PERUTUSAN HARI RAYA EIDULFITRI 1431H/2010M
OLEH PANGLIMA TENTERA DARAT
Dengan segala hormat dan sukacitanya saya dan isteri serta keluarga mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir dan batin kepada seluruh warga Tentera Darat yang beragama Islam dan keluarga, di mana sahaja mereka berada, dengan harapan dan doa semoga Aidilfitri kali ini akan memberikan kemeriahan dan keceriaan yang berkekalan kepada semua. Kepada warga Tentera Darat yang bertugas, saya ingin melahirkan rasa bangga di atas pengorbanan dan khidmat bakti yang ditunjukkan, demi untuk memastikan keamanan negara sentiasa terpelihara. Tugasan ini adalah merupakan satu amanah negara yang mesti kita pikul dengan sebaik mungkin. Percayailah bahawa pengorbanan saudara-saudari sekalian dihargai rakyat jelata dan kerajaan. Kita sebagai rakyat Malaysia amat bertuah kerana dapat merayakan hari kebesaran ini dalam keadaan aman dan makmur. Dalam kegembiraan ini, saya berharap supaya kita tidak melupakan insan-insan yang tidak bernasib baik, yang memerlukan perhatian, seperti anak-anak yatim, balu-balu tentera serta keluarga mereka. Saya ingin menasihati warga Tentera Darat yang pulang berhari raya supaya memandu kenderaan dengan berhati-hati dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga. Kita juga hendaklah memastikan supaya keselamatan kem dan rumah terjamin di sepanjang musim perayaan ini. Saya juga menasihatkan seluruh warga Tentera Darat supaya berbelanja dengan berhemat sempena menyambut musim perayaan ini supaya keadaan kewangan kita sentiasa terurus dengan baik. Marilah kita sama-sama bersyukur atas nikmat yang telah diberikan kepada kita oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Mudah-mudahan ia berterusan bagi tahun-tahun yang akan datang. DATUK ZULKIFELI BIN MOHD ZIN Jeneral Panglima Tentera Darat |
0 comments:
Post a Comment
Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)