CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday, December 16, 2010

Tidak Longgar Syarat Sertai ATM

Tidak Longgar Syarat Sertai ATM


Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my


Zahid Hamidi melihat cenderahati yang disampaikan
oleh Kapten Azizi Hashim yang terlibat dalam
Ekspedisi Merdeka 1Malaysia Kuala Lumpur-London
di Parlimen, semalam. - utusan/Nooradzrene Mohd Noor
KUALA LUMPUR 15 Dis. - Kementerian Pertahanan tidak akan sesekali melonggarkan syarat kemasukan ke dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya demi menarik minat penyertaan kaum tertentu ke dalam perkhidmatan itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana sebarang kelonggaran untuk kemasukan seperti berkenaan keadaan fizikal individu hanya akan mengakibatkan anggota yang diterima masuk tidak menepati syarat ditetapkan.

Sebaliknya, tegas beliau, kementerian dan ATM akan memperhebatkan usaha promosi bagi menggalakkan penyertaan pelbagai kaum ke dalam perkhidmatan itu seperti melalui siri jelajah ke seluruh negara.

"Syarat kemasukan tidak ada kompromi, kalau tidak, kita tidak akan ada tentera yang berkualiti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan MIC dan Persatuan Bekas Angkatan Tentera India Malaysia (Perim) di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Dalam perjumpaan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah; Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan dan Ketua Pemuda MIC, T. Mohan mengetuai delegasi MIC sementara Perim diketuai oleh presidennya, P. Nagarajan.

Delegasi MIC dan Perim itu berjanji membantu kementerian untuk membawa masuk 2,000 individu daripada masyarakat India ke dalam perkhidmatan ATM menjelang akhir tahun depan.

Dalam perkembangan berkaitan, kata Ahmad Zahid, kementerian dan ATM tidak pernah sesekali mengambil kira faktor kaum dalam proses kenaikan pangkat seseorang individu dalam perkhidmatan itu.

Katanya, ini terbukti kerana terdapat pegawai tertinggi berpangkat jeneral yang berbangsa Cina serta India, selain Melayu di dalam perkhidmatan Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Saya akan bawa jeneral-jeneral dari kaum India dan Cina pada siri jelajah promosi kementerian nanti bagi membuktikan kita tidak mengamalkan diskriminasi kaum dalam ATM," tegasnya.

Sumber: Utusan Malaysia
post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)