train) dan diurus (maintain) secara berterusan. Kita juga akan terus melaksanakan rancangan transformasi ke arah menjadi satu Objective Force, dengan berlandaskan Pelan Pembangunan Strategik Army 2 10 Plus 10. Tentera Darat sentiasa menentukan kesiapsiagaan keupayaan tempurnya berada ditahap yang paling tinggi agar sentiasa bersedia untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab hakikinya, sama ada secara Bersama (Joint) dengan Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia; ataupun secara Gabungan (Coalition) dengan angkatan Negara-negara Sahabat dalam mempertahankan kedaulatan Negara dan menjaminkan keamanan sejagat. Sepertimana angkatan darat yang lain, aset Tentera Darat Malaysia yang terpenting adalah Sumber Manusianya. Penekanan yang sama telah saya berikan dalam Perintah Ulung saya sebagai Panglima Tentera Darat. Justeru itu, anggota-anggota Tentera Darat perlu diurus dan ditadbir dengan efisien dan efektif, berlandaskan kepada empat teras pengurusan; iaitu Pengurusan Anggota, Pengurusan Pasukan, Pengurusan Kewangan dan Pengurusan Moral dan Kebajikan. Penekanan terhadap faktor-faktor manusia (the human factor) adalah penting untuk melahirkan warga Tentera Darat yang bermotivasi, produktif, sejahtera dan berbangga dengan profession mereka. Matlamat akhir pengurusan yang mantap adalah menyumbang kepada peningkatan kesiapsiagaan keupayaan tempur dan kualiti hidup.

Bagi membolehkan Tentera Darat mencapai keupayaan yang diperlukan, latihan individu dan kolektif yang mantap dan berterusan berpandukan kepada Kitaran Pengurusan yang telah digariskan hendaklah dilaksanakan secara total. Penekanan hendaklah menjurus kearah pencapaian keseimbangan di antara Asimilasi Ilmu (Knowledge Assimilation), Penambahan Kemahiran (Skill Enhancement), Pengantaramukaan Perkakasan (Hardware Interfacing) dan Keberkaitan Dokumentasi (Relevance of Documentation). Kaedah Pengurusan Pengetahuan (Knowledge Management) dan Perlaksanaan Latihan (Training Implementation) dengan berlandaskan arkitaktur (architecture) learn, unlearn and relearn pula perlu diterapkan supaya keilmuannya sentiasa mutakhir dan relevan. Semuanya ini adalah bertujuan untuk menghasilkan sinkronisasi (synchronization) yang optimum di antara manusia, mesin dan metode (man, machine and method).

Pepatah lama tentera ada berkata “The Army lives on its tradition”. Dalam konteks ini, saya tidak mahu melihat berlakunya pengambilmudahan dan kemerosotan nilai-nilai asas ketenteraan sehingga ianya menjadi pudar dan suram. Tentera Darat mesti memegang teguh kepada nilai-nilai asas ketenteraan; adat resam, tradisi dan ethos ketenteraan (yang tidak bertentangan dengan syarak) yang telah membawa kepada kecemerlangan dan kegemilangan Tentera Darat ke hari ini. Semua nilai-nilai asas yang murni seperti kepercayaan kepada Tuhan, disiplin, kesetiaan, pengorbanan, semangat setia kawan, integriti, keberanian, kehormatan diri, keunggulan, kesatuan dan professionalime perlulah disuburkan dan dipraktikkan melalui Sistem Pemerintahan Rejimental secara tersusun. Dengan usaha ini, saya amat yakin setiap warga Tentera Darat akan sentiasa berada pada landasan yang lebih kukuh dan tidak mudah dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif dan anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab. Saya menyeru agar kita semua menghayati sedalam-dalamnya IKRAR KESATRIA yang telah kita semua lafazkan.

Para Perwira, Bintara, Petanda dan Perajurit yang saya kasihi sekelian.

Sebagai mengakhiri perutusan ini, saya bagi pihak seluruh warga Tentera Darat, melafazkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Tentera Darat akan sentiasa berdiri teguh dan menjunjung tinggi kedaulatan tampuk pemerintahan negara. Tentera Darat juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia di atas sokongan padu di dalam membangunkan Tentera Darat sebagai satu angkatan yang kredibel. Tentera Darat juga berikrar untuk berdiri teguh di belakang Kerajaan dan menyokong penuh segala wawasan dan gagasannya di dalam usaha untuk membangunkan sebuah Negarabangsa yang aman, makmur serta maju.

Saya juga bagi pihak seluruh warga Tentera Darat, ingin merakamkan penghargaan kepada Markas Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, agensi-agensi kerajaan, badan-badan berkanun, organisasi bukan kerajaan dan pihak-pihak media, di atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan selama ini. Adalah diharapkan agar kerjasama dan sokongan sedemikian bukan sahaja dapat diteruskan tetapi dapat ditingkatkan lagi di masa-masa hadapan dalam usaha kita bersama-sama menentukan keamanan dan kemakmuran Negara. Saya juga merakamkan penghargaan yang sama kepada semua ahli BAKAT Darat diatas segala sumbangan dan bakti yang telah dicurahkan sebagai pendorong dan peransang kepada kecemerlangan Tentera Darat.

Akhir kata, bersempena dengan Hari Ulang Tahun Tentera Darat yang Ke-78 ini, saya menyeru kepada seluruh warga Tentera Darat untuk memperbaharui azam dan tekad untuk mempertingkatkan usaha ke arah menjadikan Tentera Darat sebagai sebuah angkatan yang lethal, responsive, deployable, flexible, sustainable dan survivable. Sehubungan dengan itu juga, kita mesti menjadi Angkatan yang Satu (A Force of One), berlandaskan cogankata kita GAGAH SETIA, kita akan Tetap Gagah, Tetap Setia. Marilah sama-sama kita berdoa semoga usaha murni kita di dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara ini tergolongsebagai amal 'khair' yang diterima oleh Allah Subhanahu Wataala.
(Jazakallahu khair - Semoga Allah membalas jasa-jasamu)


post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)