Jangan Heret Tentera
Oleh Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bharian.com.my
2011/03/02
Pasukan keselamatan berkecuali, tidak tunduk tekanan politik
SUNGAI BESI: "Jangan heret pasukan tentera ke kancah politik kerana kami bersifat berkecuali dan hanya bertanggungjawab menjaga keamanan dan kedaulatan negara," kata Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd Zin (atas).
Beliau juga menggesa semua pihak berhenti mempolitikkan isu pembelian kelengkapan ketenteraan dan aset pertahanan negara kerana tindakan sedemikian dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan negara.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menerusi blognya mendakwa pembelian enam kapal peronda luar pesisir (OPC) oleh Kementerian Pertahanan dengan kos RM6 bilon, lebih mahal daripada negara lain.
Berikutan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menuntut wakil rakyat DAP itu membuat laporan rasmi kepada agensi itu, sebaliknya beliau menolak permintaan itu.
Zulkifeli turut menyangkal dakwaan pasukan tentera tunduk kepada tekanan politik.
“Tentera tidak campur tangan langsung dalam urusan politik negara, namun menyokong sepenuhnya kepada kerajaan memerintah yang dipilih rakyat. Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita tidak ambil tahu pasal soal politik negara atau antarabangsa.
“Kita tetap mengikuti perkembangan politik Malaysia dan dunia. Ini hanya untuk pengetahuan, malah pegawai dan anggota tentera pun mempunyai hak memilih (mengundi),” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Beliau sebelum itu menghadiri Perbarisan Perutusan Hari Ulang Tahun Tentera Darat ke-78 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin dan Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.
Zulkifeli berkata, berikutan ancaman keselamatan yang sentiasa berubah berikutan pembangunan dan kemajuan negara, tentera darat juga sentiasa membuat pembaharuan dari segi latihan dan peralatan ketenteraan untuk memantapkan keupayaannya.
“Berikutan banyak projek pembangunan bandar baru di seluruh negara, landskap latihan ketenteraan kita turut berubah bagi memahirkan anggota kita bertempur dalam suasana itu sekiranya berlakunya sesuatu ancaman yang mampu menggugat keselamatan negara.
“Kita sentiasa mencari pendekatan baru untuk melatih anggota kita, antaranya menggunakan simulasi lapangan tempur berupa sebuah pekan atau bandar kecil,” katanya.
Dalam perutusannya pula, Zulkifeli menegaskan tentera darat sentiasa melakukan persiapan dari segi keupayaan tempur agar sentiasa berada di tahap tertinggi persediaan melaksanakan tugas yang digalas pasukannya.
Untuk memastikan matlamat itu tercapai, katanya, elemen terpenting yang dititikberatkan adalah menjaga kebajikan anggotanya untuk menjadikan mereka tentera yang bermotivasi, produktif dan bersedia untuk bertempur pada bila-bila masa.
Sumber: Berita Harian
0 comments:
Post a Comment
Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)