CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday, January 10, 2011

Tentera Turun Membantu Mangsa Banjir

21 RAMD Siap Sedia Bantu Mangsa Banjir


TUMPAT 9 Jan. – Anggota 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) kini bersiap sedia membantu penduduk Kelantan yang terbatas pergerakan mereka jika banjir semakin buruk.


Pegawai Memerintah 21 RAMD, Leftenan Kolonel Marzuki Mokhtar berkata, hujan lebat berterusan selama tiga hari menyebabkan sesetengah tempat di jajahan Tumpat, dinaiki air.


Justeru, katanya, anggota 21 RAMD bersama-sama agensi lain seperti Jabatan Bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bersiap sedia membantu mangsa-mangsa banjir yang terkandas.


Beliau yang turut sama meninjau kawasan bencana sempat singgah di pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 2 yang dibuka pada pukul 4 petang semalam.


Tinjauan anggota 21 RAMD mendapati paras air yang semakin meningkat menyebabkan semakin ramai mangsa banjir terpaksa dipindahkan.


“Sehingga pukul 6 petang semalam, dianggarkan seramai 558 mangsa telah ditempatkan di pusat pemindahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.


Marzuki memberitahu, 21 RAMD di bawah naungan Markas 8 Briged yang berpangkalan di Pengkalan Chepa sentiasa bersiap sedia membantu mangsa-mangsa banjir dari segi bantuan menyelamat dan perhubungan.


Menurutnya, ia sebahagian daripada usaha yang dilaksanakan oleh 21 RAMD bagi melicinkan pergerakan mengawal dan mengatasi masalah akibat banjir.


Katanya, seorang pegawai dan 20 anggota ditugaskan untuk membantu menjayakan bantuan tersebut.


Beliau juga menambah gerakan menyelamat dan membantu bukan sahaja dilakukan di jajahan Tumpat, malah pasukan tersebut akan melaksanakan gerak atur bantuan di Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai dan Gua Musang apabila diarahkan oleh pihak atasan.

Sumber: Utusan Malaysia
post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)