Istiadat Meletakkan Kalungan Bunga Di Tugu Negara Sempena Hari Pahlawan
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-39 yang bersidang pada 21 Sep 1995 telah membincangkan Istiadat Meletakkan Kalungan Bunga Di Tugu Negara Sempena Hari Pahlawan. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara sempena sambutan Hari Pahlawan adalah sama dengan keputusan yang telah diambil dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada 7 Oktober 1987 iaitu bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.
Pembinaan Monumen Peringatan Bagi Angkatan Tentera
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21 – 23 April 2009 telah membincangkan Hukum Pembinaan Monumen Peringatan Bagi Angkatan Tentera. Muzakarah telah memutuskan bahawa Islam menegah umatnya melakukan apa jua perbuatan dan amalan yang mempunyai unsur-unsur syirik dan menyerupai amalan jahiliyah serta berlebihan-lebihan dan membazir.
Oleh itu, Islam mengharamkan perbuatan membina, mengukir atau memahat apa jua bentuk patung sama ada manusia atau haiwan untuk tujuan pemujaan, peringatan atau sebagainya.
Walau bagaimanapun, sekiranya binaan tanda peringatan tersebut hanya mengandungi ukiran nama dan bentuk selain daripada manusia dan haiwan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa ia adalah diharuskan selagi mana tidak berlaku pembaziran dan perbuatan-perbuatan yang boleh menjejaskan akidah seperti unsur-unsur pemujaan dan amalan-amalan lain yang bertentangan dengan syarak.
Acara-acara seperti Majlis Peringatan termasuk Bacaan Doa Selamat, Yasin, Tahlil dan sebagainya tidak boleh dilakukan di hadapan binaan peringatan tersebut dan hendaklah dilakukan di tempat berasingan seperti masjid atau bangunan lain semasa meraikan hari perayaan yang berkaitan.
Keterangan/Hujah:
- Terdapat banyak hadith yang mengharamkan serta melarang perbuatan orang yang memahat patung dan menyimpan patung untuk apa-apa tujuan melainkan patung dalam permainan kanak-kanak. Antaranya ialah:
Maksudnya “Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai patung”.
(Muttafaq ‘Alaih)Hadith Riwayat al-Bukhari:
Daripada Abdullah berkata aku mendengar Nabi S.A.W bersabda : Sesungguhnya orang yang paling berat siksaannya nanti di Hari Kiamat ialah orang yang membuat gambar (patung).
- Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj Sharh Sahih Muslim mengatakan bahawa membuat gambar haiwan adalah diharamkan kerana ia termasuk dosa besar kerana meniru ciptaan Allah. Adapun melukis gambar pohon atau sesuatu yang tidak bernyawa dibolehkan. Islam juga mengharamkan umatnya mengukir atau membuat patung walaupun untuk orang kafir.
- Dalam menentukan keharusan atau larangan terhadap sesuatu perbuatan, kaedah Saddu az-Zaraiq perlu diambil kira kerana sekiranya pelaksanaannya boleh mendatangkan keburukan atau mudharat yang lebih besar, maka ia wajar dihentikan.
- Secara zahirnya pembinaan apa jua bentuk binaan sama ada monumen, tugu atau sebagainya adalah sebagai tanda peringatan. Amalan ini jelas ditegah oleh Islam sekiranya binaan tersebut merupakan ukiran patung manusia atau haiwan. Apa jua bentuk binaan atau ukiran, jika ia bertujuan untuk diagung-agungkan dan bersifat membazir, ia amat ditegah oleh Islam. Walau bagaimanapun, jika ia hanya sekadar binaan biasa atau ukiran nama-nama sebagai tanda kenangan sejarah dan tidak berlebih-lebihan, maka ia tiada halangan.
- Amalan atau perbuatan membina tugu telah diwarisi oleh umat Islam daripada pihak penjajah. Acara-acara seperti bertafakkur, nyanyian, tiupan Rouse dan meletakkan kalungan bunga di hadapan tugu mengandungi unsur-unsur syirik dan ditegah oleh Islam.
- Amalan membina tanda peringatan sekiranya dibiarkan tanpa kawalan dan panduan, akan berleluasa dan sukar dikawal pada masa akan datang. Satu garis panduan perlu disediakan bagi memastikan hanya tanda peringatan yang tertentu sahaja dibenarkan tanpa sebarang unsur-unsur pembaziran.
- Fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan sebelum ini iaitu mengenai amalan tiupan “Last Post”, bertafakur dengan menundukkan kepala selama 20 saat, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan “Rouse” hendaklah dikekalkan.
Hari Kenangan Rakan Seperjuangan Di Tugu Negara
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-19 yang bersidang pada 6-7 Oct 1987 telah membincangkan Hari Kenangan Rakan Seperjuangan Di Tugu Negara. Muzakarah telah memutuskan bahawa
- Amalan-amalan seperti tiupan Last Post bertafakur dengan menundukkan kepala selama 20 saat, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan Rouse yang dilakukan di hadapan Tugu dalam upacara menyambut Hari Kenangan Rakan Seperjuangan olah Angkatan Tentera Malaysia adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.
- Bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan dengan syarat tidak dilakukan di hadapan Tugu atau di tempat-tempat atau dalam suasana yang dilarang oleh syarak.
Bacaan doa di tugu peringatan
Keputusan:
Berdoa di tugu peringatan adalah ditegah oleh syara' dan hukumnya haram kerana perbuatan seumpama itu termasuk di dalam larangan firman Allah, surah al Maidah ayat 90 yang bermaksud:
'Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi dan al-ansab(menyembah berhala) dan al azlam (bertenung nasib) adalah najis daripada amalan syaitan. Maka hendaklah kamu jauhkan daripadanya moga-moga kamu berjaya'.
Keterangan: 'Al-Ansab' maknanya batu orang-orang jahiliyah sembelih korban disisinya dan beribadat kepadanya. Berdoa adalah ibadat, berdoa di batu tugu peringatan sama seperti orang-orang jahiliyah beribadat di al-Ansab yang dimaksudkan di dalam ayat 90 itu.
Hukum Bacaan Doa Di Tugu Peringatan
Keputusan:
Bacaan Doa Di Tugu Peringatan.
Berdoa di tugu peringatan adalah ditegah oleh syarak dan hukumnya haram kerana perbuatan seumpama itu termasuk di dalam larangan firman Allah, surah al-Maidah ayat 90 yang bermaksud:
'Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak dan judi dan al-ansab dan najis daripada amalan syaitan, maka hendaklah kamu jauhkan daripadanya muka-muka kamu bercahaya'.
Keterangannya: 'Al-Ansab' maknanya batu orang-orang Jahiliyah sembelih Qorban disisinya dan beribadat kepadanya. Berdoa adalah kepada ibadat, berdoa di batu Tugu Peringatan sama seperti orang-orang Jahiliyah beribadat di al-ansab yang dimaksudkan dalam ayat 90 itu.
1 comments:
Info yang bagus. Moga ALLAH memelihara kita daripada jauh tesesat..
Post a Comment
Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)