Kem kebanggaan warga ATM
Oleh SAFINA RAMLI
Gambar KAMAL BASIR
Gambar KAMAL BASIR
MEMBINA satu kem untuk penempatan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerlukan perancangan yang rapi dan teliti oleh kerajaan bagi menjamin keselesaan dan keselamatan warganya.
Terletak di daerah Kubang Pasu, Kem Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang siap dibina pada 4 Mac tahun lalu, kini menjadi kem termoden di ATM.
Kem tersebut yang dahulunya dikenali dengan nama Kem Bis Tok Jalai selamat dirasmikan oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 29 Mac lalu.
Nama kem tersebut ditukar kepada Kem Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah bagi menzahirkan ucapan penghargaan dan penghormatan warga ATM kepada institusi kesultanan negara ini dan selain itu Sultan Kedah juga merupakan Kolonel Yang Dipertua Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Pada asalnya, kem tersebut adalah tapak penempatan Rumah Keluarga Angkatan Tentera yang didiami oleh para pegawai pasukan infantri dan pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di sekitar kawasan Kepala Batas dan Bukit Pinang.
Sejajar dengan penubuhan Kolej Tentera Udara (KTU), kem itu turut dijadikan penempatan untuk para pegawai dan pegawai kadet KTU.
Rancangan pembinaan Kem Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah tersebut selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan prasarana yang lebih selesa dan kondusif kepada warga Tentera Darat.
Upacara pecah tanah telah dilaksanakan pada 3 September 2007 dan projek tersebut siap sepenuhnya pada 4 Mac 2010.
Kem tersebut yang berkeluasan 79,069 hektar itu dilengkapi dengan infrastruktur moden yang melengkapi kem bernilai RM92 juta tersebut dan mampu menjamin kualiti tugas yang tinggi di kalangan warga Batalion Keenam RAMD.
Dengan siapnya kompleks kem itu, ia telah dijadikan model kepada rancangan pembinaan kem-kem tentera lain di bawah program Army Care.
Sebuah lembaga bagi mengambil alih kem itu telah ditubuhkan pada 11 Mac 2010 dan proses perpindahan telah berjaya dilaksanakan dalam tempoh 19 hari dengan kumpulan pertama mulai mengambil alih kem pada 15 Mac 2010.
Kompleks kem itu mengandungi pejabat-pejabat pentadbiran dan teknikal yang lengkap untuk sebuah Batalion Infantri Standard dan ia juga menyediakan kemudahan empat buah blok penginapan untuk anggota bujang dengan setiap satunya berupaya menampung 152 orang anggota tentera.
Antara kemudahan lain yang disediakan di kem itu adalah lapang sasar 25 meter, sirkit merentas halangan, pavilion, menara abseiling, padang kawad, gelanggang kawad, gelanggang bola tampar dan gelanggang sepak takraw.
Sultan Kedah yang berkenan mencemar duli sewaktu perasmian kem tersebut mahu segala kemudahan dan infrastruktur yang telah disediakan di dalam kem itu dapat dijaga dengan baik.
Baginda bertitah, anggota Tentera Darat harus mengamalkan disiplin yang tinggi serta berpegang teguh pada prinsip ketenteraan demi mempertahankan agama, bangsa dan negara.
Selain itu, baginda juga mahu anggota tentera mempunyai ilmu pengetahuan terkini serta meningkatkan kesabaran dalam menghadapi kesusahan dan cabaran masa kini.
Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifli Mohd. Zin berkata, kem itu juga bakal dijadikan penempatan dan pemulihan banduan dari penjara awam berdekatan.
“Kepercayaan yang telah diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap pengurusan dan keselamatan para banduan dalam kem Tentera Darat amat disanjung tinggi,” kata beliau.
Sumber: Utusan Malaysia
0 comments:
Post a Comment
Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)