CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday, October 4, 2010

Pembangunan Askar Wataniah Bukan Berunsur Politik

Pembangunan Askar Wataniah Bukan Berunsur Politik

Sumber: Utusan Malaysia

KUCHING 3 Okt. - Pembangunan Askar Wataniah tidak boleh dilihat beransur politik semata-mata tetapi bertujuan mempertahankan dan mengekalkan keselamatan dalam negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia juga tidak wajar untuk melihat penyertaan masyarakat dalam Askar Wataniah sebagai perkauman atau pun lebih kepada sensitiviti kenegerian.

"Saya ingin menekankan bahawa segala daya usaha terhadap pembangunan Askar Wataniah ini semata-mata untuk tujuan pertahanan dan keselamatan negara dan tidak berunsur politik, perkauman, mahupun sensitiviti kenegerian," katanya.

Beliau berucap pada majlis Pemakaian Pangkat Brigedier Jeneral (Kehormat) kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Kolonel kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Morshidi Abdul Ghani dan Pelancaran Kompeni Askar Wataniah di sini hari ini.

Abdul Taib merupakan Penaung Jawatankuasa Pendokong Askar Wataniah (Jakpaw) dan Mohd. Morshidi merupakan Pengerusi Jakpaw negeri dan Komander Rejimen 511 Askar Wataniah.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Arifin; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd. Zain; dan Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi.

Menurut Ahmad Zahid, tugas jawatankuasa pendukung Askar Wataniah yang antara lain menggalakkan rakyat di sesebuah negeri menyertai angkatan sukarela Persekutuan bagi menjayakan konsep pertahanan menyeluruh (Hanruh) terhadap pencapaian 'National Resilience'.

"Selain itu ialah menyebarkan maklumat kepentingan dan faedah penyertaan rakyat dalam angkatan sukarela Persekutuan.

"Ia sebagai usaha mempercepatkan integrasi nasional, peningkatan produktiviti perindustrian sambil mewujudkan masyarakat yang peka, berwaspada dan berkebolehan menyumbang terhadap keselamatan negara," katanya.

Kata beliau, penubuhan Jakpaw adalah untuk merancang segala bentuk bantuan kepada pasukan Askar Wataniah bagi menentukan ia dibangunkan sejajar dengan angkatan tetap.

Jelasnya, ini selaras dengan konsep menganak-angkat pasukan angkatan sukarela oleh kerajaan negeri di samping menyumbang bakti kepada pembangunan negeri khasnya dan negara amnya.

"Dengan dorongan dan sokongan kerajaan negeri diharapkan semua rakyat di setiap pelosok daerah akan berminat menyertai Askar Wataniah

"Ini bagi melahirkan masyarakat yang berdisiplin, berhati waja, dan mempunyai perasaan cintakan negara serta sanggup menyabung nyawa demi mempertahankan keselamatan, maruah dan kedaulatan negara," katanya

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)