CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday, June 2, 2011

Jasa Polis & Tentera Wajar Dihargai

Jangan Lupa Jasa Polis, Tentera

Jangan lupa jasa polis, tentera

oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 29 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat untuk tidak melupakan jasa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di seluruh dunia.

Menurut Perdana Menteri, jasa anggota berkenaan termasuk keluarga mereka, wajar diberikan penghargaan dan penghormatan atas segala pengorbanan demi keamanan dunia sejagat.

Jelasnya, sejak 50 tahun lalu, Malaysia telah giat menghulurkan bantuan dalam misi keamanan PBB dengan menghantar puluhan ribu anggota keselamatan di seluruh dunia.

''Sehingga ke hari ini, lebih daripada 20,800 anggota ATM dan 1,000 anggota PDRM telah ditempatkan dalam pelbagai misi di lebih 20 buah negara.

''Seramai 26 pahlawan Malaysia telah terkorban dalam usaha menegakkan keamanan dan ketenteraman di seluruh dunia.

''Sebagai memperingati Hari Antarabangsa Tentera Pengaman PBB, saya merayu kepada anda semua supaya menyertai saya dalam menghargai dan memberi penghormatan kepada mereka ini, baik lelaki mahupun wanita, termasuk keluarga mereka, atas segala pengorbanan yang telah mereka berikan demi keamanan dunia sejagat,'' katanya.

Beliau berkata demikian menerusi entri bertajuk 'Kepada rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi keamanan PBB' di blognya di http://www.1malaysia.com.my.

Pada tahun 1960, negara buat pertama kali terpilih menyertai misi pengaman PBB di Congo dalam misi yang dikenali sebagai 'United Nations Operations in Congo' (UNOC) antara Oktober 1960 hingga April 1963.

Najib memberitahu, komitmen Malaysia dalam menyokong usaha keamanan dunia adalah berterusan dan negara bersedia untuk menghantar tentera pengaman jika mendapat undangan.

''Baru-baru ini, dalam satu kenyataan menyokong usaha keamanan yang diambil untuk mengekalkan kestabilan kerajaan Bahrain oleh kerajaan Arab Saudi serta negara anggota Majlis Kerjasama Teluk lain, saya mengumumkan Malaysia bersedia menghantar tentera pengaman ke negara tersebut, sekiranya diundang,'' tambah beliau.

Sumber: Utusan Malaysia Online
post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)