CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Saturday, June 25, 2011

Pesara ATM Berpeluang di Serap ke JPA

Serapkan Bekas ATM ke Agensi JPA


Oleh SYUKRI SHAARI
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 23 Jun - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai kemungkinan menyerapkan anggotanya yang telah bersara ke dalam lebih banyak agensi perkhidmatan awam.

Panglimanya, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, setakat ini ATM telah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara menerusi Strategi Lautan Biru untuk menyerapkan bekas tentera ke dalam kedua-dua perkhidmatan tersebut.

Katanya, usaha itu adalah penting kepada bekas tentera kerana mereka mempunyai kemahiran dan pengalaman yang boleh digunakan bagi meningkatkan lagi prestasi sektor awam seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Mereka merupakan golongan terlatih dan adalah satu kerugian sekiranya kemahiran, pengetahuan serta pengalaman yang mereka ada disia-siakan begitu sahaja apabila bersara.

"Jadi, kami akan berbincang dengan JPA supaya bekas tentera diberi peluang kedua dan diserapkan ke dalam sektor awam yang lain seperti APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan sebagainya," katanya selepas majlis penyampaian sijil Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) Siri 1/2011 di sini hari ini.

Zulkifeli yakin jabatan atau agensi awam yang lain akan mendapat manfaat daripada khidmat bekas anggota tentera.

Katanya, ia merupakan situasi menang-menang kepada kedua-dua belah pihak dan berharap ia dapat dilaksanakan bagi menjamin kebajikan golongan berkenaan.

Sementara itu, Zulkifeli berharap pesara-pesara tentera yang mengikuti kursus peralihan dalam pelbagai bidang dengan Perhebat dapat memanfaatkan dengan sebaik-baiknya peluang yang diberikan kepada mereka.

Katanya, peluang seumpama itu tidak terdapat pada agensi lain, malah ia juga tidak ditawarkan oleh angkatan tentera di negara lain.

"Mereka seharusnya bersyukur kerana diberi peluang menimba ilmu pengetahuan dan juga kemahiran supaya dapat menyediakan diri dengan suasana pasaran kerja ketika ini," ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia Online
post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)