CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, June 19, 2011

Latihan Perang CARAT Malaysia-AS

Kemusykilan terhadap niat China

PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara.

CHINA telah berulang kali menegaskan permodenan angkatan bersenjata mereka tiada kena mengena dengan hasrat untuk menjadi kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) tetapi hanya untuk melindungi kepentingan agenda ekonomi mereka. Sememangnya pengakuan sedemikian rupa amat dialu-alukan terutama sekali oleh negara jiran yang lebih kecil seperti ASEAN.

Tetapi perlu ditegaskan, Beijing sememangnya pintar menggunakan bahasa diplomasi untuk menggambarkan yang mereka tidak mempunyai agenda tersirat. Apa yang boleh dirungkaikan daripada kenyataan Beijing adalah mereka akan mempertahankan kepentingan ekonomi dengan apa jua kaedah sekalipun, dan ini termasuklah kekuatan tentera.

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berdoa pada
majlis pelancaran latihan perang CARAT Malaysia-AS
bersama anggota United States Navy (USN)
di Kuantan, 6 Jun lalu. - UTUSAN/MAHATHIR ALI
Perhatikan sahaja apa yang sedang berlaku di Laut China Selatan mengenai tuntutan bertindih gugusan Kepulauan Spratly dan Paracel oleh China, Vietnam, Filipina, Brunei, Malaysia dan Taiwan. Beberapa minggu lepas telah berlaku beberapa tindakan agresif di antara China, Vietnam dan Filipina di kawasan perairan yang masing-masing mendakwa milik mereka.

Vietnam dan Filipina telah menuduh tentera laut China mengganggu kerja eksplorasi di dalam perairan yang didakwa oleh Hanoi dan Manila adalah milik mereka. Beijing pula mendakwa kedua-dua negara tersebut telah menceroboh kawasan milik China.

Masalahnya di sini ialah hampir keseluruhan kawasan tuntutan bertindih Laut China Selatan didakwa oleh Beijing sebagai milik mereka dengan menggunakan dalil sejarah lampau.

Vietnam telah pun mengambil tindakan susulan akibat gangguan Beijing dengan mengadakan latihan tembakan peluru hidup di wilayah Quang Nam berhampiran dengan kawasan pertikaian. Walaupun dinafikan oleh Hanoi, begitu jelas sekali isyarat latihan tersebut adalah amaran kepada Beijing bahawa Vietnam akan mempertahankan kedaulatan mereka.

Begitu juga dengan Filipina yang bakal mengadakan latihan perang yang dinamakan CARAT bersama-sama dengan AS dari 28 Jun hingga 8 Julai memberikan satu maksud yang tersirat kepada Beijing mengenai apa yang sedang berlaku di Laut China Selatan.

Seperti lazimnya Beijing telah memberi amaran bahawa masalah tuntutan bertindih tersebut perlu diselesaikan secara bilateral iaitu antara China dan negara berkenaan sahaja tanpa memerlukan campur tangan pihak ketiga. Jika agenda China itu dituruti maka sudah semestinya manfaat menyebelahi mereka kerana China mempunyai segala-galanya.

Memang benar China tidak berminat untuk berperang dengan negara ASEAN yang jauh lebih lemah. Tetapi Beijing tanpa segan silu akan mempamerkan kekuatan tentera mereka untuk mendapatkan apa yang dihajati. Apa yang berlaku terhadap Vietnam dan Filipina tempoh hari adalah contoh klasik maksud tersirat permodenan angkatan tentera yang selaras dengan kemajuan ekonomi China.

Paling menggerunkan ialah bagaimana pantasnya permodenan angkatan tentera China berlaku. Tidak lama lagi tentera laut China akan memiliki kapal pengangkut jet pejuang yang pertama. China juga dipercayai sudah memiliki peluru berpandu balistik yang direka khas untuk memusnahkan kapal perang.

Sejak kebelakangan ini apa yang jelas adalah tumpuan khas diberikan kepada kemampuan angkatan laut mereka.

Selama ini AS dianggap sebagai kuasa maritim yang unggul kerana mempunyai gugusan kapal pengangkut jet pejuang yang tiada tolok bandingannya. AS mampu menonjolkan dan menggunakan kekuatan angkatan tentera mereka di mana-mana sahaja dengan kaedah kapal pengangkut yang ditempatkan serata pelosok dunia.

Memang benar dengan hanya sebuah kapal pengangkut tidak mungkin China dapat menandingi kehebatan AS. Tetapi bayangkan kesannya jika kapal pengangkut tersebut ditempatkan di Laut China Selatan. Sudah pasti China akan mempunyai kelebihan yang melampau apabila berhadapan dengan isu tuntutan bertindih.

Mungkin secara kebetulan atau tidak kapal pengangkut jet pejuang USS George Washington telah berlepas dari pangkalan di Jepun dan besar kemungkinan sedang menuju ke perairan Laut China Selatan. Pada minggu lepas kapal pengangkut tersebut telah pun berada di Laut China Selatan kerana mengambil bahagian dalam latihan perang CARAT Malaysia-AS. Buat pertama kali juga kapal selam AS turut serta dalam latihan tersebut.

Salah satu strategi untuk mengekang kelebihan angkatan laut China, negara ASEAN perlu mempunyai satu suara apabila berhadapan dengan Beijing. Mahu tidak mahu pihak ketiga perlu diberi ruang untuk bersama-sama dengan negara ASEAN berhadapan dengan China. Pihak ketiga yang dimaksudkan ialah AS kerana hanya negara itu yang mampu menandingi kehebatan angkatan tentera China.

Strategi yang diamalkan oleh Malaysia dengan mengadakan latihan perang secara bersama dengan AS adalah kaedah yang paling berkesan untuk memberi isyarat kepada China. CARAT umpamanya adalah latihan bersama antara Malaysia-AS paling lama dan berjaya di antara kedua-dua negara.

Memandangkan kepentingan Laut China Selatan kepada Malaysia tidak perlu dipersoalkan lagi, kerjasama strategik dalam pertahanan maritim di antara AS diperluaskan lagi dengan penyertaan terbaru latihan secara bersama. Buat pertama kalinya Malaysia telah menyertai Latihan Pinggir Pasifik (RIMPAC) dan Cobra Gold bersama-sama dengan AS. RIMPAC dianggap sebagai latihan perang maritim antarabangsa yang terbesar di dunia dan pada latihan tahun lepas telah disertai oleh 13 negara.

Sememangnya penyertaan Malaysia dalam CARAT, Cobra Gold and RIMPAC akan memberi kesan yang besar bukan sahaja kepada negara tetapi juga kepada ASEAN.

Kehadiran empat negara ASEAN iaitu Malaysia, Thailand, Singapura dan Indonesia dalam salah satu latihan ketenteraan tersebut sudah pasti membawa implikasi yang agak besar seperti mana pakatan Jepun dan Korea Selatan yang telah memberi kesan kepada Asia Timur. Menjadi harapan isyarat tersebut dapat di baca oleh Beijing dengan betul.

Sumber: Utusan Malaysia Online
post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)