Unifil Iktiraf Anggota Wanita
Oleh FARHANA JONI
srikandi ATM yang bakal melaksanakan misi Malconeast 6 di Lebanon. |
PERSEDIAAN mental dan fizikal yang kukuh sentiasa tersemat di jiwa 10 srikandi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dihantar ke Lebanon bagi tujuan melaksanakan misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mereka merupakan kumpulan wanita kedua dalam pasukan Kontinjen Malaysia (ME) 6 yang ditubuhkan bagi menyertai misi tersebut bermula dari 15 Mac hingga 28 Julai akan datang, menggantikan misi kumpulan wanita pertama yang telah berada di sana sejak 28 Oktober tahun lalu.
Pengalaman mereka sebagai seorang anggota tentera akan diuji sepanjang berkhidmat di Lebanon selama empat bulan itu.
Mereka yang terlibat akan bertanggungjawab untuk menggalas tugas di Sektor Timur Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Pasukan Interim Bangsa-bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil) Selatan mengikut Resolusi 1701 PBB.
Selain seramai lapan anggota Tentera Darat, masing-masing seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut menyertai misi pengaman itu.
Kumpulan 10 wanita itu diketuai oleh Kapten Siti Aminah Mohd. Sharif dan anggota lain ialah Koperal Fakerul Nisa Abu Bakar, Koperal Melurnorsarifaini Mohamad, Koperal Akhmazuyana Ismail dan Koperal Siti Hasmah Hayati Kusaini.
Anggota lain ialah Lans Koperal Hafiza Abdul Manaf, Lans Koperal Siti Noorhasnah Mohd. Saidin, Lans Koperal Siti Fazlinda Bakar, Laskar Kanan Sukmawati Talib dan Sarjan Azura Zizan.
Dalam melaksanakan misi tersebut dengan sempurna, mereka turut memainkan peranan sebagai pemerhati dengan menjalankan rondaan dan pemeriksaan di KTJ.
Jelas Siti Aminah, beliau bangga kerana diberi kepercayaan untuk mengetuai misi tersebut ditambah pula ia merupakan misinya yang pertama di luar negara.
Bagaimanapun jelas ibu kepada seorang anak itu, peranannya sebagai pegawai kepada anggota tentera lain bagi misi itu adalah bertanggungjawab memastikan kebajikan dan kesihatan anggota-anggota lain supaya sentiasa berada dalam keadaan baik.
“Tanggungjawab yang diberi kepada saya ini cukup berat dan sebagai ketua pasukan wanita kedua ME 6, saya juga tidak boleh membiarkan perasaan bercampur baur itu menguasai diri.
“Saya bertekad untuk menjalankan tanggungjawab yang diberi dengan bersungguh-sungguh ketika di Lebanon nanti. Antara tugas utama yang harus saya laksanakan adalah dari aspek perubatan dan memberi motivasi kepada anggota lain,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penghantaran Kumpulan Wanita Kedua Pasukan ME 6 oleh Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Jamil Osman di Markas Angkatan Bersama (MAB) Kementerian Pertahanan baru-baru ini.
Hadir sama Asisten Ketua Staf MAB Bahagian Operasi, Laksamana Muda Datuk Nasaruddin Othman; Asisten Ketua Staf MAB Bahagian Operasi Informasi, Brigadier Jeneral Datuk Azizool Arif Abdul Ghani dan Asisten Ketua Staf MAB Bahagian Kesihatan, Brigadier Jeneral Datuk Dr. Samsudin Suirman.
Sementara itu, Sukmawati yang merupakan Laskar Kanan Komunikasi Radio berkata, walaupun terpaksa meninggalkan tiga anaknya, dia tetap bersemangat mahu melaksanakan tugas di Lebanon dengan sempurna.
“Saya telah menyediakan segala persiapan untuk anak-anak sepanjang peninggalan empat bulan nanti dan berterima kasih kepada kedua ibu bapa saya kerana akan membantu menjaga mereka sepanjang ketiadaan saya nanti,” jelas ibu tunggal itu.
Sukmawati bertanggungjawab mengawal keluar masuk maklumat dari Lebanon ke Malaysia dan sebaliknya dengan menggunakan sistem satelit.
Lans Koperal Siti Noorhasnah pula berharap dapat menimba lebih banyak pengalaman ketika menyertai misi tersebut.
“Saya berperanan sebagai polis tentera dalam misi ini dan perlu sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku seperti serangan daripada musuh.
“Walaupun sangat gembira kerana terpilih dan dapat berkhidmat di bawah panji PBB, perasaan gementar tetap ada terutama untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sana," katanya.
Koperal Siti Hasmah pula berkata, dia akan berperanan sebagai kerani di markas Lebanon yang turut mencabar dirinya kerana perlu mempelajari bahasa Arab bagi memudahkannya berkomunikasi dengan penduduk di sana.
Menurut ibu kepada seorang anak itu, cabaran utama kepadanya nanti adalah untuk mewujudkan suasana mesra dengan penduduk dan pasukan tentera dari negara lain di Lebanon nanti.
“Tidak mudah untuk kita menyelami hati penduduk Lebanon kerana kita harus faham mereka telah berdepan dengan banyak perkara yang pahit sebelum ini dan untuk memberi kepercayaan kepada orang luar seperti kami bukanlah satu perkara yang mudah.
“Bagaimanapun kami perlu bersabar kerana niat kami adalah ingin membantu dan mengharumkan nama negara,” ujarnya.
Sementara itu, Jamil berkata, anggota terlibat merupakan Kumpulan Wanita Kedua Pasukan Kontinjen Malaysia (ME) 6 bagi menggantikan kumpulan pertama yang akan menamatkan misi yang sama pada 15 Mac.
Menurutnya, matlamat utama misi penghantaran anggota tentera wanita tersebut adalah untuk mengembalikan keamanan yang berterusan di negara Asia Barat itu selaras dengan misi PBB.
Sumber: Utusan Malaysia
0 comments:
Post a Comment
Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)