CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, January 2, 2011

Kerajaan Cadang Tingkat Kadar Bantuan TAPPN

Kerajaan Cadang Tingkat Kadar Bantuan TAPPN

KOTA KINABALU 29 Dis. - Kerajaan akan meningkatkan kadar bantuan Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN) yang dilihat sudah tidak relevan pada masa ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, kadar sedia ada dilihat rendah dan tidak mampu menampung kos perbelanjaan yang semakin meningkat.

DR. ABDUL Latiff Ahmad (tiga dari kiri) menyatakan sesuatu
kepada seorang penerima bantuan TAPPN
sambil diperhatikan Abdul Halim Jalal (kiri)
di Dewan Kinabalu, Markas 5, Briged Kem Lok Kawi
di Kota Kinabalu, semalam.
"Kita cadangkan supaya kadar bantuan nafkah dan bantuan persekolahan ini dikaji semula kerana sudah lama kadar itu tidak dikaji selepas kali terakhir dikaji pada tahun 80-an.

"Jadi saya ingat kadar itu sudah tidak relevan, kadar itu mestilah setimpal dengan kos sara hidup," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan cek bantuan TAPPN di Dewan Kinabalu, Markas 5 Briged Kem Lok Kawi di sini hari ini.

Turut hadir Panglima 5 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal dan Panglima Wilayah Laut Dua, Laksamana Pertama Datuk Anuwi Hassan.

Pada majlis itu, sembilan orang menerima bantuan yang jumlah keseluruhan RM17,728.

Menurut Abdul Latiff, kadar baru tersebut dijangka mula dikuatkuasakan pada tahun depan.

Beliau berkata, pada masa ini pihaknya sedang giat melakukan perbincangan dan menyiapkan kertas kerja sebelum memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pada itu Abdul Latiff berkata, bantuan yang mula diwujudkan pada 1968 itu kini mempunyai dana RM32 juta.

Katanya, tabung yang diwujudkan sejak 42 tahun lalu itu bertujuan membantu anggota pasukan keselamatan dan keluarga mereka selepas anggota berkenaan cedera atau meninggal dunia ketika bertugas.

Selain itu, katanya, tabung itu juga meliputi orang awam yang menabur bakti kepada masyarakat.

"Kita turut mengiktiraf keberanian orang awam. Seperti kes ragut dia tolong dan kena tikam sehingga meninggal dunia, itu sifat-sifat keberanian yang luar biasa.

"Inilah cara kita membalas jasa perwira di kalangan masyarakat awam," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan juga bercadang menjenamakan semula tabung berkenaan bagi meningkatkan kembali peranan media dalam memperkasakan tabung tersebut.

Ujarnya, langkah itu perlu dilakukan kerana pada masa ini media kurang memainkan peranan dalam usaha meningkatkan dana tabung berkenaan berbanding sebelum ini.

post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)