CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, July 16, 2010

Sejarah Askar Wataniah Malaysia






sejara2.jpg (6549 bytes)Askar Wataniah Malaysia (AW) adalah suatu angkatan sukarela yang berlainan daripada badan-badan sukarela yang lain. AW merupakan Angkatan Sukarela yang bersama-sama Tentera Darat dalam mempertahankan negara kita yang tercinta. Penyertaan rakyat dalam AW merupakan satu sumbangan murni bagi menyahut seruan pertiwi sesuai dengan konsep HANRUH (Pertahanan Menyeluruh) yang ditetapkan dalam Dasar Pertahanan Negara. Sebagai sebuah negara yang pesat membangun dan berwawasan, penglibatan rakyat dan semua pihak adalah amat perlu bagi memainkan peranan dalam pembangunan serta pertahanan negara. HANRUH antaranya menetapkan bantuan nasional termasuk penggemblengan semua sumber negara di samping penglibatan Angkatan Tentera Malaysia.

Penyertaan rakyat dalam Angkatan Sukarela di Semenanjung Malaysia bermula semenjak 1902 lagi apabila Kerajaan Inggeris menubuhkan Pasukan Sukarela di Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang dipanggil Federated Malay States Volunteer Force (FMSVF), pasukan Sukarela di Negeri Melayu Tidak Bersekutu pula dipanggil Unfederated Malay States Volunteer Force (UNFMSVF) dan di Negeri-Negeri Selat pula ialah The Straits Settlement Volunteer Force (SSVF).

Pasukan-pasukan Sukarela telah memainkan peranan yang begitu penting terutamanya semasa dalam Peperangan Dunia Kedua, Darurat 1948-1960 dan Konfrontasi. Semasa darurat ia dikenali sebagai Home Guard. Pasukan ini telah disusun semula sebagai Pasukan Pertahanan Tempatan pada 1 Jun 1958 dan seterusnya dikenali sebagai Askar Wataniah Malaysia.






  Konsep mempertahankan negara melalui pasukan sukarela di Tanah Melayu telah bermula sejak awal Zaman Pemerintahan British. Malahan konsep ini telahpun wujud sejak Zaman Kesultanan Melaka, yang mana mereka sanggup berkhidmat secara sukarela serta melafazkan taat setia kepada raja untuk mempertahankan negara. Januari 1874, dengan termeterainya Perjanjian Pangkor telah membuka ruang kepada British untuk campur tangan dalam pentadbiran Negeri-Negeri Melayu. Pada 1 Julai 1896, Persetiaan Persekutuan telah ditandatangani. Dengan ini, terbentuklah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu serta campur tangan British yang lebih meluas. Berikutan dengan wujudnya Persetiaan Persekutuan, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu seolah-olah tertakluk kepada kuasa pemerintahan Negeri-Negeri Selat, di mana segala masalah keselamatan dan pertahanan dirujuk kepada pemerintahan Negeri-Negeri Selat.

LATARBELAKANG PENUBUHAN PASUKAN SUKARELA

Pasukan Sukarela di Tanah Melayu bermula di Negeri-Negeri Selat. Singapura sebagai pusat pentadbiran kerajaan British di Tanah Melayu merupakan negeri pertama menubuhkannya pada tahun 1854. Penubuhan Singapore Volunteer Corps (SVC) ini telah mendapat sokongan daripada Gabenor Negeri-Negeri Selat, Kolonel W. J. Butterworth, dan telah memperbadankannya melalui pengkuatkuasaan Akta pada 23 Oktober 1857.

Pada 22 Feb 1888, SVC Meriam telah ditubuhkan dan ia dikenali sebagai Singapore Volunteer Artillery Corps (SVA). Sehingga ke tahun 1901, SVC telah berjaya menubuhkan beberapa kor lain seperti berikut : 
Singapore Volunteer Rifles (SVR)
Singapore Volunteer Engineer (SVE)
Singapore Volunteer Infantry (SVI)

Pasukan Sukarela pertama yang ditubuhkan di Semenanjung ialah di Pulau Pinang pada 1861. Pasukan ini dikenali sebagai Penang Volunteersdan telah dilembagakan sebagai sebuah pasukan infantri melalui kuatkuasa Volunteer Ordinance 1888. Pada ketika itu keanggotaan ialah seramai 60 orang, terdiri daripada orang berbangsa Eropah dan Serani. Pada 29 Jun 1899, Penang Volunteers yang kedua telah ditubuhkan. Kapten Arthur Adam telah dilantik menjadi Pemangku Komandan.





     
Pada 25 Oktober 1901 pula telah ditubuhkan satu kompeni SVC di Melaka diketuai oleh Kapten R.N. Bland. Keanggotaannya adalah seramai 47 orang terdiri daripada orang Eropah, Melayu, Cina dan Serani. Manakala di Seberang Perai atau Province Wellesley, pada tahun 1915 telah ditubuhkan Pasukan Pertahanan Tempatan. Pasukan ini dikenali sebagai Province Wellesley Volunteer Rifles (P&PWVR). Kapten W. Duncan (Pengurus Ladang Kumpulan Caledonia) telah dilantik menjadi Pegawai Pemerintah pertama pasukan ini.











Pada tahun 1902, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (FMS) yang terdiri daripada negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan telah mula menubuhkan unit Sukarela yang dikenali sebagai Malay States Volunteer Rifles (MSVR).


Unit -unit telah dilengkapi dengan dua pucuk "machine gun" yang telah dihadiahkan oleh Dr. Loke Yew, CMG di Selangor. Manakala keanggotaan MSVR Perak adalah terdiri daripada pelombong bijih timah.

Justeru itu, Selangor merupakan negeri pertama dari Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang menubuhkan MSVR. Pegawai-pegawai British telah memainkan peranan penting dalam usaha penubuhan ini. Di samping itu, mereka juga telah digalakkan menyertainya. Sementara itu, semua Pegawai Daerah, Penolong Pegawai Daerah dan Ketua Polis Daerah telah diarah untuk menubuhkan MSVR di daerah masing-masing.

Kebanyakan pegawai MSVR ini terdiri daripada Pegawai Perkhidmatan Awam Malaya (MCS) yang pada kebiasaannya Pegawai Daerah sendiri menjadi pemerintah.

Untuk menggalakkan lebih ramai pegawai atasan menyertai MSVR, beberapa keistimewaan telah diberikan kepada mereka. Antaranya, memberi kenaikan pangkat dengan cepat. Di samping itu sambutan daripada pembesar-pembesar lain amat menggalakkan. Antara pembesar-pembesar yang menyertai MSVR ialah Datok Naning Usman bin Kering (Ketua Adat Luak Naning, di Melaka) dan Raja Aman Shah bin Raja Harun Ar-Rashid (cucu kepada Sultan Idris, Perak).

Dalam tahun 1913, Enakmen Sukarelawan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu telah dikuatkuasakan dan ini telah mendorong Negeri-Negeri Melayu yang lain (Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu atau Unfederated Malay States) menubuhkan Pasukan Sukarela masing-masing. Negeri-negeri yang telah menubuhkan Pasukan Sukarela masing-masing adalah Johor (1914), Kelantan (1917) dan Kedah (1930).

Pasukan-pasukan ini dikenali sebagai Unfederated Malay States Volunteer Force (UFMSVF). Menjelang tahun 1915, di samping MSVR, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pula menubuhkan The Malayan Volunteer Infantry (MVI).
The Malayan Volunteer Infantry, Perak - Mac 1915
The Malayan Volunteer Infantry, Selangor - 1915/1916
The Malayan Volunteer Infantry, Pahang - April 1916
The Malayan Volunteer Infantry, Negeri Sembilan - Sept 1916


  

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)