Kementah Sasar Tambah 43,000 Askar Wataniah
Dalam Tempoh Lima Tahun - Zahid
KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Kementerian Pertahanan menyasarkan untuk menambah kira-kira 43,000 lagi askar wataniah dalam tempoh lima tahun akan datang daripada 57,000 anggota yang ada pada masa ini yang meliputi angkatan darat, udara dan laut.
Gambar: Utusan Malaysia Online |
Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini adalah untuk mewujudkan nisbah satu anggota askar wataniah bagi setiap anggota tentera berbanding pada masa ini iaitu satu anggota askar wataniah bagi dua anggota tetap.
"Kita masih mengharapkan penyertaan askar wataniah bagi mengukuhkan barisan pertahanan kedua negara, memandangkan Angkatan Tentera Malaysia kini mempunyai 95,000 anggota tetap.
"Ini bukan satu khidmat negara tetapi ia adalah sebahagian daripada usaha untuk menterjemahkan semangat pertahanan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kumpulan Ketiga, Keempat Askar Wataniah Kementerian Pertahanan dan Platun Media Siber Askar Wataniah di sini Khamis.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Dr Ismail Ahmad dan Panglima Tentera Darat Jen Datuk Seri Zulkifeli Mohd Zin.
Ahmad Zahid berkata keanggotaan askar wataniah akan ditambah 100 peratus di kawasan Parlimen tahun ini apabila 50 lagi kawasan Parlimen akan mempunyai kumpulan ini.
"Setakat ini, kita ada Askar Wataniah di 172 kawasan Parlimen. Kita nak tambah lagi 50 bagi meliputi 222 kawasan Parlimen," katanya.
Gambar: Umno Online |
Mengenai kumpulan pertama platun media siber askar wataniah yang melibatkan wartawan dan pengamal media sekitar Lembah Klang, Zahid berkata ia akan diperluaskan ke utara, selatan, Sabah dan Sarawak.
" Ini adalah kerana pada masa darurat, media mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk membuat liputan dan memainkan pelbagai peranan, termasuk melakukan peperangan saraf," katanya yang turut merakamkan ucapan tahniah kepada 15 kumpulan media terdiri daripada wartawan dan jurugambar pelbagai media.
"Bagi mereka yang belum masuk, jangan kira ukuran badan, kita amat menggalakkan pengamal media ini dalam aktiviti pertahanan kita supaya mereka dapat memberi gambaran jelas dalam berita atau laporan mereka mengenai kekuatan anggota, barisan pertahanan dan sekaligus merasai situasi-situasi getir yang dihadapi anggota tentera kita dalam menjaga keselamatan negara," katanya.
Sementara itu, wartawan Bernama yang menyertai Askar Wataniah itu, Nurqalby Mohd Reda, 28, berkata penyertaannya memberi peluang berganda kerana selain menjalankan tugas membuat berita, beliau juga dapat merasai menjadi tentera yang pastinya merupakan satu peluang yang tidak harus dilepaskan.
Tan Kei Khang, 32, dari Oriental Daily pula, walaupun berhujan dan berpanas dalam menjalankan latihan ketenteraan namun beliau bersemangat kerana melalui penyertaan itu, beliau dapat menguatkan mental dan fizikalnya menghadapi apa jua keadaan.
Sumber: Bernama
0 comments:
Post a Comment
Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)