CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Wednesday, March 30, 2011

Wad Veteran ATM di Tubuhkan di Hospital Angkatan Tentera

Wad Bunga Raya Untuk Veteran ATM


Oleh MUHAMAD ZAID ADNAN
zaid.adnan@utusan.com.my
Gambar NOOR ASREKUZAIREY SALIM


SUKARNYA menggambarkan kepayahan keluarga seorang pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekiranya ibu bapa mereka terlantar akibat menghidap penyakit kronik dan tidak lagi mampu untuk bergerak.


Mereka bukan sahaja perlu menjaga tetapi juga menguruskan hal ehwal kendiri seperti menukar lampin pakai buang malah perlu memastikan ibu bapa berada dalam keadaan selesa termasuk menyediakan katil khas dan alat bantuan pernafasan jika diperlukan.

Namun ironinya, ahli keluarga tersebut perlu bekerja dan anak pula bersekolah sehingga terpaksa membiarkan ibu bapa mereka yang terlantar di rumah tanpa penjagaan sewajarnya.

Bagi yang berkemampuan, mungkin sanggup mengeluarkan belanja lebih termasuk menggaji pekerja asing bagi memastikan ibu bapa yang terlantar itu mendapat perhatian yang sewajarnya.

Bagaimanapun ia pasti berbeza dengan keluarga yang bukannya daripada golongan berkemampuan kerana sudah tentu mereka tidak mampu untuk mengeluarkan belanja dalam menguruskan kebajikan ibu bapa yang menghidap penyakit kronik itu.

Namun kini, ahli keluarga veteran tentera boleh menarik nafas lega setelah kerajaan mengambil inisiatif mewujudkan sebuah Wad Veteran ATM di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan dekat Wangsa Maju.

Ia diwujudkan khas untuk menjaga kebajikan kira-kira 700,000 pesara dan pasangan mereka yang sebelum ini hanya mendapat perhatian daripada keluarga masing-masing.

Wad Veteran ATM itu dilancarkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 10 Mac lalu hasil cetusan Persatuan Veteran Rejimen Semboyan Diraja (PVRSD) yang mencadangkan kepada kementerian supaya diwujudkan sebuah pusat penjagaan khusus untuk pesara tentera yang menghidap penyakit kronik.

Pada ketika itu, PVRSD berjaya mengenalpasti seramai 42 pesara yang memerlukan rawatan serta perhatian sewajarnya sebelum membawa kertas cadangan itu kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) untuk perbincangan awal dengan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) pada Jun 2009.

Selain itu, cadangan tersebut juga dirujuk kepada Ahmad Zahid sendiri yang kemudiannya mengambil keputusan menyokong penuh dan meluluskan cadangan berkenaan serta mengarahkan Ketua Pengarah BPK, Leftenan Jeneral Datuk Dr. Abdul Razak Md. Yusof mempertimbangkan dengan serius cadangan tersebut bagi kebajikan pesara ATM.

Hasilnya satu pertemuan membabitkan BPK, JHEV dan PVRSD diadakan pada 6 Disember 2010 bagi membincangkan cadangan tersebut yang akhirnya BPK telah menawarkan wad sedia ada di HAT Tuanku Mizan untuk dijadikan sebagai wad khas bagi pesara tentera.

Kini, Wad Veteran ATM itu dilancarkan dan dinamakan sebagai Wad Bunga Raya, menempatkan sebanyak 24 katil khas untuk pesara tentera pada satu-satu masa dengan menggunakan peruntukan sedia ada daripada kementerian.

Buat masa ini, wad berkenaan telah menerima lima veteran untuk dirawat di situ. Namun pesara tentera bukan hanya mendapatkan rawatan di wad berkenaan semata-mata kerana ada yang mendapatkan perkhidmatan di wad pembedahan dan ortopedik.

Sekiranya jumlah 24 katil itu tidak mampu menampung kehadiran pesakit, pihak hospital akan membenarkan wad-wad lain digunakan bagi merawat pesara tentera yang mendapatkan perkhidmatan di Wad Bunga Raya.

Ahmad Zahid berkata, Kementerian Pertahanan akan memohon bajet tambahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuka wad sama di HAT Kem Terendak, Melaka dan HAT Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak dalam masa terdekat.

Menurutnya, beliau yakin Perdana Menteri akan meluluskan permohonan untuk mewujudkan wad itu di dua HAT berkenaan dalam masa kurang setahun sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap veteran ATM.

"Pesara tentera di tempat lain boleh mendapatkan perkhidmatan sama di Rumah Sakit Angkatan Tentera di setiap kem berhampiran. Saya telah meminta pegawai dan anggota kita yang berkhidmat di situ supaya memberi keutamaan kepada veteran ATM," katanya baru-baru ini.

Ahmad Zahid dalam pada itu memberitahu, pelbagai program yang telah kerajaan lakukan untuk pesara tentera termasuk mewujudkan Akta Veteran ATM bukanlah untuk mencapai objektif politik.

Sebaliknya kata beliau, ia dibuat atas dasar kebertanggungjawaban kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan veteran tentera yang berjuang bermati-matian demi mempertahankan tanah air.

Ahmad Zahid berkata, setakat ini, sejumlah RM200 juta telah disediakan kepada JHEV bagi membantu kebajikan veteran ATM dalam pelbagai aspek sejak ia ditubuhkan 10 tahun yang lalu.

Selain itu katanya, pesara tentera juga boleh mendapatkan perkhidmatan di HAT di negara ini dengan hanya dikenakan bayaran sebanyak RM1.

''Pada masa yang sama, saya akan mencadangkan kepada BPK supaya diwujudkan kaunter khas farmasi khusus untuk veteran tentera bagi mengelakkan mereka menunggu lama bagi mendapatkan rawatan," katanya.

Sumber:Utusan Malaysia Online
post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)