Filipina: Malaysia Komited Bantu Rundingan Damai
Oleh MOHD. HASRIQ AMIRUDDIN
Azizan Ariffin (dua dari kanan) diiringi Mahdi Yusoff (kanan) menyatakan sesuatu kepada para pegawai yang terlibat dengan misi ke Mindanao semasa menghantar mereka di Pangkalan Udara TUDM, Subang. |
MALAYSIA terus menunjukkan komitmen dalam usaha membantu rundingan damai antara kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) ke arah mewujudkan kedamaian di wilayah bergolak, Mindanao.
Kenyataan itu dibuktikan dengan penghantaran kumpulan induk misi pendamai iaitu Tim Pemantau Antarabangsa - Mindanao Enam (TPA-M6) oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 11 Mac lalu.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin berkata, penyertaan kali keenam Malaysia sejak 2004 itu bertujuan meneruskan kesinambungan misi terdahulu memandangkan rundingan damai antara kedua-dua belah pihak belum dimeterai.
Malaysia turut diberi kepercayaan untuk mengetuai misi tersebut yang dianggotai 43 anggota iaitu 20 anggota dari Malaysia; 15 dari Brunei; tiga dari Libya dan masing-masing dua dari Jepun, Kesatuan Eropah (EU) dan Norway.
"Pasukan pemantau kali ini akan diketuai oleh Mejar Jeneral Datuk Mahdi Yusof daripada ATM.
"Ini menunjukkan kepercayaan terus diberikan oleh Filipina kepada ATM untuk mengetuai pasukan tersebut.
"Justeru, kepercayaan ini dapat membantu memperkasa imej negara dan ATM sama ada di pihak Filipina mahu pun pemerhati antarabangsa yang lain," katanya pada majlis penghantaran kumpulan induk pasukan pemantau antarabangsa ke Mindanao di Pangkalan Udara Subang baru-baru ini.
Penglibatan ATM kali ini melibatkan kekuatan 20 anggota yang terdiri daripada 13 pegawai, tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan empat pegawai dari perkhidmatan awam iaitu masing-masing dua daripada Kementerian Pertahanan dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Pasukan pemantau tersebut telah diberi penghormatan oleh kerajaan Filipina dan pasukan pemberontak, Moro Islamic Liberation Front (MILF) untuk menjadi pemerhati ketiga terhadap rundingan kedua-dua pihak terbabit.
Dalam pada itu, Azizan berkata, berdasarkan laporan yang diterima, situasi semasa di Mindanao agak terkawal dan tiada pelanggaran terhadap gencatan senjata antara kerajaan Filipina dan MILF.
Jelasnya, keadaan itu jelas menunjukkan peranan TPA-M yang berkesan untuk membantu rundingan damai kedua-dua pihak terbabit diteruskan.
Mahdi pula berkata, beliau berbangga kerana diberi kepercayaan untuk menggalas misi kali ini dalam usaha menyelesaikan konflik di antara Filipina dan MILF.
Namun katanya, ia bukanlah satu tugas yang boleh dipandang ringan kerana misi itu membawa nama baik ATM di samping turut disertai beberapa negara lain yang akan menilai kemampuan Malaysia sebagai ketua misi.
Tambahnya, apa yang penting adalah membawa mandat TPA-M6 sebagai pemerhati dan pemantau terhadap pelaksanaan gencatan senjata antara kerajaan Filipina dan MILF.
Selain itu katanya, TPA-M6 turut memantau kemajuan dan keberkesanan terhadap pelaksanaan program-program ekonomi dan sosial.
"TPA-M6 akan melaksanakan verifikasi dan pemeriksaan bagi mengesahkan kejadian aktiviti dan maklumat pelanggaran perjanjian gencatan senjata sama ada di pihak kerajaan atau MILF.
"Sebarang laporan mengenai pelanggaran gencatan akan diberikan kepada panel kedamaian kerajaan Filipina dan MILF mengenai keputusan dan penilaian," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia Online
0 comments:
Post a Comment
Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)