ATM sedia hantar pengaman ke Gaza
Sumber: Utusan Malaysia
DR. AHMAD Zahid Hamidi menerima kunjungan hormat Neo Kian Hong diperhatikan oleh Azizan Ariffin di Kementerian Pertahanan, semalam. |
KUALA LUMPUR 3 Ogos - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia menghantar pasukan pengaman ke Gaza di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada bila-bila masa demi keamanan dan kesejahteraan rakyat Palestin.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan yakin dengan kemampuan pasukan pengaman ATM dalam mewujudkan kesejahteraan di Gaza berdasarkan prestasi beberapa misi pasukan itu seperti di Lebanon selama ini.
Beliau menjelaskan, keyakinan itu juga berdasarkan penerimaan baik masyarakat Asia Barat terhadap penugasan pasukan pengaman ATM di sana yang dilihat sentiasa memahami dan menghormati budaya rakyat tempatan.
"Bagaimanapun misi untuk mewujudkan pasukan pengaman Malaysia ke Gaza perlu diluluskan oleh resolusi PBB terlebih dahulu.
"Usaha mewujudkan keamanan dan kesejahteraan di kalangan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza memang sentiasa menjadi dasar kerajaan kita selama ini," katanya.
Beliau ditemui selepas menerima kunjungan hormat delegasi Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei, Kolonel Yusof Abd. Rahman di pejabatnya sini hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid menerima kunjungan hormat delegasi Panglima Angkatan Tentera Singapura, Leftenan Jeneral Neo Kian Hong dan delegasi Setiausaha Pertahanan Timor Leste, Dr. Julio Tomas Pinto. Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jen. Tan Sri Datuk Azizan Ariffin.
Dalam perkembangan lain, kata Ahmad Zahid, Malaysia serta negara-negara ASEAN pada dasarnya bersetuju untuk tidak berlumba-lumba dalam pembelian dan pemodenan peralatan ketenteraan terutama pada waktu aman.
Sebaliknya, tegas beliau, negara ASEAN kini perlu lebih bekerjasama dalam perkongsian teknologi dan pemilikan aset ketenteraan demi membangunkan teknologi pertahanan di rantau ini.
"Saya telah suarakan pandangan ini kepada semua delegasi yang melawat saya hari ini dan mereka terbuka dengan cadangan tersebut," ujarnya.
0 comments:
Post a Comment
Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)