Penyertaan Sebagai Askar Wataniah Memberangsangkan
SANDAKAN 27 Ogos - Tahap kesedaran rakyat di negara ini untuk menyertai anggota sukarela askar Wataniah amat memberangsangkan dan sehingga kini seramai 56,000 orang menganggotai rejimen itu.
Asisten Panglima Pasukan Simpanan Brig Jen Datuk Fazlurrahman Mohammad Irfan berkata pihaknya menyasarkan untuk menambah ahli askar wataniah seramai 55,000 orang menjelang akhir tahun ini dan setakat ini angkanya sudah melebihi daripada sasaran.
"Ia menunjukkan petunjuk yang baik dengan rakyat di negara ini sedar peranan mereka untuk memainkan peranan membantu dalam mempertahankan negara," katanya ketika ditemui pada majlis pemakaian pangkat Mejar (Kehormat) di sini hari ini.
Mereka yang menerima pemakaian pangkat itu adalah Pengarah Urusan Andamy Properties Sdn Bhd Tan Sri Liew Sui Fatt dan Penolong Pegawai Daerah Telupid Patrick Lee Mojinun.
Fazlurrahman berkata pada masa sekarang nisbah anggota tentera tetap dan anggota sukarela adalah 1:1 dan pada tahun depan hingga 2020, pihaknya ingin menaikkan nisbah itu kepada 1:2.
Ini memerlukan peningkatan sebanyak 10 peratus setiap tahun anggota sukarela menyertai askar wataniah dan ia merupakan satu cabaran besar kepada pihaknya, katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta ahli Jawatakuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) di setiap negeri membantu usaha dan kempen yang dilaksanakan untuk menarik lebih ramai orang menyertai askar wataniah. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment
Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)