Tempoh Latihan Sertai PDRM Lebih Singkat,
Ditawar Kenaikan Pangkat
19/4/2011
KUALA LUMPUR: Bekas tentera yang menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi kelonggaran kenaikan pangkat lebih awal dan tempoh latihan singkat untuk menarik lebih ramai mereka menyertai pasukan polis.
Tempoh latihan dipendekkan kepada hanya tiga bulan berbanding pelatih lain enam hingga sembilan bulan, manakala bekas tentera berpangkat sarjan layak diberi kenaikan pangkat daripada konstabel kepada sarjan selepas disahkan jawatan dan lulus peperiksaan khas undang-undang rendah jabatan PDRM.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ia selaras hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan supaya bekas tentera dapat menyumbangkan tenaga untuk bersama mencegah jenayah, menjaga keselamatan dan ketenteraman negara.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Ahamat@Ahamad Yusop mengenai rasional cadangan penyerapan pesara tentera dalam pasukan polis dan bagaimana prosedur dan pendekatan penyerapan itu akan dilaksanakan, di persidangan Dewan Negara, di sini semalam.
Hishammuddin berkata, sejak pengambilan fasa pertama dilaksanakan Januari lalu, 101 bekas tentera diambil dan dilantik sebagai konstabel serta konstabel sokongan dan kini menjalani latihan asas di Pusat Latihan Polis, Kuala Kubu Baharu, Selangor.
Mereka dipilih selepas lulus syarat kelayakan menyertai pasukan polis, berumur bawah 45 tahun, serta berkhidmat dalam tentera sekurang-kurangnya 10 tahun.
Bercakap kepada media kemudian, beliau mahu masalah kebajikan polis segera diselesaikan selaras usaha memastikan pasukan itu dapat berkhidmat dalam keadaan lebih baik dan selesa.
Antara isu kebajikan polis yang utama dan perlu diselesaikan secepat mungkin adalah meningkatkan peranan atau fungsi koperasi serta tabung bantuan polis supaya ia dapat dinikmati oleh anggota yang memerlukan, selain menaik taraf kuarters kediaman mereka.
“Koperasi polis dibelenggu masalah terlalu lama. Kita ada pelbagai tabung tapi tiada siapa yang mengetahui mengenainya. Perumahan pada masa ini ada dua bilik, kita mahu jadikannya tiga bilik. Balai polis yang daif perlu dinaikkan taraf. Ia tidak dapat diselesaikan sekelip mata, tetapi saya percaya, khidmat polis sudah terbukti, apabila kita minta mereka melaksanakan sesuatu, mereka sedia melakukannya. Jadi, sekarang terpulang kepada kita (untuk membantu mereka),” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Mahmood Adam dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar sudah diminta menyediakan laporan bulanan mengenai sebarang isu kebajikan polis terutama langkah baru.
Beliau turut meminta pelbagai pihak terutama syarikat berkaitan kerajaan dan swasta bekerjasama dengan kerajaan membantu menjaga kebajikan pasukan polis. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment
Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)